Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA umum dividen khas meski pendapatan susut lebih 67% pada separuh pertama

Kekurangan berpunca daripada pendapatan faedah lebih rendah, perkongsian kerugian Air India
Nov 14, 2025 | 5:02 PM
Singapore Airlines (SIA), dividen khas, ekonomi
Pendapatan Singapore Airlines (SIA) merosot 67.8 peratus kepada $239 juta pada separuh pertama tahun kewangannya yang berakhir pada 30 September berbanding tahun sebelumnya. - Foto ST

Singapore Airlines (SIA) Group akan membayar dividen khas kepada para pemegang sahamnya untuk tiga tahun kewangan akan datang, meskipun pendapatannya terjejas oleh kerugian daripada syarikat bersekutunya, Air India, serta beberapa faktor lain.

Pendapatan atau keuntungan bersih SIA merosot 67.8 peratus kepada $239 juta pada separuh pertama tahun kewangan syarikat itu yang berakhir pada 30 September 2025, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pemfailan di Bursa Saham (SGX) pada 13 November selepas waktu dagangan, syarikat itu menyatakan penyusutan itu berpunca daripada pendapatan faedah yang lebih rendah serta perkongsian kerugian Air India.

SIA mula mengambil kira prestasi kewangan Air India sejak Disember 2024 selepas Vistara, sebuah lagi syarikat penerbangan India, digabungkan bersama Air India.

Syarikat penerbangan India itu dilaporkan sedang mendapatkan bantuan kewangan daripada SIA selepas nahas pesawat pada Jun 2025 yang meragut nyawa 240 orang, menjadikannya tragedi besar yang memberi tekanan tambahan kepada kedudukan kewangannya.

Walaupun keuntungan susut, pendapatan SIA meningkat 1.9 peratus dalam tempoh enam bulan sehingga 30 September berbanding tahun sebelumnya, mencecah rekod baru separuh pertama sebanyak $9.7 bilion.

Ini memandangkan permintaan perjalanan udara kekal kukuh meskipun persekitaran perdagangan sedunia berubah dan penuh ketidakpastian.

SIA merancang mengembalikan modal kepada pemegang saham melalui satu pakej dividen khas sebanyak 10 sen sesaham setiap tahun untuk tiga tahun kewangan berikutnya, dengan jumlah keseluruhan kira-kira $900 juta.

Syarikat itu menyatakan langkah itu mencerminkan kedudukan kewangan kumpulannya yang stabil.

Dividen khas interim pertama sebanyak tiga sen sesaham akan dibayar pada 23 Disember kepada pemegang saham yang tersenarai pada 8 Disember.

Bahagian kedua, iaitu tujuh sen sesaham bagi tahun kewangan 2025/2026, akan dibayar selepas kelulusan diperolehi pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu.

SIA menjangkakan akan membayar dividen khas sebanyak 10 sen sesaham bagi dua tahun kewangan seterusnya, sekiranya tiada halangan, serta tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

Pada masa yang sama, lembaga pengarah syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim lima sen sesaham bagi separuh tahun yang berakhir pada 30 September.

Pembayaran akan dibuat pada 23 Disember kepada pemegang saham yang tersenarai pada 8 Disember.

Secara keseluruhan, jumlah dividen bagi separuh pertama tahun kewangan 2025/26 ialah lapan sen sesaham.

SIA melaporkan permintaan perjalanan udara kekal kuat, dengan SIA dan cabang penerbangan bajetnya, Scoot, membawa 20.8 juta penumpang pada separuh pertama, peningkatan 8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Namun, hasil pendapatan daripada penumpang turun 2.9 peratus kepada 9.9 sen bagi setiap kilometer penumpang (RPK) kerana persaingan yang kian sengit.

Hasil penumpang mengukur jumlah yang diperoleh daripada setiap penumpang untuk setiap kilometer penerbangan.

Pendapatan kargo turut menurun dalam separuh pertama.

Meskipun muatan kargo meningkat 1.2, pertumbuhan itu tidak seiring peningkatan kapasiti 2.8 peratus.

Setakat 30 September, barisan pesawat operasi SIA terdiri daripada 208 buah pesawat penumpang dan kargo yang mempunyai purata usia selama tujuh tahun dan lapan bulan.

Pada suku kedua, SIA menambah tiga Boeing 737-8, membawa bilangan pesawat penumpang kepada 145 dan pesawat kargo kepada tujuh.

Scoot pula menerima dua Airbus A320neo, satu Boeing 787-8 dan satu Embraer E190-E2, menjadikan 56 pesawat penumpang.

SIA Group juga mempunyai 67 pesawat dalam tempahan.

SIA akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi antara 26 Oktober dengan 28 Mac 2026 bagi memenuhi permintaan musim sibuk hujung tahun.

Destinasi itu termasuk Auckland, Busan, Da Nang, Kathmandu, Kochi, Phuket, Siem Reap dan Tokyo (Haneda).

Setakat 30 September, rangkaian penumpang SIA meliputi 129 destinasi di 37 negara dan wilayah.

Rangkaian kargo merangkumi 133 destinasi di 38 negara dan wilayah, mengekalkan liputan sedunia yang meluas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg