Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi rasuah selidik sumber sewa jet peribadi, barang mewah anak Jokowi Kaesang

Aug 28, 2024 | 1:00 PM
Dalam video yang tular di media sosial, Encik Kaesang Pangarep, dan isterinya, Cik Erina Gudono, dilihat turun dari sebuah jet peribadi dan memuatkan barangan mereka dalam kereta tanpa menjalani pemeriksaan kastam. 
Dalam video yang tular di media sosial, Encik Kaesang Pangarep, dan isterinya, Cik Erina Gudono, dilihat turun dari sebuah jet peribadi dan memuatkan barangan mereka dalam kereta tanpa menjalani pemeriksaan kastam.  - Foto TANGKAP LAYAR SKRIN VIDEO

JAKARTA: Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK), Encik Alexander Marwata, berkata agensi itu diberi kuasa meminta penjelasan berhubung kemudahan dan barangan mewah milik, Encik Kaesang Pangarep, dan isterinya, Cik Erina Gudono.

Menurut Encik Alexander, Encik Kaesang adalah ahli keluarga pentadbir negara, dan mesti dilayan sama rata di sisi undang-undang, lapor Tempo.Co.

“Kami menjunjung prinsip persamaan di hadapan undang-undang,” kata Encik Alexander dalam satu sidang media di KPK di Jakarta pada 27 Ogos.

Encik Kaesang, anak bongsu Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo, dan isterinya berdepan kecaman warganet kerana mempamerkan percutian mewah mereka di Amerika Syarikat ketika satu siri protes membantah rancangan mengubah Undang-Undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) sedang melanda negara itu.

Perubahan yang cuba dilaksana itu bertujuan membolehkan Encik Kaesang bertanding bagi jawatan gabenor dalam pilihan raya.

Kebanyakan warganet turut mendakwa Encik Kaesang Pangarep dan Cik Erina menyewa jet peribadi untuk kunjungan mereka ke Amerika.

Ketika di Amerika, Cik Erina sekali lagi mencetuskan kritikan apabila mempamerkan gaya hidup mewah dengan menikmati roti berharga 400,000 rupiah ($33.70) di Grand Central Market di Los Angeles, selain berbelanja mewah barangan keperluan bayi bersama kakaknya.

Menjawab mengenai perkara itu, Encik Alexander berkata KPK telah mengarahkan Pengarah Suapan dan Pengarah Pengisytiharan Aset Rasmi Awam meminta penjelasan daripada anak presiden itu.

Encik Kaesang dan Cik Erina didakwa menaiki jet peribadi bernilai berbilion rupiah dan membeli barangan mewah dari Hermes, Louis Vuitton, dan Dior tanpa pemeriksaan di Kastam dan Eksais.

Hasil ‘siasatan’ warganet mendapati tingkap jet itu sepadan dengan jet peribadi Gulfstream G650, malah data penerbangan juga mengesahkan ketibaan mereka di Washington ketika bantahan sedang memuncak.

Kadar sewa jet peribadi itu turut didedahkan warganet dengan perjalanan sehala dianggarkan melibatkan kos 4 bilion rupiah ($335,200) sekali gus mengundang kecaman pengguna media sosial kerana pasangan itu didakwa berbelanja secara berlebih-lebihan

Encik Alexander berkata KPK mengarahkan kedua-dua direktorat meminta penjelasan daripada Encik Kaesang untuk menjalankan tugas dan menjawab keraguan orang ramai.

“Isu ini mendapat perhatian umum dan menjadi kebimbangan orang ramai, jadi kita mesti proaktif,” ujar Encik Alexander.

Menurut beliau lagi, rakyat Indonesia perlu tahu sama ada Encik Kaesang menaiki jet peribadi itu dengan wang sendiri atau dihadiahkan, kerana kedudukan bapanya sebagai ketua negara.

“Jika beliau menggunakan wang sendiri, maka tiada masalah. ‘Ini duit saya sendiri, Tuan’, itu sahaja. Itu yang dia mesti jelaskan,” katanya.

Dalam video yang tular di media sosial, Encik Kaesang dan Cik Erina dilihat memuatkan barangan mereka terus ke dalam kereta tanpa menjalani pelepasan kastam.

Pengarah Perhubungan Awam Kastam, Encik Nirwala Dwi Heryanto, berkata institusi itu sedang menyiasat kesahihan video tersebut dan status penerbangan itu.

“Kami masih menyemaknya,” kata beliau pada 26 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg