Adik Raja Charles, Andrew ditahan polis berkait salah laku jawatan awam libatkan Epstein

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adik Raja Charles, Andrew ditahan polis berkait salah laku jawatan awam libatkan Epstein

Feb 19, 2026 | 9:14 PM

Adik Raja Charles, Andrew ditahan polis berkait salah laku jawatan awam libatkan Epstein

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebuah kenderaan dilihat di luar Royal Lodge, sebuah kediaman di kawasan sekitar Istana Windsor dan bekas tempat tinggal Andrew Mountbatten-Windsor, adik kepada Raja Britain Charles, yang dahulunya dikenali sebagai Putera Andrew, selepas beliau ditahan pagi ini atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam, lapor BBC, susulan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan lebih banyak rekod berkait dengan mendiang pembiaya dan pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein, di Windsor, Britain, 19 Februari 2026.
Sebuah kenderaan dilihat di luar Royal Lodge, sebuah kediaman di kawasan sekitar Istana Windsor dan bekas tempat tinggal Andrew Mountbatten-Windsor, adik kepada Raja Britain Charles, yang dahulunya dikenali sebagai Putera Andrew, selepas beliau ditahan pagi ini atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam, lapor BBC, susulan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan lebih banyak rekod berkait dengan mendiang pembiaya dan pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein, di Windsor, Britain, 19 Februari 2026. - Foto REUTERS

LONDON: Polis Britain menahan Andrew Mountbatten-Windsor, adik kepada Raja Britain King Charles III, pada Khamis 19 Februari atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam selepas timbul dakwaan beliau berkongsi dokumen kerajaan sulit dengan pembiaya kontroversi Jeffrey Epstein ketika berkhidmat sebagai utusan perdagangan negara.

Penahanan itu menandakan perkembangan paling dramatik setakat ini dalam krisis berpanjangan yang menyelubungi keluarga diraja Britain, sekali gus menjadi tamparan reputasi kepada institusi monarki yang selama ini cuba menjauhkan diri daripada skandal berkait Epstein.

Polis Thames Valley dalam kenyataan berkata mereka menahan “seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dari Norfolk atas syak salah laku dalam jawatan awam” dan menjalankan penggeledahan di beberapa alamat di Berkshire dan Norfolk.

Walaupun nama tidak disebut mengikut undang-undang Britain, butiran itu sepadan dengan identiti Mountbatten-Windsor, yang sebelum ini dikenali sebagai Putera Andrew.

Penolong Ketua Konstabel Oliver Wright berkata siasatan dibuka selepas penilaian teliti terhadap dokumen baharu. “Selepas penilaian menyeluruh, kami kini membuka siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam. Kami faham kepentingan awam dalam kes ini dan akan memberikan perkembangan pada masa sesuai,” katanya.

Media Britain melaporkan beberapa kereta polis tanpa tanda dan pegawai berpakaian biasa dilihat tiba di Wood Farm, kediaman beliau di ladang Sandringham.

Kes itu tercetus selepas lebih tiga juta halaman dokumen berkaitan Epstein dikeluarkan pihak berkuasa Amerika Syarikat. Sebahagian emel didakwa menunjukkan Mountbatten-Windsor menghantar laporan rasmi lawatan ke Asia Selatan pada tahun 2010 kepada Epstein, dokumen yang diterimanya daripada pembantu sebagai utusan perdagangan Britain.

Jika disabitkan, kesalahan salah laku dalam jawatan awam boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan dibicarakan di Mahkamah Mahkota, yang mengendalikan kes jenayah paling serius.
Pihaknya sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan menyatakan hanya “menyesali persahabatan” dengan Epstein.

Dalam kenyataan rasmi, Raja Charles III menyatakan sokongan penuh kepada proses undang-undang.
“Undang-undang mesti mengambil jalannya. Pihak berkuasa mempunyai sokongan dan kerjasama sepenuhnya daripada kami,” titah baginda.

Istana Buckingham turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap dakwaan yang terus muncul dan menegaskan simpati mereka bersama mangsa sebarang bentuk penderaan. Penahanan itu menjadikan beliau anggota kanan diraja pertama ditahan dalam keadaan sedemikian, sekali gus mewujudkan krisis terbesar sepanjang pemerintahan Raja Charles setakat ini.

Hubungan Mountbatten-Windsor dengan Epstein telah lama diketahui umum. Pada 2022 beliau menyelesaikan saman sivil di New York oleh Virginia Giuffre yang mendakwa diperdagangkan kepada beliau ketika remaja. Penyelesaian dicapai tanpa pengakuan bersalah.

Polis menegaskan siasatan terbaru tidak berkaitan dakwaan serangan seksual tersebut, sebaliknya tertumpu kepada kemungkinan penyalahgunaan jawatan awam.

Namun pendedahan baharu meningkatkan tekanan kerana menunjukkan potensi kebocoran maklumat kerajaan, termasuk laporan mengenai Vietnam, Singapura dan negara lain yang dikunjungi dalam kapasiti rasmi.

Siasatan turut melebar kepada tokoh elit lain Britain, termasuk bekas duta dan ahli politik yang didakwa mungkin berkongsi maklumat sensitif dengan Epstein. Bekas isteri Mountbatten-Windsor, Sarah Ferguson, juga dilaporkan mempunyai koresponden peribadi berpanjangan dengan Epstein selepas sabitan kesnya pada 2008.

Kumpulan anti-monarki Republic sebelum ini membuat laporan polis susulan pendedahan dokumen, manakala bekas Perdana Menteri Gordon Brown menggesa siasatan lebih luas mengenai kemungkinan rangkaian pemerdagangan manusia melalui lapangan terbang London Stansted.

Mountbatten-Windsor sudah lama tersisih daripada kehidupan rasmi diraja. Beliau meletak jawatan daripada tugas awam pada 2019 dan kemudian dilucutkan gelaran serta dipindahkan keluar dari kediaman rasmi selepas pendedahan lanjut berkait Epstein.

Penahanan terbaru menandakan kejatuhan paling serius dalam reputasinya. Walaupun penahanan tidak bermaksud bersalah, ia menunjukkan polis mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki kesalahan jenayah telah berlaku.

Bagi pemerhati, kes ini melangkaui isu peribadi dan menyentuh kredibiliti institusi diraja Britain sendiri.
Buat pertama kali sejak berabad-abad, seorang anggota kanan keluarga diraja berdepan potensi pertuduhan jenayah serius berkait penyalahgunaan kuasa negara. Jika didakwa, beliau akan menyertai kelompok amat kecil diraja Britain yang pernah dibicarakan.

Buat masa ini, penyiasat meneliti bukti digital, surat-menyurat serta kemungkinan kes berkait pemerdagangan wanita ke Britain pada 2010.

Istana Buckingham menegaskan keluarga diraja akan terus menjalankan tugas seperti biasa, namun perkembangan ini hampir pasti akan membayangi monarki untuk tempoh panjang, sementara siasatan berjalan dan perhatian awam terus tertumpu kepada hubungan lama antara Mountbatten-Windsor dan Epstein. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg