NEW DELHI: Air India merancang bergantung pada pemegang sahamnya, Singapore Airlines (SIA), bagi memindahkan beberapa perkhidmatan penyelenggaraan pesawat ke dalam syarikat dan tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat milik negara, kata sumber.
Syarikat penerbangan India itu bersiap sedia untuk mengambil alih pemeriksaan pesawat sebelum penerbangan, penyelenggaraan harian, pembaikan kecil serta penyelesaian masalah daripada AI Engineering Services milik negara (AIESL).
SIA yang memiliki 25.1 peratus saham Air India, akan membantu dalam proses peralihan tugas penyelenggaraan itu kepada kakitangan Air India, kata sumber tersebut.
“Sebagai pemegang saham minoriti yang penting, SIA telah bekerja rapat untuk menyokong rancangan transformasi Air India,” kata jurucakap SIA dalam e-mel.
“Ini termasuk menyediakan kepakaran dan sokongan kepada Air India, apabila perlu.”
Peralihan secara berperingkat daripada AIESL itu berlaku selepas satu kemalangan pesawat yang mengorbankan ratusan nyawa pada 12 Jun dan punca kejadian tersebut masih belum diketahui.
Air India sedang dalam proses transformasi di bawah pemilik baru, Tata Group, yang membeli syarikat penerbangan itu pada 2022, apabila Penerbangan AI171 terhempas di Ahmedabad, mengorbankan 241 daripada 242 penumpang.
Mengambil alih perkhidmatan penyelenggaraan adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan Air India sejak sebelum nahas pesawat, tetapi ia ditangguhkan bagi memastikan lebih banyak pesawat beroperasi dan meningkatkan pengalaman penumpang, kata sumber.
Masalah perkhidmatan AIESL, seperti tandas tersumbat, turut dibangkitkan.
Walaupun terus bekerjasama dengan AIESL, Air India berkata prasarana penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikan semula (MRO) di India kini tidak mampu menyokong pengembangan 570 pesawat, termasuk jet besar.
“Bagi memenuhi keperluan operasi kami pada masa depan dan memastikan kebolehpercayaan serta keselamatan bertaraf dunia, kami perlu melabur dalam membina keupayaan dan kapasiti MRO yang kukuh di dalam negara,” kata jurucakap Air India.
Hubungan antara Air India dengan SIA kuat kerana Air India pernah membantu SIA pada era 1970-an.
Isu terkini yang melibatkan Air India turut memberi kesan pada keuntungan SIA, yang mencatat penurunan 59 peratus dalam keuntungan bagi suku tahun yang berakhir pada 30 Jun.
Kemalangan pesawat Air India membawa tumpuan kepada isu penyelenggaraan pesawat.
Laporan audit keselamatan terkini menunjukkan Air India Group mempunyai masalah terbanyak antara syarikat penerbangan India.
Sebanyak 93 penemuan dilaporkan bagi Air India dalam program pemantauan keselamatan, kata pengawal selia penerbangan India pada 30 Julai.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding 23 penemuan bagi IndiGo dan 14 untuk SpiceJet.
Menurut laman web penjejakan penerbangan Flightradar24, Air India mempunyai 191 pesawat manakala anak syarikat bajetnya, Air India Express, mengendalikan 115 pesawat.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat Airbus dan Boeing. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg