Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Jokowi Kaesang tidak akan tanding pilihan raya

Aug 26, 2024 | 12:42 PM
Encik Kaesang Pangarep dan isterinya, Cik Erina Gudono, mencetuskan kemarahan ramai di media sosial berikutan percutian mewah mereka ke Amerika Syarikat di tengah-tengah protes yang membantah beliau bertanding dalam pilihan raya wilayah kerana tidak memenuhi syarat umur.  
Encik Kaesang Pangarep dan isterinya, Cik Erina Gudono, mencetuskan kemarahan ramai di media sosial berikutan percutian mewah mereka ke Amerika Syarikat di tengah-tengah protes yang membantah beliau bertanding dalam pilihan raya wilayah kerana tidak memenuhi syarat umur.   - Foto INSTAGRAM KAESANGGP

JAKARTA: Parti Solidariti Indonesia (PSI) berkata pengerusinya, Encik Kaesang Pangarep, tidak akan bertanding dalam sembarang pilihan raya gabenor pada November.

Anak bongsu Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo itu dan isterinya, Cik Erina Gudono, mencetuskan kemarahan ramai di media sosial berikutan percutian mewah mereka ke Amerika Syarikat di tengah-tengah bantahan di seluruh Indonesia.

Encik Kaesang dikhabarkan sebelum ini akan bertanding bagi jawatan gabenor di Jawa Tengah atau Jakarta.

Pada 20 Ogos, Mahkamah Perlembagaan (MK) mengekalkan peraturan had umur 30 tahun pada tarikh seseorang itu didaftarkan sebagai calon pilihan raya wilayah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

Had umur itu terpakai bukan pada tarikh seseorang calon dilantik memegang jawatan sekiranya memenangi pilihan raya itu, yang ditetapkan oleh Mahkamah Agung.

Bagi pilihan raya November, tarikh itu ialah pada Januari 2025.

Keputusan MK itu bererti Encik Kaesang tidak layak bertanding kerana pada tarikh pendaftaran calon pilihan raya pada 28 Ogos ini beliau belum berumur 30 tahun. Beliau akan mencapai usia itu pada Disember.

Keputusan MK itu juga memulihkan harapan bagi persaingan lebih kompetitif pada pilihan raya ketua wilayah, di tengah-tengah penguasaan parti politik bersekutu dengan Presiden Jokowi dan bakal presiden, Encik Prabowo Subianto, di beberapa wilayah paling ramai penduduk.

Oleh itu, bantahan di seluruh negara memuncak 22 Ogos selepas Dewan Rakyat, iaitu Parlimen, dengan tergesa-gesa meminda peraturan pilihan raya yang akan membatalkan keputusan MK itu.

Tindakan Dewan Rakyat itu dilihat sebagai usaha yang memihak kepada pakatan Encik Jokowi dan Encik Prabowo.

Namun The Jakarta Post melaporkan bahawa dalam satu kenyataan pada 24 Ogos, Setiausaha Agung PSI, Raja Juli Antoni, berkata:

“Berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan, saya pasti Kaesang tidak akan bertanding dalam sembarang pilihan raya tempatan pada November.

“Saya tahu betul-betul bahawa Kaesang mematuhi Perlembagaan (yang menetapkan keputusan MK muktamad dan mengikat),” ujar Raja Juli, yang juga timbalan menteri yang berkhidmat dalam pentadbiran Encik Jokowi.

KPU telah memohon kelulusan daripada Dewan Rakyat untuk menggunakan peraturan pencalonan yang diputuskan oleh MK, selepas penggubal undang-undang akhirnya tunduk kepada tekanan orang ramai untuk membatalkan tafsiran mereka mengenai had umur itu.

Dewan Rakyat memberi persetujuannya pada 25 Ogos, dua hari sebelum pendaftaran calon dibuka pada 27 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg