SEOUL: Ejen tentera Korea Selatan, yang pernah dikenali dengan kekejaman dan terlibat dalam keganasan pada 1970-an dan 1980-an, telah menghabiskan beberapa dekad untuk membersihkan imej mereka agar dilihat sebagai sebuah pasukan moden dan berdisiplin.
Namun, imej itu tercalar pada 5 Disember apabila seorang jeneral yang memimpin pelaksanaan undang-undang tentera singkat memberikan keterangan yang mengelirukan semasa sesi soal siasat di Parlimen.
Penampilan tersebut mendedahkan kelemahan tentera, menjadikannya dilihat sebagai pasukan yang tidak bersedia dan tidak teratur, dari peringkat kepimpinan tertinggi hingga ke bawah.
“Kami tidak bersedia dari segi ketenteraan kerana ia telah dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa. Berlaku kekeliruan,” kata Jeneral Park An-su, Ketua Staf Tentera, memberitahu satu perbicaraan Parlimen pada 5 Disember yang bertujuan menyoal tentera mengenai perintah undang-undang tentera yang dilaksanakan pada malam 3 Disember oleh Presiden Yoon Suk Yeol.
Namun, dekri itu menjerumuskan negara itu ke dalam krisis politik, mencetuskan kemarahan meluas yang mendorong beribu-ribu penunjuk perasaan ke jalan raya.
Encik Yoon terpaksa membatalkannya selepas hanya enam jam.
Jeneral Park menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa peranan dalam perancangan itu. Malah, beliau mendakwa telah terperangkap dan hanya mengetahuinya apabila Encik Yoon mengumumkannya menerusi televisyen.
Pengumuman susulan oleh pihak tentera atas arahan Jeneral Park melarang “semua kegiatan politik” dan perhimpunan awam, serta menegaskan kawalan penuh ke atas saluran media.
Namun, dalam keterangannya pada 6 Disember, Jeneral Park mengakui bahawa beliau tidak membaca perintah tersebut sehingga diminta menurunkan tandatangannya.
Beliau turut menyatakan kekeliruan tentang pelaksanaan dekri itu dan mengakui tidak pasti langkah yang sepatutnya diambil.
“Kami adalah askar, dan sebahagian daripada kami adalah yang terbaik yang pernah saya kenali,” kata Jeneral Park ketika menggambarkan pertemuannya dengan para pembantu selepas dilantik sebagai komander undang-undang tentera.
“Tetapi kami tidak tahu banyak tentang undang-undang tentera. Kami tertanya-tanya apa yang perlu kami lakukan?’” kata beliau.
Keterangan Jeneral Park jelas bertujuan menyangkal tanggapan bahawa tentera telah kembali kepada cara lamanya yang kejam.
Sebahagian anggotanya pernah melalui era pemerintahan tentera yang penuh trauma, yang menyaksikan mereka terlibat dalam pemberontakan rakyat yang akhirnya membawa kepada demokrasi di Korea Selatan.
Pada 1970-an dan 80-an, tentera menggunakan undang-undang darurat untuk menindas penunjuk perasaan antikerajaan secara ganas, membunuh ratusan orang, menapis media serta memenjarakan wartawan.
Ketika itu, jeneral tentera bahkan bertindak kasar terhadap penggubal undang-undang.
Namun, rakyat Korea Selatan bangkit melalui perhimpunan besar-besaran, mendesak perubahan.
Menjelang 1990-an, golongan jeneral yang merampas kuasa telah dipenjarakan atas tuduhan pemberontakan. Tentera kemudian berusaha membersihkan imejnya dengan berikrar untuk tidak mencampuri hal ehwal politik, dan rakyat mula mempercayai mereka.
Itulah sebabnya rakaman yang disiarkan pada malam 3 Disember menunjukkan tentera elit terjun dari helikopter untuk mengambil alih Dewan Negara sekali gus mengejutkan ramai..
Dalam keterangannya, Jeneral Park mendakwa beliau tidak tahu siapa yang mengarahkan operasi tersebut, sekali gus menambah persoalan terhadap situasi yang sudah sedia tegang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg