Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Air India mula cari pengganti CEO dek kerugian berterusan

Jan 6, 2026 | 2:59 PM
Air India, CEO, baru
Kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) semasa Air India, Encik Campbell Wilson, 53 tahun, yang bakal berakhir pada pertengahan 2027, tidak akan dilanjutkan. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Tata Group telah memulakan pencarian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru bagi Air India, menyusuli pemulihan perlahan syarikat penerbangan itu selepas kemalangan maut pada 2025 yang meragut lebih 241 nyawa penumpang dan kru.

Demikian menurut kenyataan sumber yang mengetahui perkara ini.

Kontrak CEO syarikat penerbangan itu, Encik Campbell Wilson, 53 tahun, yang bakal berakhir pada pertengahan 2027, tidak akan dilanjutkan, jelas sumber berkenaan.

Pengerusi Tata, Encik N. Chandrasekaran, mengadakan perbincangan awal dengan calon-calon CEO yang mempunyai pengalaman menguruskan syarikat penerbangan berskala besar, termasuk syarikat dengan operasi domestik yang besar, kata salah seorang sumber.

Syarikat penerbangan nasional Singapura, Singapore Airlines (SIA), memiliki pegangan 25.1 peratus dalam Air India, dan pendapatan bersihnya turut terjejas berikutan masalah yang dihadapi syarikat penerbangan India itu.

SIA sedang membantu Air India memindahkan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat secara dalaman, sebagai sebahagian pelan penyusunan semula, kata sumber yang mengetahui perkara itu pada Ogos.

Perbincangan Tata Group untuk menggantikan kepimpinan tertinggi di Air India dilaporkan oleh akhbar perniagaan India, The Economic Times, pada 6 Januari. 

Air India dijangka tidak akan mencapai sasaran untuk mencapai pulangan operasi pada 31 Mac, yang merupakan faktor utama kontrak Encik Wilson tidak dilanjutkan, jelas sumber itu lagi.

Pelan pemulihan syarikat penerbangan itu terjejas apabila sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner terhempas di Ahmedabad pada Jun 2025.

Punca kemalangan masih belum diketahui secara muktamad.

Wakil Air India, Tata Group, serta Encik Wilson, pula belum memberi respons terhadap emel yang memohon perincian.

Pengumuman mengenai CEO baru dijangka dibuat selepas laporan kemalangan itu dikeluarkan sekitar Jun.

Agensi-agensi berkaitan lazimnya mempunyai tempoh setahun selepas kejadian untuk menyiapkan laporan penemuan mereka.

Kedua-dua syarikat penerbangan utama India ketika ini mengalami ketidakstabilan, apabila pesaing lebih besar, IndiGo, menunggu tindakan pengawal selia susulan pembatalan penerbangan secara besar-besaran pada Disember.

Gangguan operasi itu berlaku akibat kekurangan juruterbang dan gangguan perisian, yang menyebabkan separuh juta penumpang terperangkap.

Kedua-dua syarikat penerbangan ini, bersama-sama menguasai hampir sembilan daripada 10 tempat duduk domestik, di pasaran penerbangan domestik ketiga terbesar dunia itu. 

Masalah yang dihadapi Air India dan IndiGo menimbulkan kebimbangan prasarana dan sistem peraturan India masih belum bersedia menyokong pertumbuhan pesat dalam perjalanan udara.

Cabaran luar – seperti isu rantaian bekalan yang mengganggu penghantaran pesawat, serta penutupan ruang udara Pakistan kepada syarikat penerbangan India yang menyebabkan laluan penerbangan menjadi lebih panjang – turut menjejas prestasi kewangan Air India.

Encik Wilson yang berasal dari New Zealand, menyertai Air India pada Julai 2022 dan sebelum ini bertugas di Singapore Airlines selama lebih 25 tahun.

Beliau menyertai Singapore Airlines di Auckland pada 1996 dan dilantik sebagai Naib Presiden operasi khidmat penerbangan tersebut di Canada pada 2006.

Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai pengurus besar operasi di Hong Kong, dan kemudian di Jepun pada 2010.

Encik Wilson menyertai syarikat penerbangan bajet Scoot Airlines sebagai CEO pengasas antara 2011 dengan 2016, dan kembali sebagai CEO syarikat tersebut antara April 2020 dengan Jun 2022.

Pemilihannya bagi menerajui Air India pula dibuat selepas pilihan awal Tata Group untuk peranan CEO, iaitu mantan ketua Turkish Airlines, Encik Ilker Ayci, menolak tawaran sebagai CEO syarikat penerbangan India tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg