WASHINGTON: Presiden Donald Trump menggunakan ucapannya di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada 23 Januari menjanjikan pemotongan cukai kepada syarikat global jika mereka membawa pelaburan perkilangan ke Amerika Syarikat.
Sebaliknya, beliau mengancam untuk mengenakan tarif tinggi jika mereka enggan berbuat demikian.
Bercakap melalui video dari Rumah Putih ke persidangan tahunan di Davos, Switzerland, Encik Trump menggariskan “pendekatan ganjaran dan hukuman” untuk menarik pelaburan swasta ke Amerika.
Beliau juga membincangkan tindakan eksekutif yang telah dilaksanakannya sejak dilantik sebagai presiden, menyatakan bahawa beliau mempunyai mandat besar daripada rakyat Amerika untuk membawa perubahan.
“Datang dan hasilkan produk anda di Amerika dan kami akan memberikan anda kadar cukai antara yang paling rendah di dunia.Tetapi jika anda tidak mahu, itu hak anda, namun anda akan dikenakan tarif yang akan membawa berbilion malah trilion dolar ke dalam perbendaharaan kami, mengukuhkan ekonomi dan melunaskan hutang negara,” kata Encik Trump.
Pengasas WEF, Encik Klaus Schwab, ketika memperkenalkan Encik Trump, memuji agenda presiden itu dan mengundangnya untuk hadir secara fizikal pada 2026.
Encik Schwab berkata: “Kehadiran anda telah menjadi fokus utama perbincangan kami minggu ini.”
Dalam ucapannya, Encik Trump turut menyentuh mengenai konflik Russia-Ukraine, yang dijanjikannya untuk ditamatkan sebelum beliau memegang jawatan.
Walaupun menyatakan bahawa menghentikan perang tersebut adalah keutamaan, beliau tidak memberikan butiran konkrit mengenai caranya.
“Satu perkara yang sangat penting: Saya ingin bertemu Presiden Putin secepat mungkin dan menghentikan perang itu. Kita benar-benar perlu menghentikannya kerana perang itu amat dahsyat,” katanya.
Encik Trump turut menyalahkan pakatan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak dan sekutu (Opec+) kerana mengekalkan harga minyak yang tinggi, sambil menyatakan bahawa harga minyak yang rendah boleh segera menamatkan perang.
“Jika harga minyak jatuh, perang Russia-Ukraine akan tamat serta-merta,” tambahnya.
Beliau juga mengkritik Opec+ dengan berkata: “Mereka bertanggungjawab, hingga satu tahap tertentu, terhadap apa yang berlaku.”
Ucapan Encik Trump menarik perhatian ramai di Dewan Kongres Davos yang berkapasiti 850 orang, dengan hampir semua tempat duduk penuh.
Hadirin termasuk diplomat, aktivis hak asasi manusia, akademik, dan pemimpin perniagaan.
Namun, reaksi terhadap ucapannya bercampur-baur.
Ada yang teruja dengan keyakinan Encik Trump, sementara yang lain merasa kurang senang dengan pendekatan ‘America First’ atau ‘Amerika Didahulukan’ yang ditegaskannya.
“Saya terkesan dengan keyakinannya dan apa yang dikatakannya. Walaupun saya tidak bersetuju dengan banyak topiknya, saya rasa beliau bersedia dengan baik dan tahu kepada siapa beliau bercakap,” kata Encik Benedict Fontanet, seorang peguam dari Switzerland.
Sebaliknya, Cik Agnes Callamard, Setiausaha Agung Amnesty International, mengkritik pendekatan Trump sebagai mementingkan diri. “Ia adalah penekanan mutlak kepada ‘mengutamakan Amerika’ dengan mengorbankan seluruh dunia. Tiada apa-apa tentang dunia lain,” katanya.
“Visi ini adalah mengenai mengukuhkan ekonomi Amerika, tetapi keberkesanannya akan bergantung pada bagaimana ia diterima oleh dunia,” kata Cik Callamard.
Dalam masa yang sama, Encik Trump pada 23 Januari menandatangani satu perintah eksekutif berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk “menjadikan Amerika sebagai pusat dunia dalam kecerdasan buatan,” kata seorang pembantunya kepada pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih.
Perintah itu menetapkan tarikh akhir selama 180 hari untuk Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan bagi mencipta dasar yang “memelihara dan meningkatkan dominasi global Amerika dalam AI untuk mempromosikan kemakmuran manusia, daya saing ekonomi, dan keselamatan negara.”
Encik Trump juga mengarahkan penasihat AI dan pembantu keselamatan negaranya untuk menghapuskan dasar dan peraturan yang diperkenalkan oleh mantan Presiden Joe Biden.
Beliau juga mengarah pengubahan status fail rahsia terakhir mengenai pembunuhan Presiden John F Kennedy (JFK), iaitu kes yang masih mencetuskan teori konspirasi lebih 60 tahun selepas kematiannya.
Encik Trump menandatangani perintah eksekutif yang turut mengarahkan pendedahan dokumen berkaitan pembunuhan adik lelaki JFK, Robert F Kennedy (RFK) dan pemimpin hak asasi awam, Martin Luther King Jr, pada 1960-an.
“Ramai orang menunggu perkara ini selama berdekad. Semuanya akan didedahkan,” katanya ketika menandatangani perintah itu di Pejabat Oval, Rumah Putih. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg