Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS beri amaran kepada Israel terhadap pemindahan paksa di Gaza

Perlu pastikan tiada kebuluran sedang serangan ketenteraan terhadap kumpulan Hamas diteruskan
Nov 13, 2024 | 1:46 PM
Duta Amerika Syarikat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Linda Thomas-Greenfield, berkata Israel harus memastikan tiada pemindahan paksa dan dasar kebuluran di Palestin.
Duta Amerika Syarikat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Linda Thomas-Greenfield, berkata Israel harus memastikan tiada pemindahan paksa dan dasar kebuluran di Palestin. - Foto REUTERS

NEW YORK: Amerika Syarikat menegaskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa “tidak boleh ada pemindahan paksa, mahupun dasar kebuluran di Gaza” oleh Israel dan dasar sedemikian akan memberi implikasi serius di bawah undang-undang Amerika dan antarabangsa.

Kenyataan oleh Duta Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, dibuat hanya beberapa jam selepas Washington menyatakan sekutunya, Israel, telah melakukan usaha yang mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza bagi mengelakkan sekatan terhadap bantuan ketenteraan Amerika.

“Namun, Israel mesti memastikan tindakannya dilaksanakan sepenuhnya – dan penambahbaikannya dikekalkan dari semasa ke semasa,” kata Cik Thomas-Greenfield kepada Majlis Keselamatan PBB.

Ia juga amat penting bagi Israel menghentikan sementara pelaksanaan undang-undang yang melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), tambahnya.

Majlis itu bermesyuarat pada 12 November mengenai laporan pakar kelaparan sejagat yang mengatakan terdapat “kemungkinan besar bahawa kebuluran akan berlaku di kawasan” utara Gaza ketika Israel meneruskan serangan ketenteraan terhadap kumpulan Hamas di kawasan itu.

“Sebahagian besar Gaza kini merupakan tanah tandus yang penuh dengan runtuhan,” kata Ketua Bantuan PBB sementara, Cik Joyce Msuya, kepada majlis tersebut.

“Ketika saya memberi taklimat ini, pihak berkuasa Israel sedang menyekat bantuan kemanusiaan daripada masuk ke Utara Gaza, di mana pertempuran masih berterusan dan sekitar 75,000 orang mempunyai bekalan air dan makanan yang semakin berkurangan,” tambahnya.

Duta Besar Israel ke PBB, Encik Danny Danon, menolak amaran kebuluran oleh pakar kelaparan global sebagai “palsu” dan menggariskan usaha Israel untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza.

Duta Besar Slovenia ke PBB, Encik Samuel Zbogar, berkata Majlis Keselamatan perlu mengambil tindakan terhadap Israel.

“Perang ini telah berlangsung lebih setahun, kita tidak boleh menerima jaminan yang seolah-olah mengatakan segala telah dilakukan untuk melindungi penduduk awam di Gaza. Ini jelas tidak benar,” katanya kepada majlis tersebut.

Majlis Keselamatan PBB kini sedang membincangkan draf ketetapan yang “menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dihormati oleh semua pihak” di Gaza.

Ia juga “menuntut kemudahan untuk kemasukan bantuan kemanusiaan secara penuh, cepat, selamat dan tanpa halangan dalam skala besar ke Gaza dan penghantarannya kepada semua penduduk awam Palestin yang memerlukannya”.

Teks tersebut ditulis oleh 10 ahli majlis yang dipilih, yang mula berunding dengan lima anggota tetap yang memiliki kuasa veto – Russia, China, Amerika, Britain dan Perancis – pada awal November.  

Russia dan China pada 12 November menyokong draf teks tersebut dan meminta agar ia dibawa untuk diundi secepat mungkin.

Sesebuah ketetapan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto untuk diluluskan.

Terdahulu Amerika menyatakan Israel tidak melanggar undang-undang negara itu dalam penyaluran bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza walaupun agensi bantuan menyatakan ia masih tidak mencukupi.

Israel sebelum ini mengumumkan kebenaran diberikan kepada bantuan tambahan melintasi Gaza, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir ditetapkan pentadbiran Presiden Joe Biden bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza atau Israel berdepan risiko sekatan bantuan ketenteraan.

Dalam masa yang sama, tentera Israel menggempur pinggir bandar selatan Beirut melalui udara pada 12 November satu daripada serangan pada siang hari paling teruk melanda kawasan tengah negara itu yang dikuasai Hezbollah, dan lebih 20 orang terbunuh.

Kepulan asap memenuhi ruang udara Beirut ketika kira-kira 12 serangan melanda pinggir bandar selatan bermula tengah hari.

Selepas membuat hantaran amaran ditujukan kepada orang awam di media sosial, tentera Israel berkata pihaknya menyerang sasaran Hezbollah di kawasan Dahiyeh Beirut dan kemudian turut memberitahu, membongkar sebahagian besar kemudahan senjata serta peluru berpandu kumpulan itu.

Israel berkata ia sudah mengambil langkah mengurangkan risiko bahaya membabitkan orang awam dan mengulangi tuduhan bahawa Hezbollah sengaja meletakkan pasukannya di tempat awam serta menggunakan penduduk sebagai benteng. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg