JAKARTA: Polis Indonesia melancarkan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan kontrak bekalan arang batu untuk beberapa loji jana kuasa elektrik milik negara yang dipercayai menjadi antara punca gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Sumatera dan beberapa wilayah lain sejak kebelakangan ini.

Kor Agensi Pembanterasan Jenayah Rasuah (Kortas Tipikor) Polis Republik Indonesia berkata siasatan itu membabitkan tempoh antara 2018 hingga 2026 dan dipercayai menyebabkan kerugian kewangan serta ekonomi negara mencecah hampir 5 trilion rupiah ($420 juta).

Ketua Kortas Tipikor Polri, Inspektor Jeneral Totok Suharyanto, berkata kes itu dinaikkan ke peringkat siasatan rasmi pada 4 Julai selepas pihak berkuasa menemui petunjuk awal mengenai penyelewengan dalam proses perolehan dan penghantaran arang batu ke loji jana kuasa wap (PLTU).

“Kami ingin memaklumkan perkembangan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram dalam pengadaan bekalan arang batu bagi beberapa PLTU sepanjang tempoh 2018 hingga 2026,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) di Jakarta pada 6 Julai.

Menurut beliau, penyiasat telah mengumpulkan dokumen, mendapatkan keterangan saksi dan menjalankan analisis awal terhadap bukti yang diperoleh.

Encik Totok berkata setakat ini, sekurang-kurangnya dua syarikat dikenal pasti disyaki terlibat dalam penyelewengan berhubung kontrak bekalan arang batu itu.

“Penyiasat mendapati terdapat unsur penyelewengan dalam proses perolehan dan penghantaran bekalan arang batu oleh beberapa syarikat yang terlibat termasuk PT OBB dan PT PRA,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Tindakan Kortas Tipikor, Brigedier Jeneral Robertus Yohanes De Deo, berkata pihaknya mengesyaki berlaku manipulasi dokumen berkaitan kualiti dan kuantiti arang batu yang dihantar ke loji jana kuasa.

Menurutnya, terdapat kemungkinan bayaran dibuat tidak sepadan dengan jumlah sebenar bekalan yang diterima, sekali gus menimbulkan kerugian besar kepada negara.

“Kami mengesan kemungkinan manipulasi terhadap dokumen penghantaran, termasuk jumlah dan mutu arang batu yang dibekalkan kepada loji jana kuasa,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati gangguan terhadap bekalan arang batu berkemungkinan menjejas operasi beberapa loji tenaga sehingga menyumbang kepada kejadian elektrik terputus di beberapa wilayah Indonesia dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Akibat perbuatan tersebut, ditambah dengan kesan ekonomi daripada gangguan bekalan elektrik besar-besaran, dianggarkan berlaku kerugian kewangan negara dan ekonomi negara sekitar 5 trilion rupiah,” katanya.

Bagaimanapun, BG Robertus menegaskan angka itu masih bersifat sementara dan belum menjadi nilai kerugian muktamad.

Katanya, pihak polis kini bekerjasama dengan Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) Indonesia bagi menjalankan audit siasatan secara rasmi untuk menentukan jumlah sebenar kerugian negara.

Kes itu menjadi perhatian besar di Indonesia susulan gangguan bekalan elektrik yang menjejas beberapa kawasan di Sumatera dan wilayah lain sehingga mengganggu operasi industri, perniagaan dan kehidupan harian penduduk.

Pihak berkuasa percaya kelewatan dan ketidakteraturan bekalan arang batu ke loji jana kuasa memberi kesan langsung kepada kemampuan pengeluaran tenaga elektrik negara.

Walaupun siasatan kini sudah memasuki peringkat siasatan, polis belum menamakan mana-mana individu sebagai suspek.

Encik Totok berkata pihaknya masih meneliti keseluruhan rantaian kontrak dan aliran kewangan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Kami masih mendalami semua bukti dan akan menjalankan proses undang-undang secara telus dan profesional,” katanya.

Kes itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap pengawasan terhadap sektor tenaga Indonesia yang selama ini bergantung besar kepada arang batu sebagai sumber utama penjanaan elektrik.

Pakar ekonomi dan tenaga sebelum ini beberapa kali memberi amaran bahawa kelemahan dalam sistem perolehan bahan api serta pengurusan bekalan boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan bekalan tenaga nasional.

Sementara itu, pemerhati antirasuah turut menggesa pemerintah Indonesia memperketat kawalan terhadap kontrak tenaga strategik bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kepentingan awam. - Agensi berita