Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Korea S mohon maaf, serahkan parti tentu kedudukannya

Dec 7, 2024 | 4:06 PM
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, menyampaikan ucapan kepada rakyat di Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan, pada 7 Disember.
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, menyampaikan ucapan kepada rakyat di Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan, pada 7 Disember. - Foto REUTERS

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, pada pagi 7 Disember telah membuat permohonan maaf kerana mencetuskan kekacauan awam dengan mengisytiharkan undang-undang darurat tentera.

Dalam ucapan beliau yang disiarkan melalui televisyen pada 10 pagi waktu tempatan, Encik Yoon turut berjanji tidak akan melakukan pengisytiharan undang-undang tentera kedua.

Encik Yoon menambah bahawa beliau tidak akan mengelak daripada sebarang tindakan undang-undang dan politik yang diambil terhadapnya dek pengisytiharan tersebut, yang menurutnya dibuat kerana terdesak.

Ucapan tersebut merupakan penampilan awam pertama pemimpin itu sejak beliau menarik balik perintah darurat tentera pada 4 Disember, enam jam sejurus ia diisytiharkan.

Ia ditarik balik apabila Parlimen menentang sekatan tentera dan polis untuk mengundi melawan pengisytiharan tersebut.

Encik Yoon menambah bahawa beliau akan menyerahkan partinya untuk menentukan kedudukannya menyusuli kejadian tersebut.

Encik Yoon berkata: 

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada rakyat yang terjejas hebat (akibat pengisytiharan darurat itu).

“Saya akan serahkan kepada parti kami untuk menstabilkan situasi politik pada masa hadapan, termasuk mengenai penggal kepimpinan saya.”

Pengerusi parti pemerintah Korea Selatan, Encik Han Dong-hoon, berkata selepas ucapan Encik Yoon bahawa Presiden itu tidak lagi berada dalam kedudukan untuk menjalankan tugas awam dan peletakan jawatannya tidak dapat dielakkan.

Pemimpin utama pembangkang Korea Selatan, Encik Lee Jae-myung, berkata beliau kecewa dengan ucapan Encik Yoon dan menurutnya, “Tiada jalan lain selain peletakan jawatan segera oleh Presiden dan peletakan jawatan awal melalui pendakwaan”.

Pendakwaan terhadap Encik Yoon akan diluluskan jika ia mendapat sokongan dua pertiga daripada 300 anggota parlimen, atau sekurang-kurangnya lapan undi daripada 108 ahli parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) Encik Yoon.

Anggota parlimen akan mengundi usul daripada Parti Demokratik pembangkang untuk mendakwa Encik Yoon, atas tindakan mengejutkan pada malam 3 Disember apabila beliau memberi kuasa darurat kepada tentera untuk menumpaskan apa yang beliau katakan sebagai ‘kuasa antinegara’.

Pada 6 Disember, Encik Han menyeru supaya Encik Yoon dipecat sebagai Presiden, dengan menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada negara.

Seruan Encik Han meningkatkan tekanan kepada Encik Yoon untuk meletak jawatan, walaupun ahli PPP kemudiannya menegaskan penolakan mereka terhadap pendakwaan yang diusulkan parti pembangkang itu.

Encik Han dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Encik Han Duck-soo, pada 7 Disember, lapor agensi berita tempatan, Yonhap News.

Menurut Perlembagaan, jika Encik Yoon meletak jawatan atau didakwa, perdana menteri akan mengambil alih jawatan sebagai presiden sementara.

Ribuan orang telah menyertai demonstrasi di luar Parlimen pada 6 Disember untuk menuntut pendakwaan terhadap Encik Yoon, dan lebih banyak demonstrasi dijangka akan dilaksanakan sebelum undian pendakwaan pada 7 Disember.

Pendakwa raya, polis dan Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Tinggi telah melancarkan siasatan terhadap Encik Yoon dan pegawai kanan yang terlibat dalam perintah undang-undang tentera itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg