JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengesahkan bahawa dulang untuk program makanan berkhasiat percuma pemerintah yang diimport daripada China didapati mengandungi lemak khinzir, menimbulkan kebimbangan yang serius di negara majoriti Muslim itu.
Ketua majlis fatwa MUI, Encik Asrorun Niam Sholeh, berkata bahawa pengesahan itu dibuat dalam mesyuarat penyelarasan yang diadakan di ibu pejabat MUI di Jakarta Pusat minggu lalu, yang dihadiri wakil daripada beberapa agensi pemerintah dan kumpulan industri.
Antara yang hadir ialah pegawai Badan Pemakanan Nasional (BGN), Badan Pensijilan Halal (BPJPH), Badan Pemantau Makanan dan Ubat (BPOM) dan Badan Standardisasi Nasional (BSN), serta wakil persatuan perniagaan, termasuk Persatuan Pengeluar Bekas Makanan Indonesia (APMAKI) dan Persatuan Pengeluar Peralatan Dapur dan Pinggan (ASPRADAM).
“Telah disahkan semasa mesyuarat bahawa laporan pencemaran lemak khinzir dalam dulang import yang digunakan untuk program makanan percuma adalah sah.
“Beberapa peserta telah memerhati secara langsung proses pengeluaran di sebuah kilang di China. Penemuan itu juga disokong oleh dokumentasi bertulis,” kata Encik Asrorun pada 23 September.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan pihak mana yang mengesahkan pencemaran itu atau memberikan butiran lanjut mengenai hasil siasatan.
Beliau menegaskan bahawa walaupun MUI menyokong penuh program tersebut, namun pihak berkuasa mesti memastikan status halal bagi setiap aspek, termasuk rantaian bekalan makanan dan status halal.
“Sekiranya terdapat sebarang tanda unsur tidak halal, pengesahan menyeluruh mesti dijalankan, diikuti dengan langkah pembetulan sewajarnya,” Tegas Encik Asrorun.
Kebimbangan terhadap dulang program makanan percuma itu timbul berikutan laporan yang tidak disahkan dan tersebar di media sosial oleh Indonesia Business Post.
Laporan itu mendakwa bahawa siasatan di wilayah Chaoshan China mendedahkan dulang logam yang dieksport ke Indonesia, telah dirawat dengan lemak khinzir semasa proses pembuatan.
Agensiberita itu selanjutnya mendakwa bahawa pengeluar menggunakan keluli tahan karat jenis 201, bahan yang tidak dianggap selamat untuk sentuhan makanan dan boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius, termasuk gangguan neurologi.
Laporan itu juga menuduh pengeluar China memalsukan label “Buatan Indonesia” dan menampal tanda pensijilan Standard Nasional Indonesia (SNI) palsu.
Pendedahan itu telah mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan ibu bapa dan telah mendorong sebuah mukim di Sulawesi Utara menolak pelaksanaan program tersebut.
Ekoran kontroversi itu, Nahdlatul Ulama (NU) cabang Jakarta, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, melancarkan siasatannya sendiri.
Menurut CNN Indonesia, wakil NU melawat dua syarikat pengeluar dulang berkenaan di China dan mengesahkan penggunaan minyak pelincir yang berasal daripada daging khinzir semasa proses pengecapan logam.
Encik Rakhmad Zailani Kiki, ketua Persatuan Pondok Pesantren NU Jakarta berkata penggunaan pelincir berasaskan daging babi menjadikan dulang berkenaan haram, walaupun dibersihkan dan disterilkan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg