Skandal goncang kredibiliti tokoh politik, diplomatik berprofil tinggi
Skandal goncang kredibiliti tokoh politik, diplomatik berprofil tinggi
Menteri, diplomat, penasihat keselamatan di Eropah, Asia Selatan, Amerika Utara, India dan Israel turut terlibat
WASHINGTON: Pendedahan hampir tiga juta halaman dokumen oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung rangkaian Jeffrey Epstein bukan sekadar membuka semula kisah seorang pesalah seks yang telah meninggal dunia.
Skandal itu turut menggoncang kredibiliti beberapa tokoh politik dan diplomatik berprofil tinggi di Eropah, Asia Selatan dan Amerika Utara, sekali gus mendedahkan sisi gelap jaringan elit global yang selama ini beroperasi dalam ruang tertutup.
Antara nama yang terpalit ialah Encik Jack Lang, mantan Menteri Kebudayaan Perancis, dan pengarah Institut Dunia Arab di Paris; Cik Mona Juul, diplomat Norway yang terlibat dalam rundingan rahsia Oslo; serta Encik Miroslav Lajcak, penasihat keselamatan negara Slovakia dan bekas Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketiga-tiga mereka terpaksa berundur atau berdepan siasatan selepas hubungan kewangan dan komunikasi mereka dengan Epstein didedahkan kepada umum. Kes ini sekali lagi menimbulkan persoalan besar tentang etika, akauntabiliti dan budaya perlindungan dalam kalangan elit antarabangsa.
PENDEDAHAN DAN TEORI KONSPIRASI
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, secara terbuka mengakui bahawa Epstein mempunyai jaringan hubungan yang luas. “Jelas sekali beliau mempunyai sistem yang sangat meluas,” katanya.
Encik Macron turut memberi amaran bahawa pendedahan seperti ini mudah menyuburkan teori konspirasi.
Namun, di sebalik amaran itu, dokumen yang dibuka menunjukkan satu corak yang sukar dinafikan: hubungan sosial dan kewangan yang berterusan antara Epstein dengan tokoh berpengaruh, termasuk selepas beliau mengaku bersalah pada 2008 atas kesalahan berkaitan eksploitasi seksual remaja bawah umur.
Di Perancis, Encik Jack Lang meletak jawatan selepas Pejabat Pendakwa Kewangan Nasional membuka siasatan awal terhadap beliau dan anak perempuannya atas dakwaan pengubahan wang haram berkaitan hasil penipuan cukai.
Nama Encik Lang muncul lebih 600 kali dalam dokumen, termasuk rekod makan malam, urusan perniagaan dan dana luar pesisir yang dimiliki bersama anaknya.
Encik Lang menafikan dakwaan tersebut.
“Tuduhan terhadap saya tidak berasas, dan saya akan membuktikannya,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Di Norway, polis memulakan siasatan terhadap Cik Mona Juul dan suaminya selepas laporan media menyatakan mereka menerima AS$10 juta ($12.7 juta) dalam wasiat Epstein.
Menteri Luar Norway, Encik Espen Barth Eide, menyifatkan tindakan itu sebagai “kegagalan pertimbangan yang serius”.
Encik Kare R. Aas, bekas duta Norway ke Israel dan Amerika, berkata pendedahan ini menimbulkan “kesedihan dan kebimbangan” dalam kalangan diplomat. “Tiada belas kasihan di Norway terhadap rasuah, dan ahli politik serta duta tidak terkecuali,” katanya.
Di Slovakia, Encik Miroslav Lajcak berundur selepas e-mel antara beliau dengan Epstein menunjukkan perbualan bernada tidak wajar mengenai wanita muda.
Encik Lajcak menafikan sebarang penglibatan dalam salah laku.
“Saya tidak pernah ditawarkan atau menyertai apa-apa perkhidmatan seksual,” katanya kepada agensi berita tempatan.
Kes ini turut melibatkan tokoh dari Britain, India dan Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menggunakan pendedahan e-mel antara Epstein dengan mantan Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Barak, untuk menyerang musuh politiknya. Encik Barak mengakui menghadiri makan malam di kediaman Epstein tetapi menegaskan beliau tidak menyaksikan sebarang penderaan.
Di India, Kementerian Luar menafikan kandungan satu e-mel yang dikaitkan dengan Epstein, yang dilaporkan cuba mendakwa beliau mempunyai peranan atau pengaruh dalam pendekatan diplomatik Perdana Menteri Narendra Modi.
Kenyataan rasmi menyifatkan dakwaan itu sebagai “renungan murahan seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan”.
PERBEZAAN UTAMA DENGAN PANAMA PAPERS
Perbezaan utama antara skandal ini dengan episod terdahulu seperti ‘Panama Papers’ terletak pada skala serta kedalaman jaringan elit sosial yang kini terdedah kepada umum.
‘Panama Papers’, yang terbongkar pada 2016 melalui kebocoran kira-kira 11.5 juta dokumen daripada firma guaman Mossack Fonseca di Panama, mendedahkan bagaimana ahli politik, ahli perniagaan dan tokoh berpengaruh menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan aset atau mengurangkan cukai.
Encik Matthew Dallek, sejarawan politik di Universiti George Washington, menyatakan bahawa dokumen ini mungkin tidak membuktikan konspirasi jenayah berskala besar, namun ia mengesahkan satu kepercayaan asas dalam teori konspirasi.
“Dokumen ini mengesahkan tanggapan bahawa golongan elit mendapat layanan istimewa dan terlindung daripada peraturan yang sepatutnya terpakai kepada semua,” katanya.
Walaupun disebut dalam dokumen tidak bermakna seseorang itu bersalah, corak yang muncul menunjukkan bahawa ramai individu berpengaruh terus bergaul dengan Epstein walaupun selepas sabitan kesalahannya pada 2008.
Ini menimbulkan persoalan moral yang sukar dielakkan terhadap reputasi dan akses sosial dianggap lebih penting daripada pertimbangan etika, ujar Encik Dallek.
Epstein, seorang pengurus pelaburan yang pakar dalam pengelakan cukai, menggunakan rangkaian sosialnya untuk bertindak sebagai penghubung tidak rasmi dalam politik dan perniagaan antarabangsa.
Beliau didakwa membantu mengatur pertemuan, memberi nasihat kewangan dan membina hubungan antara tokoh politik dan korporat tanpa sebarang mandat rasmi.
“Saya bukan pemangsa seksual, tetapi saya ialah pesalah. Ada perbezaan antara pembunuh dengan individu yang mencuri bagel.”
Kenyataan itu dibuat Epstein sebagai cubaan menegakkan benang yang basah ketika diwawancara New York Post pada 2011 selepas sisi gelap kehidupannya mula terbongkar.
Epstein ditemui mati di penjara New York pada 10 Ogos 2019 ketika masih berdepan perbicaraan berhubung kes jenayah seksual melibatkan mangsa bawah umur dan pemerdagangan seks.
Kematiannya ketika itu turut mencetuskan teori konspirasi dan spekulasi yang mendakwa dia mungkin dibunuh untuk menutup rahsia golongan berpengaruh yang terpalit skandal seks menggemparkan.
Salah laku seksual ahli kewangan berprofil tinggi itu sekali lagi mendapat perhatian selepas Kongres Amerika Syarikat meluluskan Akta Ketelusan Fail Epstein pada November 2025.
Beberapa minggu selepas itu, Presiden Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) mengarahkan Jabatan Kehakiman menerbitkan kesemua fail berkaitan siasatan jenayah Epstein.
Ia dikeluarkan secara berperingkat hingga mendedahkan beberapa nama individu terkenal termasuk sejumlah pemimpin negara dan selebriti.
Beberapa pihak mendakwa sebahagian dokumen tersebut mungkin telah ditapis sebagai cubaan untuk menyembunyikan kebenaran atau melindungi individu ternama.
EPSTEIN PERNAH DISENARAI ‘BACHELOR OF THE MONTH’
Jeffrey Edward Epstein dilahirkan pada 20 Januari 1953 di New York dan pernah mengajar subjek Matematik dan Fizik di sebuah sekolah swasta berprestij di Manhattan pada pertengahan 1970-an.
Tahap kepandaiannya mengagumkan meskipun tidak tamat pengajian di universiti New York (NYU).
Kehebatan luar biasa dimilikinya menyebabkan Epstein diperkenalkan oleh bapa temannya kepada seorang rakan kongsi kanan di bank pelaburan Wall Street, Bear Stearns.
Setelah menjadi rakan kongsi terhad selama empat tahun, dia kemudiannya mengasaskan firma sendiri, J Epstein and Co.
Syarikat tersebut menguruskan aset pelanggan bernilai lebih AS$1 bilion dan membawa keuntungan besar kepadanya.
Epstein membelanjakan kekayaan dimilikinya untuk membeli rumah agam di Florida, sebuah ladang di New Mexico dan kediaman persendirian untuk berparti dengan selebriti serta ahli politik.
Pada fasa awal kejayaannya, dia membina imej yang bersih malah pernah disenaraikan sebagai ‘Bachelor of the Month’ oleh majalah Cosmopolitan ketika berusia 27 tahun.
Pada 1980-an, Epstein menggunakan pengaruhnya untuk menjalinkan hubungan dengan golongan kaya dan berkuasa seperti Michael Jackson, Bill Gates dan beberapa profesor terkemuka serta Presiden ke-42 Amerika, Encik Bill Clinton, dan ‘bersahabat’ dengan Encik Trump.
Pada 2005, buat pertama kali dia berdepan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap beberapa gadis di Palm Beach.
Perbuatannya terbongkar selepas seorang wanita mendakwa anak tirinya yang berusia 14 tahun dicabul ‘lelaki kaya’ bernama Jeff.
Kes itu turut mendapat perhatian Biro Siasatan Persekutuan (FBI) hingga menyebabkan 40 mangsa tampil membuat aduan.
Pada 2018, wartawan penyiasat di Miami Herald, Julie K Brown, mengenal pasti kira-kira 80 mangsa yang terselamat daripada penderaan seksual Epstein dan rakan sekongkolnya.
Laporan mengejutkan itu telah mencetuskan siasatan semula terhadap dakwaan jenayah seksual hingga membawa kepada penahanannya pada Julai 2019.
Sebelum keadilan dapat ditegakkan buat semua mangsa, Epstein ditemui mati dengan kecederaan yang didakwa akibat percubaan membunuh diri.
Kematiannya tidak menghentikan orang ramai daripada terus membincangkan skandal dan salah laku seksual yang memberi impak besar kepada ratusan gadis dan wanita muda serta mendedahkan jaringan hubungan kompleksnya dengan golongan berkuasa.
Pendedahan terakhir yang juga terbesar Fail Epstein telah mencetuskan kemarahan mangsa berikutan identiti dan maklumat peribadi mereka kini diketahui umum.
“Kami amat kecewa kerana lelaki-lelaki yang melakukan serangan seksual ke atas kami terus bersembunyi dan dilindungi,” menurut kenyataan bersama 18 wanita tersebut.
Ironinya, beberapa tokoh yang lantang mengkritik elit liberal atau kapitalisme turut muncul dalam fail tersebut.
Hal ini memperlihatkan satu hakikat yang lebih kompleks: di lapisan tertinggi kuasa dan kekayaan, perbezaan ideologi sering kali diketepikan demi kepentingan bersama.
Dari perspektif analisis politik, skandal ini menunjukkan bahawa solidariti kelas dalam kalangan elit global lebih kukuh daripada solidariti ideologi.
Ia juga menekankan bagaimana akses kepada kekayaan dan jaringan sosial boleh membuka pintu yang tertutup bagi orang lain.
Reaksi politik di Amerika pula memperlihatkan dinamika yang berbeza.
Walaupun golongan konservatif sebelum ini mendesak ketelusan penuh mengenai fail Epstein, minat terhadap isu tersebut dilihat semakin berkurang apabila nama-nama dalam lingkungan mereka turut muncul.
Seorang sarjana nasionalisme Kristian kontemporari, Encik Matthew D Taylor, berpendapat bahawa media sayap kanan kini sukar membincangkan isu ini secara terbuka kerana risiko mencabar pentadbiran semasa.
“Penonton tidak mahu mendengar berita buruk tentang tokoh yang mereka sokong,” katanya.
Pendedahan fail Epstein bukan sekadar kisah jenayah seksual atau sensasi politik.
Ia mencerminkan struktur tidak rasmi kuasa global yang beroperasi di luar kerangka akauntabiliti demokratik.
Skandal ini menimbulkan persoalan asas tentang tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam kalangan elit antarabangsa.
Ia mengingatkan bahawa reputasi dan kedudukan tidak kebal daripada penghakiman awam, terutamanya dalam era di mana maklumat boleh dibuka kepada umum dalam jumlah yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Dalam dunia yang semakin skeptikal terhadap institusi dan pemimpin, kes Epstein berfungsi sebagai cermin yang memantulkan jurang antara retorik moral dan realiti jaringan kuasa.
Ia mungkin tidak membuktikan konspirasi global yang tersusun, tetapi cukup untuk menunjukkan bahawa keistimewaan dan perlindungan dalam kalangan elit adalah realiti yang sukar dinafikan. – Agensi berita.

