Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Indonesia mulakan sesi pilih pemimpin badan antirasuah

Nov 18, 2024 | 11:24 AM
Mesyuarat Konsultasi Pimpinan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dengan Pimpinan Suruhanjaya DPR dijalankan bagi membincangkan tahap ujian kelayakan bagi calon pimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (KPK). Proses itu bertujuan memastikan pemilihan tokoh yang berwibawa, profesional dan memiliki komitmen kukuh dalam mendukung usaha pemberantasan rasuah di Indonesia.
Mesyuarat Konsultasi Pimpinan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dengan Pimpinan Suruhanjaya DPR dijalankan bagi membincangkan tahap ujian kelayakan bagi calon pimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (KPK). Proses itu bertujuan memastikan pemilihan tokoh yang berwibawa, profesional dan memiliki komitmen kukuh dalam mendukung usaha pemberantasan rasuah di Indonesia. - Foto KPK

JAKARTA: Parlimen Indonesia melalui Pesuruhjaya III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) memulakan sesi pendengaran pengesahan pada 18 November bagi memilih pemimpin baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) serta ahli Majlis Pengawas KPK.

Proses itu bertujuan memulihkan kepercayaan awam terhadap badan antirasuah tersebut, yang sebelum ini dilihat semakin lemah selepas pindaan undang-undang KPK pada 2019.

Berlangsung sehingga 21 November, ia melibatkan pemilihan lima pemimpin KPK dan lima ahli Majlis Pengawas daripada senarai pendek yang disediakan.

Terdahulu Presiden Prabowo Subianto, memberikan lampu hijau untuk proses tersebut dengan senarai pendek tersebut adalah hasil saringan yang dilakukan oleh Presiden terdahulu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Pengerusi Pesuruhjaya III, Encik Habiburokhman, menyatakan bahawa setiap calon akan diberikan sehingga 1.5 jam untuk menjawab soalan dan membentangkan visi mereka.

“Kami ingin memastikan bahawa setiap calon mempunyai peluang untuk menjelaskan tujuan dan matlamat mereka dengan mendalam,” katanya selepas mesyuarat koordinasi bersama pimpinan DPR.

Antara calon yang dipertimbangkan termasuk Encik Agus Joko Pramono, mantan Timbalan Pengerusi Badan Pemeriksa Kewangan (BPK); Encik Ahmad Alamsyah Saragih, mantan anggota Ombudsman Indonesia; dan Encik Johanis Tanak, penyandang Timbalan Ketua KPK ketika ini.

Selain itu, terdapat juga nama besar dari bidang penguatkuasaan undang-undang seperti Hakim Mahkamah Agung Encik Ibnu Basuki Widodo dan Ketua Polis Kalimantan Selatan, Inspektor Jeneral Djoko Poerwanto.

Para pengamat menekankan bahawa pemilihan kali ini memerlukan kewibawaan dan keberanian tinggi daripada calon yang terpilih.

Encik Ujang Komarudin, penganalisis politik dari Universitas Al-Azhar Jakarta, berkata:

“KPK telah menjadi lemah sejak pindaan undang-undang 2019. Pemimpin baru harus mampu memulihkan imej KPK dan berani menghadapi rasuah tanpa kompromi.”

Pindaan undang-undang KPK sebelum ini menerima kritikan hebat kerana dianggap mengurangkan keberkesanan badan tersebut.

Kajian oleh Indikator Politik Indonesia turut menunjukkan kepercayaan awam terhadap KPK terus merosot.

Encik Kennedy Muslim, penganalisis politik dari organisasi yang sama, menyatakan proses pemilihan itu merupakan ujian besar bagi Presiden Prabowo, yang berjanji memerangi rasuah sebagai sebahagian daripada agendanya untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 8 peratus.

“Rakyat harus terus menekan agar DPR memilih individu terbaik untuk memimpin KPK,” tambahnya.

Keputusan Encik Prabowo untuk mengekalkan senarai pendek yang disediakan oleh Encik Jokowi menimbulkan persoalan sama ada mantan Presiden itu masih mempunyai pengaruh terhadap pentadbiran baru.

Menurut Encik Kennedy, meskipun Encik Prabowo mempunyai hak istimewa untuk memilih calon, keputusan untuk tidak mengubah senarai pendek itu menunjukkan sikap hormatnya terhadap keputusan Encik Jokowi.

Namun, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat bahawa beberapa calon dalam senarai tersebut memiliki rekod yang meragukan.

“Rekod semua calon perlu disemak secara teliti untuk memastikan integriti KPK dapat dipulihkan,” tegas Encik Kennedy. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg