BANDA ACEH: Pada 26 Disember, masyarakat di seluruh Asia memperingati 20 tahun tragedi tsunami yang meragut sekitar 230,000 nyawa di 14 negara termasuk Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand.
Di wilayah Aceh, Indonesia, yang mengalami kehilangan lebih 100,000 jiwa, semboyan dibunyikan di Masjid Raya Baiturrahman sebagai tanda bermulanya upacara peringatan. Para individu yang terselamat dan keluarga mangsa berkumpul di masjid tersebut untuk berdoa dan mengenang mereka yang terkorban.
“Saya rasa seperti kiamat,” kata Cik Hasnawati, seorang guru berusia 54 tahun, mengenang detik-detik ketika bencana melanda.
“Pada pagi Ahad itu, ketika keluarga kami sedang bergembira bersama, tiba-tiba bencana datang dan semuanya hilang. Saya tak dapat ungkapkan dengan kata-kata.”
Sementara di Thailand, upacara peringatan diadakan di Ban Nam Khem, kampung yang paling teruk terjejas, di mana lebih 5,000 orang terkorban, separuh daripadanya adalah pelancong asing. Keluarga mangsa meletakkan bunga dan kalungan pada dinding peringatan yang berbentuk gelombang tsunami dengan plak nama-nama mangsa.
Encik Napaporn Pakawan, 55 tahun, yang kehilangan kakak dan anak saudaranya dalam tragedi itu, berkata: “Saya rasa sedih. Saya datang ke sini setiap tahun. Masa berlalu tetapi dalam fikiran kami, masa berjalan perlahan.”
Manakala di Sri Lanka, di mana lebih 35,000 orang terkorban, mereka yang terselamat dan keluarga mangsa menaiki semula kereta api Ocean Queen Express yang telah dipulihkan, menuju ke Peraliya, lokasi di mana kereta api tersebut dihanyutkan oleh gelombang tsunami, mengorbankan sekitar 1,000 penumpang.
Upacara keagamaan ringkas diadakan di sana, dengan penyertaan penganut Buddha, Hindu, Kristian dan Islam, sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
Tragedi ini menyebabkan lebih 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera. Tragedi tsunami 2004 telah membawa perubahan besar dalam pendekatan terhadap bencana alam di rantau ini.
Sistem amaran awal yang lebih canggih telah dipasang, dan latihan kesiapsiagaan bencana kerap diadakan untuk memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana di masa hadapan.
Di Aceh, pembangunan semula yang pesat dengan sokongan antarabangsa telah menghasilkan infrastruktur yang lebih kukuh dan tahan lasak.
Namun, bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, luka emosi masih terasa mendalam.
“Anak-anak saya, isteri, ayah, ibu, semua saudara saya dihanyutkan,” kata Encik Baharuddin Zainun, seorang nelayan berusia 70 tahun dari Indonesia.
“Tragedi yang sama dirasakan oleh orang lain juga. Kami merasakan perasaan yang sama.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg