Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia henti dapur bermasalah, program makanan percuma diterus dengan kawalan ketat

Oct 3, 2025 | 2:41 PM
Orang ramai membawa plakad dan peralatan dapur ketika menyertai tunjuk perasaan membantah program makanan percuma kerajaan di Jakarta, Indonesia, 1 Oktober 2025.
Orang ramai membawa plakad dan peralatan dapur ketika menyertai tunjuk perasaan membantah program makanan percuma kerajaan di Jakarta, Indonesia, 1 Oktober 2025. - Foto REUTERS

JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggantung operasi beberapa dapur penyedia makanan percuma yang dikaitkan dengan kes keracunan besar-besaran, namun menegaskan program makanan percuma nasional akan diteruskan dengan pengawasan yang lebih ketat bagi melindungi keselamatan penerima.

Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) Encik Dadan Hindayana berkata keputusan itu dibuat selepas beberapa insiden keracunan melibatkan ribuan pelajar di beberapa wilayah sejak program yang menjadi tumpuan Presiden Prabowo Subianto itu dilancarkan sembilan bulan lalu.

“Kami menghentikan operasi dapur makanan percuma yang bermasalah susulan insiden (keracunan) baru-baru ini,” kata Encik Dadan dalam sidang media pada 2 Oktober di Jakarta. “Langkah ini diambil untuk memberi ruang kepada siasatan serta penambahbaikan fasiliti.

Program ini tetap diteruskan di seluruh negara tetapi dengan pengawasan yang lebih ketat bersama Kementerian Kesihatan dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM).”

Beliau menambah, Presiden Prabowo mengarahkan agar program dipercepatkan kerana ramai kanak-kanak dan ibu bapa masih menunggu bantuan makanan percuma.

Menteri Kesihatan Encik Budi Gunadi Sadikin mengesahkan kementeriannya bersama BPOM akan memantau program melalui laporan harian kes keracunan daripada pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas) dan jabatan kesihatan daerah.

“Setiap makanan akan diperiksa di sekolah sebelum diedarkan. Kami juga menetapkan piawaian pemakanan minimum serta keperluan pengurusan risiko untuk setiap dapur, termasuk pensijilan HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal), kebersihan, sanitasi dan pematuhan halal,” katanya.

Di Jawa Tengah, pihak polis dan pejabat kesihatan Semarang meningkatkan pengawasan termasuk menghadkan tempoh dari memasak hingga makanan dimakan, serta menubuhkan pasukan tindak balas pantas jika berlaku keracunan.

Menurut data BGN sehingga 30 September, seramai 6,457 pelajar di seluruh Indonesia dilaporkan mengalami keracunan sejak program bermula Januari lalu, dengan sekurang-kurangnya 72 dapur disiasat. Data ini dibentangkan kepada Dewan Perwakilan Rakyat pada 1 Oktober.

Sidang media khas itu diadakan selepas kematian seorang pelajar tingkatan 12, dikenali sebagai BR, dari SMK 1 Cihampelas di Bandung Barat pada 30 September. BR meninggal dunia selepas mengalami simptom muntah dan loya. Sebelum itu, pada 24 September, 121 pelajar sekolah sama dirawat kerana simptom serupa selepas makan makanan percuma, namun BR tidak termasuk dalam kumpulan itu.

Ketua Jabatan Kesihatan Bandung Barat, Cik Lia Nurliana Sukandar, menafikan kematian BR berpunca daripada makanan percuma. “Pelajar itu sebenarnya meninggal dunia bukan kerana makanan percuma,” katanya kepada media.

BR dilaporkan terus menjalani rutin harian seperti biasa selepas 24 September dan turut mengambil makanan lain. Keluarga bagaimanapun menolak permintaan untuk melakukan autopsi. Encik Dadan menyatakan BGN menghormati keputusan tersebut. “Kami tidak dapat mengesahkan butiran lanjut kerana keluarga menolak autopsi,” katanya.

Walaupun pemerintah bertegas untuk meneruskan program, pakar kesihatan dan kumpulan masyarakat sivil mengkritik keputusan itu.

Encik Ubaid Matraji dari jaringan pemantau pendidikan JPPI menyifatkan keputusan meneruskan program sebagai “kesilapan besar yang perlu dikaji semula.”

“Bagaimana mungkin program bernilai ratusan trilion rupiah diuruskan secara sewenang-wenangnya oleh BGN yang tiada pengalaman dalam pemakanan dan kesihatan?” soalnya. “Program ini tidak masuk akal, cuai dan jauh daripada tujuannya.”

Pakar kesihatan awam dari Universiti Griffith, Encik Dicky Budiman, turut memberi amaran bahawa penilaian program masih dangkal. “Banyak kerja rumah belum selesai. Jika punca sebenar keracunan tidak dikenal pasti dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan dengan betul, risiko kejadian berulang tetap ada,” katanya.

BGN setakat ini telah menggantung operasi 56 dapur yang dikenal pasti menyebabkan masalah keselamatan makanan. “Penggantungan ini sebahagian daripada penilaian menyeluruh untuk mencegah kejadian berulang,” kata Timbalan Ketua BGN, Cik Nanik S. Deyang.

Beliau menegaskan keselamatan penerima, khususnya kanak-kanak, menjadi keutamaan. “Keselamatan anak-anak yang menerima makanan percuma adalah keutamaan tertinggi kami,” ujarnya.

Presiden Prabowo dalam ucapan televisyen pada 29 September lalu mempertahankan program tersebut, menyebut kes keracunan hanyalah sebahagian kecil berbanding jumlah hidangan yang diagihkan. “Kami hitung dari semua makanan yang diedarkan, kesilapan hanyalah 0.00017 peratus,” kata beliau sambil menekankan semua dapur diwajibkan menguji makanan sebelum diedarkan.

Pemerintah memperuntukkan bajet sekitar 71 trilion rupiah (S$5.2 bilion) bagi 2025, dengan tambahan 28 trilion rupiah yang diminta BGN untuk memperluas operasi. Jumlah dapur meningkat dari 1,000 pada April kepada lebih 9,600 menjelang akhir September, manakala penerima manfaat melonjak daripada 3 juta kepada 31 juta orang.

Namun, pengkritik menegaskan keselamatan dan mutu makanan mesti diutamakan sebelum program diperluas. “Kita tidak boleh tunggu hingga ribuan lagi jadi mangsa,” kata Encik Ubaid. “Lebih baik dihentikan dahulu sehingga benar-benar selamat.”

Walaupun dikritik, pemerintah Prabowo kekal berpegang bahawa program makanan percuma penting untuk menangani masalah pemakanan kanak-kanak di Indonesia. Namun insiden keracunan dan kematian pelajar menuntut pemantauan lebih rapi agar tragedi serupa tidak berulang. “Kami faham kebimbangan masyarakat, dan kami perketatkan pengawasan,” tegas Encik Dadan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg