Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata Myanmar dilanjut 30 April bagi mudahkan bantuan pasca gempa

Apr 22, 2025 | 8:23 PM
Sebuah bangunan kelihatan musnah sepenuhnya selepas dibedil oleh tentera Myanmar dalam serangan udara di Daerah Thabeikkyin, Wilayah Mandalay, Myanmar Tengah pada 19 April 2025
Sebuah bangunan kelihatan musnah sepenuhnya selepas dibedil oleh tentera Myanmar dalam serangan udara di Daerah Thabeikkyin, Wilayah Mandalay, Myanmar Tengah pada 19 April 2025 - Foto AFP

YANGON: Pihak junta Myanmar pada 22 April mengumumkan lanjutan gencatan senjata sehingga 30 April 2025, susulan gesaan daripada kumpulan bantuan kemanusiaan dan pengantara antarabangsa yang memohon lebih masa bagi melancarkan usaha bantuan pasca bencana.

Keputusan itu dibuat selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar bulan lalu mengorbankan lebih 3,700 nyawa dan menyebabkan kerosakan besar di kawasan tengah negara tersebut.

Junta yang merampas kuasa dalam kudeta 2021 itu sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata bermula selepas gempa bumi pada 28 Mac lalu, sebagai usaha untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan terjejas.

Bagaimanapun, pemerhati konflik dan penduduk tempatan melaporkan bahawa pertempuran masih berlaku di beberapa kawasan meskipun perintah gencatan dikuatkuasakan selama 20 hari.
“Gencatan senjata dilanjutkan sehingga 30 April bagi meneruskan proses pemulihan dan pembinaan semula dengan momentum yang berterusan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan maklumat junta.

Namun begitu, pihak tentera turut menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas sekiranya kumpulan bersenjata lain melancarkan serangan. Kenyataan ini selari dengan pendirian mereka semasa pengisytiharan gencatan senjata terdahulu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gempa bumi tersebut telah menyebabkan lebih 60,000 penduduk terpaksa tinggal di khemah-khemah sementara, dan hampir dua juta orang kini berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan dan perlindungan segera.

Walaupun pertempuran dilaporkan masih berlaku, beberapa pertubuhan kemanusiaan dan kuasa serantau terus menggesa agar gencatan senjata ini diteruskan, memandangkan usaha bantuan kini memasuki minggu keempat.

Pada 17 April lalu, ketua junta Min Aung Hlaing terbang ke Bangkok untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini memegang jawatan pengerusi bergilir Asean.

Dalam sidang media selepas pertemuan itu, Datuk Anwar berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan bayangan Myanmar, Pemerintah Perpaduan Nasional  (NUG), yang juga bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selepas kejadian gempa tersebut.

“Kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengelak sebarang lanjutan pertempuran,” kata Datuk Anwar kepada wartawan. — AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg