Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ditenggelami gelombang hitam bak dinding gelap setinggi 10 tingkat

Anak kelahiran Aceh yang kehilangan seluruh keluarganya akibat tsunami, kini bertugas sebagai jurutera sistem di S’pura
Dec 21, 2024 | 5:00 AM
Gambar kenangan Encik Muhammad Iqbal (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan kakaknya (tiga dari kiri) yang maut ekoran tsunami di Aceh, Indonesia, 20 tahun lalu. Dua sepupu beliau dalam gambar ini terselamat.
Gambar kenangan Encik Muhammad Iqbal (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan kakaknya (tiga dari kiri) yang maut ekoran tsunami di Aceh, Indonesia, 20 tahun lalu. Dua sepupu beliau dalam gambar ini terselamat. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Encik Muhammad Iqbal yang dilahirkan di Aceh namun dibesarkan di Singapura tidak dapat melupakan ulang tahunnya yang ketiga pada 26 Disember 2004.

Ia merupakan hari terakhir beliau berkesempatan meluangkan masa bersama ibu, bapa dan kakaknya.

Apa yang bermula dengan sarapan ringkas bersama keluarganya di warung berdekatan rumah, bertukar menjadi satu mimpi ngeri bagi Encik Iqbal.

Meskipun baru berusia tiga tahun ketika itu, beliau masih mengingati bagaimana gelombang hitam bak dinding gelap setinggi 10 tingkat tiba-tiba datang menerpa dan arus deras ‘menelan’ dirinya dalam sekelip mata.

Begitu kuat arus yang tiba sehingga beliau terlepas cengkaman bapanya – yang sekali gus memisahkan kedua-dua ayah dan anak itu.

Mayat ayahnya tidak dapat ditemui sehingga ke hari ini.

“Waktu itu, saya ingat sangat-sangat gelap dan saya tak dapat bernafas. Saya cuba pekik tapi... Saya tidak ingat apa-apa lagi. Cuma sentuhan ayah saya sahaja,” singkap Encik Iqbal dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

Tragedi itu sekali gus menjadikan anak bongsu dua beradik itu sebatang kara.

Namun, daripada anak kecil yang hidup bersama keluarga tercinta di Banda Aceh, Indonesia, Encik Iqbal, 23 tahun, kini menetap bersama ibu saudara – yang juga adik ayahnya – di Singapura.

Ibu saudaranya yang berasal dari Aceh, tinggal di Singapura setelah mendirikan rumah tangga.

Dengan bantuan laporan akhbar di Aceh, keberadaan Encik Iqbal berjaya dikesan dan beliau dibawa ke Singapura oleh ibu saudaranya pada 23 Mac 2005 – tiga bulan selepas tragedi.

Di sinilah Encik Iqbal membesar dan menuntut sehingga kini berjaya menggalas jawatan sebagai jurutera sistem.

Beliau yang merupakan Pemegang Pas S, baru sahaja memohon untuk mendapatkan taraf Penduduk Tetap (PR) Singapura dan sedang menantikan keputusan permohonannya.

Encik Iqbal adalah antara mangsa bencana di Aceh yang berkongsi kisah bagi memperingati dua dekad sejak gempa dasar laut Sumatera-Andaman berukuran antara 9.1 dengan 9.3 di skala Richter melanda.

Tragedi itu turut menjelas 12 negara, termasuk Malaysia, Thailand, Sri Lanka, India, Bangladesh, Myanmar, Seychelles dan Somalia.

Ia meragut lebih 200,000 nyawa dan mengakibatkan 500,000 penduduk di Aceh kehilangan kediaman.

Gempa itu mencetus gegaran yang dirasai selama 10 minit oleh penduduk Aceh, disusuli gelombang raksasa tsunami selang 10 hingga 20 minit kemudian.

Meulaboh, kota yang terletak 245 kilometer dari Banda Aceh, paling teruk terjejas di Aceh, dengan 80 peratus kota itu musnah dek tsunami dan 40,000 jiwa dilapor terkorban.

Mantan Komander Pasukan Bertindak Bantuan Kemanusiaan Bersama, EncikTan Chuan-Jin, yang tiba di Meulaboh pada 1 Januari 2005, mengendalikan misi bantuan kecemasan selama tiga minggu yang melibatkan air bersih, makanan dan bekalan perubatan.

Dalam wawancara dengan BH, beliau yang ketika itu berpangkat Kolonel, turut berhubung dengan badan bantuan lain seperti Mercy Relief Singapura dan Palang Merah Singapura untuk menyelaraskan bantuan berkata:

“Beberapa pegawai saya menghadiri mesyuarat bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk memahami dengan tepat apakah yang berlaku, dan kemudian untuk melihat cara terbaik Singapura boleh membantu.

“Kemudian kami juga berkomunikasi dengan Mercy Relief atau Palang Merah untuk menerbangkan barang bantuan yang diderma oleh warga Singapura.”

Sementara itu, mantan pengarah eksekutif badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief, Encik Hassan Ahmad, turut berkongsi bagaimana rakyat Singapura tampil untuk bersama-sama menjayakan misi bantuan.

“Lebih 100 sukarelawan tampil ketika itu, ada sampai ambil cuti kerja. Ada yang jadi pengawal trafik kerana terdapat banyak lori menghantar pakaian yang diderma ke dua pusat pengumpulan di Lowland Road (kawasan Kovan, Hougang) dan Pasir Panjang.

“Ada pula kakak-kakak berbilang bangsa bersatu untuk menyiapkan makanan bagi sukarelawan kami,” tambah Encik Hassan.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg