JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) telah membongkar potensi negara kerugian 11.7 trilion rupiah ($957 juta) akibat penyalahgunaan kemudahan kredit yang diberikan oleh Eximbank Indonesia yang juga dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Eksport Indonesia (LPEI) kepada 11 peminjam.
KPK kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik skandal kewangan itu.
“Jumlah kredit yang diberikan, yang juga mencerminkan potensi kerugian negara, adalah sekitar 11.7 trilion rupiah,” kata Pemangku Pengarah Penyiasatan KPK, Encik Budi Sokmo Wibowo, dalam sidang media di ibu pejabat KPK, Jakarta, pada 3 Mac.
Menurut beliau, siasatan telah dimulakan sejak Mac 2024, dengan tumpuan terhadap 11 peminjam yang mendapat pinjaman daripada LPEI.
Baru-baru ini, KPK telah menamakan lima individu sebagai suspek dalam kes kemudahan kredit yang melibatkan sebuah syarikat swasta, Petro Energy (PE).
Encik Budi menegaskan bahawa siasatan ke atas 10 peminjam lain masih berjalan dan perkembangan lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Lima individu yang telah dikenal pasti sebagai suspek ialah dua Pengarah Urusan LPEI; pemilik Petro Energy; Pengarah Presiden Petro Energy, serta Pengarah Kewangan Petro Energy.
Mereka secara rasmi diisytiharkan sebagai suspek pada 20 Februari 2025.
“Kami mengesyaki terdapat unsur konflik kepentingan dalam kelulusan kredit ini. Wujud persetujuan awal antara pengarah LPEI dan pihak syarikat untuk memudahkan kelulusan pinjaman,” kata Encik Budi.
Eksekutif LPEI, tambah beliau, turut gagal memantau penggunaan dana yang diberikan, malah mengarahkan kakitangan untuk terus meluluskan pinjaman walaupun syarikat penerima tidak memenuhi kelayakan kredit.
“Kredit ini diluluskan tanpa asas yang kukuh dan tanpa kajian kelayakan yang mencukupi,” jelasnya.
KPK mendedahkan bahawa jumlah pinjaman yang diberikan kepada Petro Energy adalah sekitar AS$60 juta ($80.7 juta) atau kira-kira 900 bilion rupiah.
Dana tersebut disalurkan dalam tiga peringkat bermula pada 2 Oktober 2015 dengan pemberian 297 bilion rupiah; diikuti dengan tambahan 400 bilion rupiah pada 19 Februari 2016; sebelum pembayaran terakhir 200 bilion rupiah dilakukan pada 14 September 2017.
Namun, menurut siasatan KPK, Petro Energy sebenarnya tidak layak menerima pinjaman tersebut.
“Kami dapati syarikat ini tidak mempunyai keupayaan untuk membayar semula pinjaman tersebut,” tegas Encik Budi.
Selain itu, KPK turut menemui bukti Petro Energy telah mengemukakan dokumen kontrak palsu untuk mendapatkan pinjaman.
Malah, syarikat itu disyaki menyeleweng dana kredit bagi tujuan yang tidak sejajar dengan perjanjian pinjaman asal.
“Nisbah kecairan syarikat ini berada di bawah paras minimum, iaitu hanya 0.86, yang menunjukkan asetnya tidak mencukupi untuk menampung liabiliti jangka pendek,” jelas Encik Budi.
Sehubungan itu, KPK kini bekerjasama dengan Badan Pengawasan Kewangan dan Pembangunan (BPKP) bagi menentukan jumlah sebenar kerugian negara.
Setakat ini, anggaran kerugian akibat pinjaman kepada Petro Energy sahaja mencecah AS$60 juta, manakala kerugian daripada peminjam lain masih dalam siasatan.
“Kami komited untuk membawa semua pihak yang terlibat ke muka pengadilan dan memastikan dana negara tidak disalahgunakan,” kata Encik Budi, mengakhiri sidang media. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg