SEOUL: Encik Kim Sang-wook daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah berkata pada 8 Disember bahawa beliau akan mengundi menyokong pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol, melainkan satu rancangan hala tuju jelas bagi penyingkirannya daripada jawatan dibentangkan.
Beliau salah seorang daripada tiga anggota parlimen PPP yang membuang undi semasa undian pada 7 Disember mengenai usul pembangkang untuk memulakan pendakwaan Encik Yoon berhubung pelaksanaan undang-undang tentera beliau pada 3 Disember.
Dekri undang-undang tentera itu tidak berpanjangan apabila Encik Yoon menarik balik perintah tersebut enam jam kemudian.
Selepas undian itu, yang meletakkannya dalam perhatian media, Encik Kim mendedahkan bahawa beliau mengundi menentang usul itu sejajar dengan pendirian partinya dan bukan pertimbangan peribadinya.
Namun, dalam satu temu bual bersama SBS TV pada 8 Disember, ahli politik itu berkata jika ada undian lain, beliau akan bertindak berdasarkan pertimbangannya sendiri.
“Sebagai ahli Dewan Negara, menjadi kewajipan saya untuk menegakkan Perlembagaan dan melindungi negara harus diutamakan daripada kepentingan parti,” katanya.
“Golongan konservatif tidak suka dan takut dasar-dasar (ketua pembangkang) Lee Jae-myung. Jika itu keadaannya, kita mesti memenangi pilihan raya presiden, dan untuk menang, konservatif mesti lebih berani memperjuangkan nilai mereka dan membetulkan kesilapan mereka,” tambahnya.
Kenyataannya itu merupakan kritikan jelas terhadap keputusan partinya untuk mengekalkan jawatan Presiden Yoon bagi mengelakkan mengukuhkan peluang pembangkang liberal meraih kuasa.
Enam parti pembangkang, yang diketuai oleh pembangkang utama Parti Demokratik Korea, merancang untuk mengadakan pengundian semula mengenai pemecatan Encik Yoon pada 14 Disember.
Usaha pertama mereka pada 7 Disember telah digagalkan oleh boikot parti pemerintah.
Sokongan dua pertiga dalam Dewan Negara yang dianggotai 300 anggota diperlukan untuk memecat Presiden. Bersama-sama, parti pembangkang menguasai 192 undi – kurang lapan undi.
Dua lagi parti pemerintah yang menentang boikot parti mereka dan mengambil bahagian dalam pengundian pada 7 Disember ialah Encik Ahn Cheol-soo dan Cik Kim Yea-ji. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg