Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ahli nujum TikTok ditahan kerana ramal gempa bumi baru di Myanmar

Apr 24, 2025 | 8:07 PM
Beberapa pekerja bekerja di atas runtuhan sebuah bangunan semasa sambutan Perayaan Thingyan (perayaan air) di Mandalay, Myanmar, pada 14 April 2025. Perayaan tahunan ini, yang dikenali sebagai Thingyan di Myanmar, disambut dengan aktiviti menyimbah air dan menabur serbuk putih sebagai simbol penyucian dan menghapuskan dosa-dosa tahun lalu. Thingyan menandakan permulaan Tahun Baru tradisional dan turut disambut di negara-negara lain seperti Thailand, Laos dan Kemboja. Tahun ini, Myanmar menyambut Thingyan tanpa muzik atau tarian sebagai tanda berkabung selepas gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac.
Beberapa pekerja bekerja di atas runtuhan sebuah bangunan semasa sambutan Perayaan Thingyan (perayaan air) di Mandalay, Myanmar, pada 14 April 2025. Perayaan tahunan ini, yang dikenali sebagai Thingyan di Myanmar, disambut dengan aktiviti menyimbah air dan menabur serbuk putih sebagai simbol penyucian dan menghapuskan dosa-dosa tahun lalu. Thingyan menandakan permulaan Tahun Baru tradisional dan turut disambut di negara-negara lain seperti Thailand, Laos dan Kemboja. Tahun ini, Myanmar menyambut Thingyan tanpa muzik atau tarian sebagai tanda berkabung selepas gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac. - Foto EPA-EFE

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar telah menahan seorang ahli nujum TikTok kerana didakwa menyebarkan panik dengan meramalkan akan berlaku satu lagi gempa bumi kuat selepas kejadian gegaran pada Mac lalu, lapor media pemerintah pada 24 April.

John Moe The, 21 tahun, yang mempunyai lebih daripada 300,000 pengikut di TikTok, memuat naik satu video pada 9 April lalu yang meramalkan bahawa gempa bumi “amat kuat” akan melanda “setiap bandar di Myanmar” dalam tempoh 12 hari.

Dalam video yang telah ditonton sebanyak 3.3 juta kali, beliau menasihatkan: “Orang ramai tidak sepatutnya berada dalam bangunan tinggi pada waktu siang,” sambil menyarankan agar penonton membawa barang penting dan “lari keluar dari bangunan ketika gegaran berlaku”.

Gempa bumi pada Mac lalu yang melanda kawasan tengah Myanmar telah meragut lebih 3,700 nyawa dan menyebabkan sekitar 60,000 orang kini tinggal di khemah sementara, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ramai mangsa masih terlalu takut untuk pulang ke rumah akibat gegaran susulan yang berterusan.

Menurut kenyataan pemerintah tentera Myanmar yang disiarkan menerusi media rasmi, John Moe The telah ditahan dalam satu serbuan pagi pada 22 April di rumahnya di bandar Monywa, wilayah tengah Myanmar.

“Kami menerima maklumat mengenai penyebaran berita palsu melalui satu akaun TikTok yang mendakwa akan berlaku gempa bumi besar,” kata kenyataan itu.
“Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Begitu juga, tindakan tegas akan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menulis, menyebar atau berkongsi berita palsu,” tambah kenyataan itu lagi.

Seorang penduduk Yangon, Nan Nan, memberitahu AFP bahawa beliau tidak mempercayai ramalan berkenaan, tetapi ramai jirannya terpengaruh.
“Sebahagian besar jiran saya tidak berani tinggal dalam pangsapuri mereka dan tidur di jalan pada hari itu,” katanya. “Seorang kawan saya malah menyewa rumah kecil di luar bandar Yangon sebagai langkah berjaga-jaga.”

Akaun TikTok John Moe The menggunakan nama “John (Palmistry)” dan sering memaparkan ramalan berbentuk teks berlatarbelakangkan visual kosmos berputar. Antara ramalannya termasuklah bencana cuaca, pembebasan pemimpin awam Aung San Suu Kyi, serta serangan udara Amerika Syarikat ke atas Myanmar.

Walaupun terdapat sistem amaran awal gempa bumi yang dapat mengesan gegaran dan menghantar isyarat lebih pantas daripada gelombang kejutan, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menegaskan bahawa meramalkan gempa bumi sebelum ia berlaku adalah secara saintifiknya mustahil.

“Tiada saintis, termasuk USGS, yang pernah berjaya meramalkan gempa bumi besar,” menurut satu kenyataan di laman web agensi itu. “Kami tidak tahu caranya, dan tidak menjangkakan akan tahu dalam masa terdekat.” – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg