JAKARTA: Bakal Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, menolak dakwaan adiknya, Encik Kaesang Pangarep, menerima perjalanan jet peribadi ke Amerika Syarikat sebagai satu bentuk ‘keistimewaan’ daripada syarikat e-dagang Shopee.
Encik Gibran menegaskan kerjasama antara pemerintah Kota Solo, Solo TechnoPark dengan Shopee diuruskan secara profesional.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan jet peribadi oleh Encik Kaesang tiada kaitan dengan Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Shopee, yang tertumpu pada pembinaan pejabat dan pusat permainan di tapak yang disediakan oleh pemerintah Kota Solo.
“Tak benar. Anda salah faham. MOU itu adalah satu perjanjian profesional antara pemerintah Kota Solo, Solo TechnoPark dengan Shopee. Tidak ada perkara sebegitu,” kata Encik Gibran kepada wartawan pada 10 September, lapor Tempo.co.
Pada 6 Disember 2021, Shopee merasmikan Shopee Solo Creative & Innovation Hub di Solo Technopark, untuk menyokong anak muda di Jawa Tengah dengan memberi ruang berinovasi dan rangkaian bagi memulihkan ekonomi.
Encik Gibran turut menekankan hubungan antara Shopee dengan pemerintahannya semasa beliau menjadi Walikota Solo bersifat profesional.
“Kerjasama itu adalah mengenai pembangunan pejabat di Technopark. Tidak ada kaitan dengan perkara lain,” ujar Encik Gibran, lapor Jakarta Globe.
Dakwaan mengenai Encik Kaesang timbul selepas video beliau bersama isterinya, Cik Erina Gudono, menggunakan jet peribadi, Gulfstream G650, ke Amerika tersebar.
Jet tersebut dikaitkan dengan syarikat Garena Online, yang memiliki Shopee.
Susulan video tersebut, Encik Kaesang, dilaporkan kepada Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) oleh Encik Boyamin Saiman, Koordinator Masyarakat Anti Korupsi Indonesia (Maki), atas dakwaan menerima gratifikasi daripada Shopee.
Laporan itu turut melampirkan dokumen MOU antara pemerintah Kota Solo dengan Shopee yang ditandatangani oleh Encik Gibran.
Encik Gibran meminta media agar berhati-hati membuat laporan dan usah menyebarkan khabar angin.
“Hati-hati dengan laporan anda,” tegasnya, sekali lagi menolak sebarang tuduhan kaitan jet peribadi dengan kerjasama tersebut.
Beliau juga enggan mengulas mengenai tuduhan serupa yang melibatkan abang iparnya, Encik Bobby Nasution, yang turut dikaitkan dengan isu itu.
Encik Gibran dipilih sebagai Naib Presiden dalam pilihan raya presiden pada Februari dan akan dilantik secara rasmi pada 20 Oktober, bersama bakal Presiden Prabowo Subianto.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg