Topik diikuti
Pergi ke BHkuAhmadinejad nafi dakwaan jadi sasaran Israel rancang pertukaran pemerintahan Iran
Ahmadinejad nafi dakwaan jadi sasaran Israel rancang pertukaran pemerintahan Iran
Ahmadinejad nafi dakwaan jadi sasaran Israel rancang pertukaran pemerintahan Iran
TEHERAN: Mantan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, menafikan laporan mendakwa agensi perisikan Israel, Mossad, pernah cuba merekrut beliau sebagai aset risikan dan bakal pemimpin baharu Iran, sambil menyifatkan semua dakwaan itu sebagai “rekaan sepenuhnya” yang bertujuan mengelirukan masyarakat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada 14 Julai, Encik Ahmadinejad turut menafikan laporan bahawa beliau kini dikenakan tahanan di rumah oleh pihak berkuasa Iran.
Pejabat beliau menuduh akhbar The New York Times menerbitkan laporan palsu bagi mempengaruhi pandangan umum serta mencetuskan perpecahan politik ketika Iran masih berdepan ketegangan susulan konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat.
“Kami menolak sama sekali semua dakwaan tidak berasas yang disebarkan oleh The New York Times,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Ahmadinejad turut menyifatkan laporan bahawa beliau berada di bawah tahanan rumah sebagai satu lagi dakwaan yang direka bagi mengukuhkan naratif yang disifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.
Penafian itu dibuat sehari selepas The New York Times menerbitkan laporan eksklusif yang mendakwa Mossad menjalankan operasi selama beberapa tahun untuk memujuk Encik Ahmadinejad bekerjasama dengan Israel.
Memetik pegawai kanan Amerika Syarikat dan Iran yang tidak dinamakan, akhbar itu mendakwa Israel melihat Encik Ahmadinejad sebagai calon berpotensi untuk memimpin Iran sekiranya berlaku pertukaran pemerintahan susulan peringkat awal perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap republik Islam itu.
Laporan berkenaan mendakwa ejen Mossad beberapa kali mengadakan pertemuan sulit dengan Encik Ahmadinejad di luar Iran, termasuk ketika beliau berada di Budapest, Hungary.
Menurut laporan itu lagi, pertemuan berkenaan dikatakan diatur menerusi sebuah persidangan perubahan iklim yang dijadikan sebagai alasan bagi membolehkan kedua-dua pihak bertemu secara rahsia.
Akhbar itu turut mendakwa Mossad membiayai sebahagian kos penginapan dan perjalanan Encik Ahmadinejad sepanjang operasi tersebut.
Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa pada hari-hari awal perang pada penghujung Februari lalu, perisikan Israel cuba membawa Encik Ahmadinejad keluar dari Teheran sebagai sebahagian daripada rancangan yang lebih besar untuk memudahkan perubahan pemerintahan di Iran.
The New York Times turut mendakwa sebuah serangan udara Israel menyasarkan kawasan kediaman yang dikaitkan dengan Encik Ahmadinejad, termasuk sebuah bangunan yang digunakan anggota keselamatannya serta kenderaan perisai miliknya.
Menurut laporan itu, sebuah kereta Peugeot berwarna hitam kemudian tiba di lokasi dan membawa Encik Ahmadinejad ke sebuah rumah perlindungan rahsia di dalam Iran.
Akhbar itu mendakwa kenderaan berkenaan dikendalikan oleh anggota Mossad, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa pegawai yang enggan dikenali.
Bagaimanapun, pejabat Ahmadinejad menolak keseluruhan laporan itu dan menegaskan bekas presiden berkenaan tidak pernah berhubung dengan Mossad.
Menurut kenyataan itu, Encik Ahmadinejad juga bebas bergerak dan tidak pernah dikenakan sebarang bentuk tahanan rumah seperti didakwa.
Pejabatnya turut menuduh akhbar berkenaan mereka cerita dan mengemukakan dakwaan tanpa bukti kukuh sebagai fakta.
Ia turut menyifatkan laporan itu sebagai satu bentuk “perang psikologi” yang bertujuan memanipulasi persepsi masyarakat ketika rantau Asia Barat masih bergolak.
“Dakwaan bergaya Hollywood ini bertujuan mencemarkan reputasi serta menjejaskan sokongan rakyat terhadap Mahmoud Ahmadinejad.
“Laporan itu cuba mengeksploitasi sensitiviti politik yang timbul susulan ancaman ketenteraan dan menjadi sebahagian daripada perang psikologi terhadap rakyat,” menurut kenyataan tersebut.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada Encik Ahmadinejad sendiri terbabit secara langsung dalam penyediaan kenyataan itu kerana ia ditandatangani oleh pejabat beliau dan turut merujuk bekas presiden itu dalam bentuk orang ketiga.
Kenyataan itu turut disiarkan oleh sebuah saluran media yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Encik Ahmadinejad.
Sebagai respons, jurucakap The New York Times, Cik Nicole Taylor, berkata akhbar itu tetap mempertahankan laporan berkenaan.
Beliau berkata laporan itu dihasilkan oleh sekumpulan wartawan berpengalaman yang memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai operasi tersebut.
“Kami tetap mempertahankan laporan eksklusif yang diterbitkan pada 13 Julai itu,” katanya.
Sehingga kini, pemerintah Israel tidak mengulas secara terbuka mengenai dakwaan bahawa Mossad merancang menjadikan Ahmadinejad sebagai pemimpin baharu Iran.
Jurucakap Encik Ahmadinejad, Encik Ali Akbar Javanfekr, sebelum laporan itu diterbitkan juga enggan mengulas perkara berkenaan.
Kontroversi itu tercetus hanya beberapa hari selepas Encik Ahmadinejad muncul buat kali pertama di khalayak ramai sejak perang antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Beliau menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, bersama beberapa tokoh kanan politik dan ketenteraan negara itu.
Encik Ahmadinejad yang memimpin Iran dari 2005 hingga 2013 dikenali dengan pendirian keras terhadap Israel sepanjang tempoh pemerintahannya, termasuk kenyataannya yang pernah menggesa negara itu “dihapuskan dari peta”.
Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau semakin lantang mengkritik kepimpinan republik Islam itu atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, selain dilihat mengurangkan retorik keras terhadap Israel.
Laporan The New York Times mendakwa selepas serangan udara ke atas kawasan kediamannya, agensi perisikan Iran mula menyiasat kemungkinan wujud hubungan antara Encik Ahmadinejad dengan Israel. - Agensi berita
