Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TUKILAN DARIPADA Laporan Afrika Selatan

Afrika Selatan kemuka bukti Israel lakukan pembersihan etnik di Gaza

Pertama kali dalam sejarah, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 11 Januari membuka sesi sulungnya mengenai dakwaan Afrika Selatan berkenaan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, satu perkembangan yang telah mendapat sokongan meluas daripada banyak negara, mengukuhkan gesaan global untuk gencatan senjata di Gaza, yang menerima tentangan daripada beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat dan Britain.
Jan 22, 2024 | 05:31 AM



THE HAGUE: Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah pada akhir Disember 2023 yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam perangnya ke atas Gaza dan berusaha menghentikan serangan tentera kejam yang membunuh lebih 23,000 rakyat Palestin.


Pemfailan setebal 84 halaman oleh Afrika Selatan mengatakan Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948, yang dibuat selepas Perang Dunia II dan Holocaust. Afrika Selatan membentangkan laporan yang membuktikan berlaku pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Dalam menyediakan permohonan ini, Afrika Selatan telah memberi perhatian yang teliti kepada peruntukan-peruntukan Konvensyen Genosid kepada tafsirannya, dan kepada penggunaannya pada tahun-tahun selepas kemasukannya berkuat kuasa pada 12 Januari 1951.

Kedua-dua Israel dan Afrika Selatan adalah penandatangan Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberikan ICJ, sebuah badan perundangan PBB tertinggi kuasa memutuskan pertikaian mengenai perjanjian itu.

Semua negara yang menandatangani konvensyen itu diwajibkan untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai, juga mencegah dan menghukumnya.

Perjanjian itu mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai sebagai tindakan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Juga diambil kira adalah perundangan ICJ, mahkamah dan tribunal antarabangsa yang lain termasuk Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia, Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda.

Pendirian Afrika Selatan

Afrika Selatan amat menyedari hakikat bahawa tindakan pembunuhan beramai-ramai berbeza daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa lain yang dibenarkan atau dilakukan oleh kerajaan dan tentera Israel di Gaza.

Oleh itu, menurutnya adalah penting untuk meletakkan tindakan pembunuhan beramai-ramai dalam konteks yang lebih luas mengenai kelakuan aparthied Israel terhadap rakyat Palestin selama 75 tahun, pendudukan dan perang selama 56 tahun di wilayah Palestin dan sekatan selama 16 tahun di Gaza.

Kesemua itu termasuk pelanggaran serius dan berterusan undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengannya termasuk pelanggaran berat terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang lain.

“Apabila merujuk dalam permohonan ini kepada tindakan dan peninggalan oleh Israel yang boleh mengakibatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang lain, kes Afrika Selatan adalah bersifat genosid, kerana ia dilakukan dengan niat khusus untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin yang lebih luas,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menyebut, sejak 7 Oktober Israel telah terlibat dalam serangan ketenteraan berskala besar melalui darat, udara dan laut.

Menjelang 29 Oktober 2023 dianggarkan 6,000 bom setiap minggu telah dijatuhkan di Gaza dan dalam dua bulan, serangan ketenteraan Israel telah “mendatangkan lebih banyak kemusnahan daripada memusnahkan Aleppo, Syria, antara 2012 dengan 2016.

Ia juga jauh lebih tinggi dalam pegeboman di Mariupol, Ukraine, atau pengeboman Jerman oleh tentera berikat dalam Perang Dunia II.

Kemusnahan yang dilakukan oleh Israel sangat melampau sehinggakan Gaza kini berbeza dengan angkasa. Ia adalah tekstur yang berbeza seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, dalam surat bertarikh 6 Disember 2023 kepada Presiden Majlis Keselamatan PBB,” kata laporan itu.


Bukti Israel melakukan genosid antara 29 September 2000 dengan 7 Oktober 2023, kira-kira 7,569 rakyat Palestin termasuk 1,699 kanak-kanak terbunuh dalam ’empat perang sangat tidak adil” serta serangan tentera lain yang lebih kecil, dengan puluhan ribu yang lain cedera.


Seramai 214 lagi rakyat Palestin, termasuk 46 kanak-kanak terbunuh semasa ‘Great March of Return’, satu protes aman berskala besar di sepanjang pagar pemisah antara Gaza dengan Israel, di mana ribuan rakyat Palestin menyertai setiap hari Jumaat selama lebih 18 bulan.


Afrika Selatan juga melaporkan, lebih 36,100 rakyat Palestin termasuk hampir 8,800 kanak-kanak dicederakan oleh Israel dalam tempoh itu.


Ini termasuk 4,903 orang yang ditembak di bahagian bawah kaki, “ramai berdiri ratusan beberapa meter dari penembak tepat, dengan tidak bersenjata” menyebabkan 156 daripada mereka terpaksa dipotong sekurang-kurangnya satu anggota badan dan lebih 1,200 memerlukan rawatan pembinaan semula anggota khusus.


“Dianggarkan lebih ramai kanak-kanak Palestin terbunuh dalam tiga yang pertama minggu di Gaza sahaja (sejumlah 3,195) daripada jumlah kanak-kanak yang terbunuh setiap tahun di seluruh zon konflik dunia sejak 2019.


Barisan peguam yang akan mewakili Afrika Selatan termasuk Encik John Dugard, seorang profesor undang-undang antarabangsa negara itu dan merupakan pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin dari 2001 hingga 2008.

Encik Tembeka Ngcukaitobi, seorang peguam untuk Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, memberitahu ICJ, “niat pembunuhan beramai-ramai” Israel adalah jelas daripada “cara serangan tentera ini dijalankan.”

Palestin terhutang budi

Kementerian Luar Palestin memaklumkan bahawa sistem antarabangsa “berhutang budi dengan Afrika Selatan” kerana mengheret Israel ke ICJ atas tuduhan genosid terhadap rakyat Palestin.
Pihaknya membuat kenyataan itu selepas pendengaran awam yang berlangsung selama dua hari di ICJ selesai, lapor agensi Anadolu.


“Kes Afrika Selatan mempamerkan bukti kukuh bahawa Israel sengaja melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid,” lapor agensi berita Palestin (WAFA) memetik kementerian berkenaan.

Afrika Selatan mengambil “langkah berani” memikul tanggungjawab dan komitmennya sebagai negara pihak kepada Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.


“Rakyat Palestin terus berhutang budi dengan kerajaan Afrika Selatan dan rakyatnya yang berani menentang ketidakadilan ke atas rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Sokongan negara lain

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk negara anggota Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Maghribi, menyuarakan sokongan mereka terhadap kes itu pada 30 Disember.

Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 2 Januari lalu menerusi Kementerian Luar Negeri turut mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan berkenaan. Ia mengulangi seruan untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.

Turkey melalui jurucakap Kementerian Luarnya, Encik Turkiye Oncu Keceli, menyiarkan dalam aplikasi X pada 3 Januari lalu mengalu-alukan langkah Afrika Selatan. Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, berkata pada 4 Januari lalu bahawa Amman menyokong Afrika Selatan.

Kementerian Luar Negeri Bolivia menyifatkan langkah Afrika Selatan sebagai bersejarah, menjadi negara Amerika Latin pertama yang menyokong kes ICJ terhadap Israel. Manakala Maldives, Namibia dan Pakistan menyatakan sokongan terhadap kes pembunuhan beramai-ramai yang difailkan oleh Afrika Selatan semasa sesi Perhimpunan Agung PBB.

Namun Amerika Syarikat menyuarakan bantahannya terhadap kes pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ini. Jurucakap keselamatan negaranya, Encik John Kirby, semasa sidang akhbar Rumah Putih pada 3 Januari lalu menggelar tindakan Afrika Selatan ini sebagai tidak berbaloi, tidak produktif dan sama sekali tanpa sebarang asas.


Presiden Israel Isaac Herzog, memberitahu Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, bahawa tidak ada yang lebih kejam dan tidak masuk akal daripada tuntutan mahkamah. Herzog juga berterima kasih kepada Encik Blinken atas sokongan Washington terhadap Israel.

Selain sokongan dari negara-negara, banyak kumpulan advokasi dan kumpulan masyarakat sivil di seluruh dunia turut menyertai seruan Afrika Selatan.

Lebih daripada 1,000 pergerakan popular, parti politik, kesatuan sekerja dan pelbagai organisasi di seluruh dunia menyeru negara-negara untuk menyokong tindakan Afrika Selatan terhadap kes pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh Israel.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Nahostgruppe Mannheim (Jerman), Malcolm X Centre for Self-Determination (Amerika), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam (Britain), Israel Against Apartheid (Israel), Persekutuan Kesatuan Sekerja Bebas Jordan, Mediciana Democratica (Italy). Institut Kajian Kritikal Zionisme, Satu Keadilan (Perancis), Yahudi Afrika Selatan untuk Palestin Merdeka, dan Perhimpunan Wanita Iraq Antarabangsa.


Laporan pertubuhan bukan kerajaan bebas Common Dreams, ini termasuk Terreiro Pindorama di Brazil, Asociacion Nacional de Amistad Italia-Cuba di Italy, dan Collectif Judeo Arabe et Citoyen pour la Palestine di Perancis turut menyokong langkah Afrika Selatan.


Memetik pengisytiharan terbuka daripada pemimpin Israel yang menyatakan hasrat mereka untuk memindahkan penduduk Palestin secara kekal dari tanah mereka sendiri, organisasi itu menyokong pertikaian Afrika Selatan bahawa tindakan ini termasuk di bawah Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.


“Di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, tuduhan Afrika Selatan bahawa tindakan Israel bersifat genosid adalah betul, kerana ia dilakukan dengan niat khusus… untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin yang lebih besar.’”


Israel dakwa tiada niat lakukan pembunuhan beramai-ramai

Perbicaraan berlangsung di hadapan 15 hakim yang datang dari pelbagai negara, diketuai Presiden ICJ, Encik Joan Donoghue, dan mereka turut disertai dua lagi hakim masing-masing dari Afrika Selatan dan Israel, iaitu Encik Dikgang Moseneke dan Encik Aharon Barak.

Israel cuba mempertahankan tindakannya menyerang Gaza di ICJ atas alasan mempertahan diri dan menyerang balas selepas diserang pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.

Pasukan pembelaan Israel, yang diketuai penasihat kepada Kementerian Luar Israel, Encik Tal Becker, mendakwa kes yang dibawa Afrika Selatan, kononnya Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid, adalah tidak berasas sama sekali.

Pasukan pembelaan Israel berkata mahkamah perlu membuktikan bahawa pimpinan Encik Benjamin Netanyahu itu sememangnya mempunyai ‘niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai’, bagi memenuhi kriteria di bawah Konvensyen Genosid 1948, seperti yang terjadi dalam peristiwa Holocaust.

Selain itu, mereka mendakwa tiada prima facie terhadap dakwaan Afrika Selatan, kerana negara itu tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan pertelingkahan atau perselisihan faham dengan Israel. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >