Adik Raja Charles, Andrew dibebas selepas ditahan atas dakwaan salah laku berkait Epstein
Adik Raja Charles, Andrew dibebas selepas ditahan atas dakwaan salah laku berkait Epstein
LONDON: Polis Britain menahan Andrew Mountbatten-Windsor, yang sebelum ini dikenali sebagai Putera Andrew, selama beberapa jam pada Khamis sebelum membebaskannya dalam siasatan berkaitan hubungannya dengan pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein.
Pihak berkuasa berkata beliau ditahan atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam, namun tidak memperincikan kesalahan. Di bawah undang-undang Britain, suspek sering dibebaskan selepas soal siasat sebelum keputusan pendakwaan dibuat kemudian. Dalam kenyataan rasmi, Polis Thames Valley berkata:
“Lelaki yang ditahan kini telah dibebaskan sementara siasatan diteruskan.” Tiada pertuduhan difailkan setakat ini.
Polis dilihat berada di Estet Sandringham di Norfolk, kediaman persendirian Raja Charles dan Permaisuri Camilla, tempat Mountbatten-Windsor tinggal selepas dilucutkan kediaman diraja Windsor pada 2025. Pada hari penahanan, konvoi kenderaan polis tanpa tanda tiba di kediamannya di Sandringham pada awal pagi, kebetulan pada hari ulang tahun kelahirannya ke-66 peristiwa yang mencetuskan kejutan dalam keluarga diraja.
Penahanan tokoh diraja yang berada di tangga kelapan pewaris takhta itu dianggap tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Britain. Kali terakhir insiden seumpamanya berlaku pada 1649 ketika Raja Charles I dihukum bunuh atas tuduhan pengkhianatan.
Mountbatten-Windsor, yang pernah dilihat sebagai wira perang dan anak kesayangan mendiang Ratu Elizabeth II, menafikan sebarang salah laku. Wakilnya tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Penahanan itu berlaku susulan pendedahan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Januari lalu yang menunjukkan beliau mungkin berkongsi maklumat kerajaan sulit dengan Epstein ketika berkhidmat sebagai utusan perdagangan Britain antara 2001 hingga 2011.
Andrew dilihat meninggalkan balai polis di Aylsham sekitar 7 malam kelihatan terkejut ketika berada di dalam kereta selepas dibebaskan.
Istana Buckingham menyatakan tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai penahanan tersebut. Namun Istana turut menegaskan akan membantu siasatan, termasuk membenarkan akses kepada komunikasi dalaman jika diperlukan. Raja Charles III mengeluarkan kenyataan tegas menyokong proses undang-undang. “Kami memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan istana. “Undang-undang mesti mengambil jalannya.” Raja Charles turut menegaskan siasatan perlu dijalankan secara “penuh, adil dan sewajarnya”.
Pihak berkuasa belum mengesahkan skop siasatan, tetapi dokumen terbaru menunjukkan penyiasat mungkin meneliti kemungkinan perkongsian dokumen sulit kerajaan dengan Epstein.
Krisis ini menambah deretan kontroversi yang membayangi monarki sejak beberapa tahun lalu. Pada 2022, Mountbatten-Windsor membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk menyelesaikan saman sivil di New York oleh Cik Virginia Giuffre, yang mendakwa beliau diperdagangkan kepada putera itu ketika berusia 17 tahun. Keluarga Giuffre menyambut penahanan itu dengan menyatakan “tiada siapa berada di atas undang‑undang”.
Andrew tidak mengaku salah dalam penyelesaian tersebut dan berulang kali menafikan pernah melakukan penderaan seksual atau menyedari jenayah Epstein. Beliau juga berkata tidak mengingati pernah bertemu Cik Giuffre walaupun terdapat gambar mereka bersama.
Sejak menaiki takhta, Raja Charles mengambil langkah tegas dengan melucutkan gelaran diraja adiknya dan mengarahkannya meninggalkan Royal Lodge di Windsor.
Kes itu turut menjejaskan tokoh elit Britain lain. Bekas duta Britain ke Amerika Syarikat, Encik Peter Mandelson, turut disiasat atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam berkaitan Epstein, walaupun beliau menafikan sebarang jenayah.
Dokumen yang sama turut mendedahkan bekas isteri Mountbatten-Windsor, Cik Sarah Ferguson, berbalas surat secara peribadi dengan Epstein lama selepas jutawan itu disabitkan kesalahan pada 2008.
Polis turut menyiasat laporan kumpulan anti‑monarki mengenai dakwaan pemerdagangan seorang wanita ke Britain pada 2010, yang dikaitkan dengan Andrew..
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai “malang” dan “menyedihkan untuk keluarga diraja”. - Agensi berita

