JAKARTA: Dua badan pengawas amalan rasuah Indonesia telah membuat aduan rasmi ke Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) terhadap Ketua Umum Partai Solidaritas Indonesia (PSI), Encik Kaesang Pangarep, atas dakwaan suapan berikutan penggunaan jet peribadi yang tular di media sosial.
Laporan itu dibuat oleh penyelaras Penyelaras Masyarakat Anti Korupsi Indonesia (Maki), Encik Boyamin Saiman, melalui e-mel, manakala pensyarah Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Encik Ubedilah Badrun, mengajukan pengaduan secara langsung ke KPK pada 28 Ogos.
Encik Boyamin mengatakan Maki telah mengirimkan dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pemerintah Kota Solo dengan pihak PT Shopee Internasional Indonesia yang ditandatangani Encik Gibran Rakabuming Raka pada 23 April 2021 ketika menjadi Walikota Surakarta, lapor Tempo.co.
Encik Boyamin mendakwa perjanjian kerjasama itu perlu dilampirkan kerana Encik Gibran adalah abang Encik Kaesang dan pemberian jet peribadi itu disyaki berkaitan dengan MOU tersebut.
Encik Ubedilah pula didampingi peguamnya, Encik Ahmad Wakil Kamal, ke KPK dan meminta agar suruhanjaya itu membuka kembali laporan lebih dua tahun lalu yang dibuat olehnya.
“Dan hari ini melaporkan jet peribadi atau fenomena gaya hidup mewah itu, sebagai sebuah peristiwa yang mengesahkan kebenaran laporan kami dua setengah tahun yang lalu,” kata Encik Ubedilah.
Tindakan Encik Kaesang yang menikmati perjalanan menggunakan jet peribadi itu menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia, selepas maklumat mengenainya dimuat naik dalam media sosial oleh isteri beliau.
Jurucakap KPK, Encik Tessa Mahardhika Sugiarto, menyatakan pihaknya akan meneliti aduan tersebut mengikut lunas undang-undang memandangkan Encik Kaesang adalah sebahagian daripada keluarga pentadbir negeri.
KPK juga pada 28 Ogos merancang untuk meminta penjelasan daripada anak bongsu Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo itu tentang penggunaan jet peribadi bagi percutiannya ke luar negara baru-baru ini, serta siapa yang menanggung kos tersebut.
Pejabat Presiden enggan mengulas berhubung perkara berkenaan, lapor Reuters.
Encik Jokowi, yang memegang tampuk kuasa sejak 2014, mula berdepan kritikan selepas beliau didakwa cuba membina dinasti politiknya melalui pembabitan ahli keluarga yang lain.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Anak sulungnya, Encik Gibran, 36 tahun, dipilih sebagai Naib Presiden pada Februari sebelum memasuki pejabat secara rasmi pada 20 Oktober, bersama Presiden yang dilantik, Encik Prabowo Subianto.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg