JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) memutuskan untuk menarik balik rancangan untuk meminta penjelasan daripada Encik Kaesang Pangarep, anak Presiden Joko Widodo, mengenai penggunaan jet peribadi semasa perjalanannya ke luar negara dilaporkan pada Ogos lalu.
Walaupun begitu, KPK masih meneruskan siasatan terhadap laporan yang mungkin melibatkan penerimaan hadiah secara haram.
Penggunaan jet peribadi oleh Encik Kaesang ketika perjalanannya ke Amerika Syarikat itu lalu menarik perhatian ramai, dan KPK pada mulanya merancang untuk memanggilnya bagi melihat sama ada jet tersebut dikaitkan dengan sebarang hadiah yang diterima berkaitan kedudukan ahli keluarganya yang memegang jawatan awam.
Bagaimanapun, rancangan untuk memanggil Encik Kaesang dibatalkan selepas KPK menyedari bahawa bahagian lain dalam organisasi mereka sudah mula menjalankan siasatan berkaitan laporan yang serupa. Laporan tersebut difailkan oleh aktivis anti-rasuah dan seorang pensyarah yang menuduh Kaesang menerima hadiah tidak sah.
Jurucakap KPK, Encik Tessa Mahardhika Sugiarto,menjelaskan bahawa laporan tersebut sedang diproses dan diperiksa dengan teliti. Oleh itu, KPK memutuskan untuk fokus kepada proses siasatan yang sedang berjalan di bahagian aduan awam KPK, lapor The Jakarta Post.
Keputusan sama ada KPK akan melancarkan siasatan rasmi bergantung pada penemuan bahagian aduan awam tersebut. Walaupun Encik Kaesang tidak memegang sebarang jawatan awam, hubungannya dengan keluarga yang berpengaruh, termasuk bapanya sebagai presiden dan abang iparnya Encik Bobby Nasution sebagai Datuk Bandar Medan, menarik minat pihak berkuasa.
Selain itu, abangnya, Encik Gibran Rakabuming Raka, baru sahaja meletak jawatan sebagai Datuk Bandar Surakarta untuk bersiap sedia untuk memegang jawatan Naib Presiden.
Pengerusi KPK, Encik Nawawi Pomolango, menegaskan bahawa Encik Kaesang tidak akan mendapat layanan istimewa, meskipun beliau adalah Pengerusi Parti Solidariti Indonesia (PSI), sebuah parti politik kecil yang dianggotai oleh golongan muda.
Encik Kaesang dan isterinya, Cik Erina Gudono, mendapat kecaman di media sosial selepas menunjukkan gaya hidup mewah mereka semasa melancong ke Amerika Syarikat ketika berlaku protes besar-besaran di seluruh negara terhadap usaha kontroversi ahli parlimen untuk mengubah peraturan pilihan raya daerah.
Pada masa ini, Encik Kaesang belum memberikan sebarang kenyataan mengenai isu jet peribadi tersebut. Namun, abang iparnya, Encik Bobby Nasution, menegaskan bahawa Encik Kaesang tidak memegang sebarang jawatan awam, dan oleh itu, KPK tidak berhak mempersoalkannya.
Encik Kaesang yang sebelum ini berdiam diri daripada perhatian awam, dilihat keluar dari ibu pejabat PSI di Jakarta pada malam Rabu, 4 September tetapi masih enggan memberikan komen kepada media.
Sebelum ini, KPK melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghubungi Encik Kaesang untuk menghantar surat panggilan mengenai isu jet tersebut. Namun, Setiausaha Agung PSI, Raja Juli Antoni, menyatakan bahawa Encik Kaesang telah hadir di ibu pejabat parti secara berkala sejak kembali dari Amerika Syarikat pada 28 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg