Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgensi PBB beri amaran risiko hipotermia di Gaza tanpa bekalan tambahan
Kanak-kanak lebih terdedah kehilangan haba badan dengan lebih cepat dalam cuaca sejuk
Agensi PBB beri amaran risiko hipotermia di Gaza tanpa bekalan tambahan
GENEVA: Agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November memberi amaran mengenai kemungkinan lebih banyak kematian akibat hipotermia di Gaza.
Memandangkan hal itu, agensi tersebut menggesa tambahan dana dan bekalan tempat perlindungan menjelang musim sejuk, selepas seorang bayi meninggal dunia akibat kesejukan.
Hujan lebat telah pun menenggelamkan puluhan ribu khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Mereka terpaksa hidup bersesak-sesak di kem penempatan selepas perang antara Israel dengan Hamas memusnahkan sebahagian besar Jaluran Gaza.
Minggu lalu, seorang bayi berusia sembilan bulan yang tinggal di dalam khemah bersama keluarganya, meninggal dunia disyaki akibat hipotermia, menurut agensi PBB dan pihak berkuasa Gaza.
Kes penyakit berkaitan pernafasan juga dilaporkan semakin meningkat di wilayah Palestin itu.
“Tanpa tempat perlindungan yang sempurna, tanpa bantuan keperluan kritikal, kematian akibat hipotermia akan berlaku,” kata ketua program Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) di Gaza, Encik Karl Baker, pada 17 November.
Beliau menyatakan bahawa kanak-kanak amat terdedah kerana mereka kehilangan haba badan dengan lebih cepat dalam keadaan cuaca sejuk.
“Adalah tidak boleh diterima apabila kejadian hipotermia masih berlaku dalam dunia moden,” tegas beliau.
IOM berdepan kekurangan dana sebanyak AS$173juta ($222 juta) bagi program menyediakan tempat perlindungan musim sejuknya, kata beliau.
Sebahagian besar daripada 2.1 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kini terpaksa berasak-asak di kawasan wilayah yang semakin mengecil, dengan peta PBB menunjukkan lebih separuh daripada keseluruhan kawasan Gaza berada di bawah sekatan Israel.
Encik Baker berkata pada taklimat media PBB di Geneva bahawa kira-kira 100,000 khemah kini sedang menunggu untuk dibawa masuk ke Gaza – lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Namun, kemasukannya terhalang oleh penutupan lintasan sempadan serta pemeriksaan keselamatan Israel yang berpanjangan.
Beliau turut menggesa agar struktur yang lebih kukuh seperti karavan dan rumah pasang siap dibiayai serta dibenarkan masuk.
Agensi kanak-kanak PBB sebelum ini mengadu bahawa Israel telah menyekat kemasukan peralatan menjelang musim sejuk.
Agensi ketenteraan Israel yang menyelaras bantuan, Cogat, menyatakan ia mempunyai “pelan persediaan musim sejuk” yang proaktif dan bekalan serta ubat-ubatan terus memasuki Gaza.
Encik Baker turut menyingkap pertemuannya dengan sebuah keluarga yang basah kuyup ketika berteduh di bawah kain kanvas yang melendut dan lusuh.
“Gaza sedang bertukar menjadi satu kem orang kehilangan tempat tinggal yang besar. Ia merupakan antara yang paling teruk pernah saya lalui,” katanya.
Sebanyak 53 negara dan pertubuhan antarabangsa menggesa pemerintah baharu Israel supaya segera menarik balik sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, ketika jutaan rakyat Palestin berdepan ancaman musim sejuk tanpa tempat perlindungan, bekalan perubatan dan bahan api yang mencukupi. – Reuters.