Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi pembangunan diarah utamakan AS dalam semakan bantuan luar negara

Trump turut kenakan tarif dan sekatan terhadap Colombia
Jan 27, 2025 | 11:33 AM
Pengunjung menaiki tangga semasa pembukaan projek pemulihan di Bimaristan Al-Muayyad Sheikh, salah sebuah hospital tertua yang telah melalui proses ubah elok besar-besaran yang dijalankan dengan kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan Purbakala Mesir serta Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), bagi memastikan pengurusan mampan tapak-tapak sejarah di kawasan Pasar al-Silah di Kahirah Lama, Mesir pada 18 Ogos 2024.
Pengunjung menaiki tangga semasa pembukaan projek pemulihan di Bimaristan Al-Muayyad Sheikh, salah sebuah hospital tertua yang telah melalui proses ubah elok besar-besaran yang dijalankan dengan kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan Purbakala Mesir serta Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), bagi memastikan pengurusan mampan tapak-tapak sejarah di kawasan Pasar al-Silah di Kahirah Lama, Mesir pada 18 Ogos 2024. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Trump telah memperkenalkan langkah tegas yang mengubah pendekatan Amerika Syarikat terhadap bantuan asing di bawah dasar ‘America First’ atau ‘Amerika Didahulukan’.

Arahan berhenti kerja dikeluarkan pada 24 Januari, menghentikan hampir semua bantuan luar negara yang diluluskan.

Memo yang diedarkan kepada lebih 10,000 kakitangan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) pada 25 Januari mengarahkan mereka menyokong visi Presiden Trump, dengan ancaman tindakan disiplin terhadap kakitangan yang gagal mematuhi arahan.

Encik Ken Jackson, pembantu pentadbir bagi pengurusan dan sumber, dalam memo bertajuk “Mesej dan Jangkaan Terhadap Tenaga Kerja” menulis: “Kami bertanggungjawab untuk menyokong Presiden dalam mencapai visinya. Presiden telah memberikan peluang besar kepada kita untuk mengubah cara kita menangani bantuan luar untuk dekad akan datang.”

Arahan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan organisasi kemanusiaan di seluruh dunia.

Dengan Amerika menjadi penyumbang tunggal terbesar dalam bantuan antarabangsa, menyumbang AS$72 bilion ($97 bilion) pada tahun fiskal 2023, keputusan itu mengancam operasi penting yang menyokong populasi rentan seperti di Sudan, yang bergelut dengan kebuluran melibatkan lebih 24.6 juta orang.

Memo tersebut menyatakan bahawa pembekuan perbelanjaan bantuan asing bermakna “penghentian sepenuhnya,” kecuali bantuan makanan kecemasan.

Walaupun pengecualian diberikan, ia memerlukan justifikasi terperinci dan kelulusan daripada kepimpinan USAID dan Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio.

Memo itu menegaskan: “Setiap program akan diperiksa dengan teliti. Ini bukan lagi urusan seperti biasa.”

Arahan tersebut turut melarang sebarang komunikasi luar antara USAID dengan jabatan pemerintah lain tanpa kebenaran pihak pengurusan tertinggi.

“Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan tindakan disiplin,” menurut memo tersebut.

Selain itu, kontraktor diarahkan untuk “segera mengeluarkan arahan berhenti kerja” dan menggantung kontrak sedia ada.

Kesan keputusan ini amat dirasakan di negara-negara seperti Sudan, di mana AS memainkan peranan penting dalam bantuan kemanusiaan.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Ocha), pengurangan dana akan menjejaskan populasi rentan yang sangat memerlukan bantuan makanan.

Cik Deepmala Mahla, Ketua Pegawai Kemanusiaan untuk badan bantuan kemanusiaan antarabangsa Care, berkata: “Kelaparan bukan sekadar meninggalkan perut kosong. Ia melemahkan keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan, menjadikan mereka lebih terdedah kepada penyakit serius.”

Walaupun dasar Encik Trump membenarkan bantuan makanan kecemasan diteruskan, ia tidak meliputi perkhidmatan penting lain, seperti rawatan pemakanan akut bagi mangsa kebuluran.

Pemimpin organisasi kemanusiaan bergelut untuk memahami bagaimana keputusan ini akan mempengaruhi operasi mereka.

Seorang jurucakap Ocha berkata: “Mana-mana pengurangan bantuan pasti akan memberi kesan kepada golongan paling rentan.”

Tindakan ini dilihat selari dengan langkah Encik Trump yang lebih luas untuk mengawal dasar imigresen dan membentuk semula birokrasi persekutuan.

Selepas menjawat jawatan 20 Januari lalu, beliau telah memecat atau memindahkan ratusan kakitangan pemerintah mencerminkan visinya untuk “merombak semula” sistem yang dianggapnya bermusuhan.

Selain isu bantuan asing, pentadbiran Encik Trump juga memulakan tindakan tegas terhadap Colombia selepas negara itu enggan menerima penerbangan deportasi migran.

Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, mengutuk tindakan tersebut, menyifatkan ia sebagai tidak berperikemanusiaan.

Encik Petro menegaskan bahawa Colombia tidak akan melayan migran seperti penjenayah.

“Kami adalah bertentangan dengan Nazi,” katanya dalam hantaran media sosial.

Langkah balas Encik Trump termasuk mengenakan tarif ke atas barangan Colombia dan sekatan perjalanan terhadap pegawai pemerintah negara itu.

Tindakan itu menunjukkan pendekatan lebih keras dalam dasar luar negara, menggambarkan keazaman Encik Trump untuk memaksa negara lain mengikut kehendaknya.

Dengan kebekuan bantuan asing dan ketegangan diplomatik, banyak pihak berpendapat langkah ini akan memberikan kesan buruk kepada mereka yang memerlukan.

Namun, Encik Trump bertegas bahawa ini adalah peluang untuk mengubah dasar bantuan luar negara.

“Hidup atau mati ramai individu di negara-negara konflik kini berada dalam pertaruhan,” ujar Cik Mahla.

“Ini bukan sekadar soal dana, tetapi soal kelangsungan hidup mereka yang paling rentan,” tambah beliau. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg