Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afghanistan dakwa 58 askar Pakistan maut dalam pertempuran, sempadan ditutup

Oct 12, 2025 | 7:01 PM
Lori berhenti di pintu sempadan Torkham selepas Pakistan menutup sempadan dengan Afghanistan susulan pertukaran tembakan antara tentera kedua-dua negara, di Torkham, Pakistan, pada 12 Oktober.
Lori berhenti di pintu sempadan Torkham selepas Pakistan menutup sempadan dengan Afghanistan susulan pertukaran tembakan antara tentera kedua-dua negara, di Torkham, Pakistan, pada 12 Oktober. - Foto REUTERS

ISLAMABAD: Pakistan menutup laluan sempadan dengan Afghanistan pada 12 Oktober, menurut pegawai pemerintah Pakistan, susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara, dengan Kabul mendakwa telah membunuh 58 askar Pakistan.

Tentera Afghanistan melepaskan tembakan ke arah pos sempadan Pakistan pada malam 11 Oktober, dengan kementerian pertahanan negara itu menyifatkannya sebagai tindak balas terhadap serangan udara Pakistan di Afghanistan pada awal minggu lalu.

Pakistan berkata ia telah membalas dengan tembakan senjata api dan meriam.

Afghanistan mendakwa bahawa 58 askar Pakistan terbunuh, tetapi tidak memberi butiran bagaimana mereka memperoleh angka korban itu.

Afghanistan juga menyatakan bahawa 20 askarnya maut atau cedera dalam serangan itu, namun Pakistan belum memberikan respons terhadap dakwaan tersebut.

Kedua-dua negara mendakwa mereka telah memusnahkan pos sempadan satu sama lain.

Pegawai keselamatan Pakistan turut berkongsi rakaman video yang dikatakan menunjukkan pos-pos Afghanistan yang diserang.

Menurut pegawai keselamatan Pakistan, sebilangan besar serangan itu berlangsung hingga pagi 12 Oktober.

Namun, di kawasan Kurram, Pakistan, serangan tembakan terus berlangsung selepas itu, namun bukan secara berterusan, menurut pegawai tempatan dan penduduk.

Kementerian Pertahanan Afghanistan sebelum ini menyatakan operasi mereka telah berakhir pada tengah malam waktu tempatan.

Kabul berkata pada 12 Oktober bahawa ia telah menghentikan serangan atas permintaan Qatar dan Arab Saudi.

Kedua-dua negara Teluk Arab itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap pertempuran tersebut.

“Tiada sebarang ancaman di mana-mana bahagian wilayah Afghanistan,” kata jurucakap pentadbiran Taleban, Encik Zabihullah Mujahid, pada 12 Oktober.

Beliau menambah bahawa pertempuran masih berlaku di beberapa kawasan.

Islamabad menuduh pentadbiran Taleban melindungi militan yang menyerang Pakistan, namun Kabul menafikan tuduhan tersebut.

Dua pintu sempadan utama Pakistan dengan Afghanistan – di Torkham dan Chaman – ditutup pada 12 Oktober, menurut pegawai tempatan.

Sekurang-kurangnya tiga pintu sempadan kecil – di Kharlachi, Angoor Adda dan Ghulam Khan – turut ditutup, kata pegawai tempatan.

Afghanistan mempunyai sempadan sepanjang 2,600 kilometer dengan Pakistan.

Serangan udara Pakistan, yang tidak diakui secara rasmi oleh Islamabad, dikatakan menyasarkan pemimpin kumpulan pengganas Tehreek-e-Taleban Pakistan (TTP) di Kabul pada 9 Oktober, menurut seorang pegawai keselamatan Pakistan.

Masih belum jelas sama ada beliau terselamat dalam serangan tersebut.

TTP sedang berusaha untuk menumbangkan pemerintah Islamabad dan menggantikannya dengan sistem pemerintahan yang ketat berasaskan Islam.

Encik Mujahid turut menafikan bahawa TTP dibenarkan beroperasi dari Afghanistan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg