Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi rasuah bebaskan anak Jokowi dari tuduhan pemberian hadiah

Nov 4, 2024 | 11:29 AM
Encik Kaesang Pangarep, anak bongsu kepada mantan Presiden Indonesia Joko Widodo, menjawab soalan wartawan ketika meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) di Jakarta pada 17 September 2024, selepas dipanggil KPK untuk memberi penjelasan mengenai penggunaan jet peribadi untuk perjalanan ke Amerika Syarikat. 
Encik Kaesang Pangarep, anak bongsu kepada mantan Presiden Indonesia Joko Widodo, menjawab soalan wartawan ketika meninggalkan bangunan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) di Jakarta pada 17 September 2024, selepas dipanggil KPK untuk memberi penjelasan mengenai penggunaan jet peribadi untuk perjalanan ke Amerika Syarikat.  - Foto AFP

JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyatakan bahawa perjalanan ke luar negara menggunakan jet peribadi oleh Encik Kaesang Pangarep, Ketua Parti Solidariti Indonesia (PSI), bukan satu bentuk pemberian hadiah haram.

Timbalan Ketua KPK, Encik Nurul Ghufron, pada 1 November menjelaskan bahawa perjalanan peribadi Encik Kaesang dan isterinya, Cik Erina Gudono, ke Amerika Syarikat pada Ogos lalu tidak melanggar undang-undang kerana Encik Kaesang bukanlah pegawai negara.

“Kes ini tidak melibatkan pemberian hadiah haram,” kata Nurul sambil memetik hasil siasatan unit pencegahan rasuah KPK. Beliau juga menekankan bahawa Encik Kaesang tidak lagi bergantung pada keluarga Jokowi, kerana namanya tidak lagi tersenarai dalam kad keluarga (KK) mantan presiden tersebut.

Keputusan ini mencetuskan kritikan daripada pengamat anti rasuah yang menilai penjelasan KPK sebagai lemah dan tidak memadai.

“Kaesang memang bukan pegawai negara, tetapi semua tahu bahawa beliau anak kepada presiden yang sedang berkhidmat ketika itu,” ujar Encik Aan Eko Widiarto, pensyarah undang-undang dari Universiti Brawijaya kepada The Jakarta Post.

Menurut Encik Aan, KPK seharusnya menyiasat sama ada pihak yang menyediakan jet peribadi itu mendapat manfaat daripada keputusan atau dasar yang dibuat oleh saudara Encik Kaesang yang memegang jawatan awam, bukan sekadar melihat dari sudut pentadbiran semata-mata.

Isu tersebut mula menjadi perhatian pada Ogos lalu apabila Cik Erina memuat naik foto di Instagram dari dalam pesawat yang dikenal pasti sebagai jet peribadi. Perjalanan itu didakwa untuk persediaan Cik Erina melanjutkan pengajian di University of Pennsylvania.

Foto-foto lain yang menunjukkan gaya hidup mewah pasangan itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga net, dengan ramai yang mendakwa jet tersebut sebagai hadiah tidak sah kerana hubungan kekeluargaan Encik Kaesang dengan bapanya Encik Jokowi.

Aktivis Encik Boyamin Saiman dari Komuniti Antirasuah Indonesia (MAKI) dan Encik Ubaidillah Badrun dari Universiti Negeri Jakarta (UNJ) bertindak melaporkan Encik Kaesang kepada KPK pada 28 Ogos, mendakwa penerimaan jet peribadi tersebut berkaitan dengan perjanjian perniagaan yang melibatkan Encik Gibran Rakabuming Raka, abang Kaesang yang ketika itu adalah Datuk Bandar Surakarta. Encik Gibran yang kini menjawat jawatan sebagai Naib Presiden menafikan tuduhan tersebut.

Pakar anti rasuah seperti Encik Zaenur Rohman dari Pusat Kajian Anti Rasuah Universiti Gadjah Mada (Pukat UGM) juga mempersoalkan alasan KPK.

“Siasatan sepatutnya menumpukan pada status Kaesang sebagai ahli keluarga pegawai negara, bukan sekadar status pentadbiran” tegas Encik Zaenur. Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan ini berisiko menjadi contoh buruk yang memungkinkan lebih banyak hadiah haram diberikan kepada pegawai negara melalui keluarga mereka.

“Keputusan KPK ini bertentangan dengan ketetapan Mahkamah Agung 1973 yang mengawal pemberian hadiah bukan sahaja terhadap pegawai negara tetapi juga anggota keluarga mereka,” tambah Encik Zaenur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg