BANGKOK: Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat sekuat 7.7 mengikut skala Richter di Myanmar telah meningkat kepada 3,706, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang sehingga 15 April, lapor Myanmar Now.
Gegaran kuat akibat gempa bumi 28 Mac itu turut menggegar negara jiran, termasuk Thailand, yang menyaksikan bangunan Pejabat Audit Negara runtuh di Bangkok.
Menurut Bangkok Post, angka kematian akibat bangunan runtuh di Thailand itu telah meningkat kepada 44 orang pada 15 April apabila pekerja mencari dan menyelamat menemui lebih banyak mayat di tapak itu.
Timbalan Gabenor Bangkok, Cik Tavida Kamolvej, berkata mayat manusia yang ditemui di lokasi tersebut telah dihantar ke jabatan polis forensik untuk pengecaman identiti mereka.
Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok, 50 orang masih hilang di bangunan yang telah menyembah bumi itu.
Pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan turut menjalankan siasatan berhubung punca runtuhan bangunan itu, termasuk menyemak latar belakang kontraktornya dan menilai mutu bahan binaan yang digunakan.
Pihak berkuasa Thailand telah meminta kedutaan Myanmar mengumpul contoh DNA daripada individu yang tinggal berhampiran sempadan Myanmar-Thailand bagi membantu mengenal pasti lebih ramai mangsa.
Pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan Thailand sedang menyiasat punca bangunan runtuh itu, mengkaji latar belakang kontraktor, dan menilai mutu bahan binaan yang digunakan.
Menteri Luar Thailand, Encik Maris Sangiampongsa, sebelum ini menyatakan bahawa Myanmar amat memerlukan bantuan perubatan segera, hospital lapangan dan tempat perlindungan sementara.
Menurutnya, dalam hal ini, kepentingan kerjasama serantau yang terselaras serta sokongan jangka panjang diperlukan ketika negara tersebut amat memerlukan bantuan.
“Apa yang paling diperlukan Myanmar sekarang ialah hospital di lapangan. Hospital sedia ada tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana rosak akibat gempa,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan keperluan segera seperti khemah, kelambu, penapis air dan bekalan makanan serta air bersih, di tengah-tengah kebimbangan meningkatnya penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, ditambah pula dengan cuaca panas melampau.
Ketika Myanmar berhempas-pulas menangani gempa bumi dahsyat, Amerika Syarikat menghadapi kritikan kerana meminggirkan negara itu pada saat-saat ia memerlukan bantuan dan menyerahkan kepimpinan sejagat dalam tindak balas bencana itu kepada pesaingnya.
Gempa bumi tersebut adalah bencana alam besar pertama sejak pentadbiran Presiden Donald Trump membatalkan program menyelamatkan nyawa bernilai berbilion dolar yang dikendalikan agensi bantuan kemanusiaan utama Amerika, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid).
Sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025, pentadbiran Encik Trump telah menghentikan ribuan pekerja dan memotong 83 peratus program Usaid – termasuk kakitangan dan program bagi membantu Myanmar. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg