Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adik rayu rakan terdekat bantu kenal pasti mayat abang

Aug 18, 2023 | 3:16 PM
GAMBAR KENANGAN: Muhamad Hafiz (depan, kanan) bergambar bersama keluarganya termasuk Cik Norhikmah (berdiri, kanan).
GAMBAR KENANGAN: Muhamad Hafiz (depan, kanan) bergambar bersama keluarganya termasuk Cik Norhikmah (berdiri, kanan). - Foto IHSAN KELUARGA NORHIKMAH MUHAMMAD SALLEH

KUALA LUMPUR: “Abang saya terbabit dalam nahas pesawat di Subang (Elmina, Shah Alam), ada tak rakan terdekat yang boleh tolong buat pengecaman mayat?”

Demikian pesanan dititipkan Cik Norhikmah Muhammad Salleh, 26 tahun, adik kepada penunggang motosikal yang dilaporkan maut dalam kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, Khamis petang.

Cik Norhikmah menitipkan pesanan itu, sementara beliau sekeluarga dari Sungai Petani, Kedah, menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor, bagi proses pengecaman mayat abangnya, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.

“Saya adik kepada Muhamad Hafiz. Abang saya terbabit dalam kemalangan pesawat terhempas di Subang. Ada tak kawan terdekat yang boleh tolong ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang untuk pengecaman mayat?

“Kami sekeluarga dalam perjalanan dari utara (Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah),” katanya menerusi mesej ringkas dihantar kepada kumpulan WhatsApp beberapa pekerja p-hailing (penghantar makanan) yang berpangkalan di Subang Bestari di sini.

Allahyarham Muhamad Hafiz, adalah penunggang motosikal yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut akibat insiden pesawat terhempas itu.

Sementara itu, Cik Norhikmah ketika dihubungi berkata berita pemergian abangnya itu hanya diketahui selepas keluarganya menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa, selepas selesai solat maghrib.

Beliau sekeluarga mengakui terkejut dengan insiden yang menimpa abangnya itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Ibu dan ayah pesan supaya kami reda dengan pemergian abang, meminta kami semua doakan supaya semua urusan beliau dipermudahkan. Kami sekeluarga kini tiba di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan sedang menuju ke HTAR di Klang bagi urusan pengecaman arwah abang.

“Jenazah abang akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, sejurus selesai semua prosedur,” katanya kepada akhbar Berita Harian Malaysia (BHM).

Cik Norhikmah berkata abangnya itu adalah anak sulung lima beradik dan merancang pulang ke kampung bagi membuat persiapan kenduri ketika menghubungi bapanya minggu lalu.

“Abang ada kata mahu pulang 20 Ogos ini, kami sekeluarga mahu buat persiapan sempena perkahwinan kakak yang dijadual berlangsung 26 Ogos.

“Namun, Allah lebih menyayangi abang. Walaupun seorang yang pendiam dan tegas, tetapi dia sangat penyayang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg