MANILA: Ketika mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, menyebut namanya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 14 Mac, terdengar bisikan menghinanya di sebuah bilik sempit di sebuah gereja di Manila.
Terdapat lapan wanita menonton siaran video prosiding tersebut, ada yang memegang gambar suami atau anak yang terkorban akibat tindakan keras terhadap dadah yang merupakan dasar utama pemerintahan Encik Duterte.
Lelaki berusia 79 tahun itu, yang dibenarkan untuk hadir secara dalam talian, didakwa atas jenayah terhadap kemanusiaan berikutan kempen yang berlangsung bertahun-tahun itu. Menurut kumpulan hak asasi manusia, kempen tersebut telah meragut nyawa ribuan lelaki yang kebanyakannya dari golongan miskin.
Para balu dan ibu yang berkumpul ribuan batu jauh dari Manila telah diberitahu lebih awal bahawa mantan presiden mereka hanya perlu berkata sedikit sahaja selain daripada namanya.
Namun, nama Encik Duterte sudah cukup untuk “menyebabkan kami rasa takut dan penghinaan,” kata Cik Normita Lopez, 60 tahun, yang kemudiannya kedengaran menangis di kalangan penonton.
Polis Filipina menembak anaknya lima kali kerana “melawan,” satu frasa yang digunakan untuk membenarkan pembunuhan suspek dadah yang didakwa.
Keputusan untuk membenarkan Encik Duterte muncul melalui pautan video dari pusat tahanannya selepas penerbangannya yang panjang dari Manila menimbulkan ejekan dari beberapa orang dalam penonton yang kecil itu.
“Dia tidak nampak penat pada saya,” jerit seorang wanita ke arah skrin.
Sorakan dan ejekan kedengaran apabila peguam Salvador Medialdea yang mengatakan bahawa pemindahan anak guamnya ke The Hague adalah “penculikan biasa.”
Cik Sheerah Escudero, yang abangnya Ephraim telah diculik dan kemudian dijumpai mati semasa tindakan keras terhadap dadah, berkata hakikat bahawa Encik Duterte sedang menjalani perbicaraan hanya menekankan ketidakadilan.
“Kami, abang saya, pernahkah kami merasai hak asasi manusia itu?” katanya selepas tayangan itu.
Cik Jane Lee, yang suaminya terbunuh dalam perang dadah, berkata dia hampir tidak dapat menahan kemarahannya apabila melihat wajah Duterte.
“Apabila saya melihatnya, saya sangat marah sehingga hampir tidak dapat mengawal diri,” kata wanita berusia 42 tahun itu, mengenang bagaimana dia pernah melihat Duterte ketawa apabila mangsa-mangsa disebut dalam sesi pendengaran di Senat.
Apabila siaran sesi ICC berakhir, terdengar hembusan nafas panjang apabila hakim menjelaskan bahawa pendengaran seterusnya tidak akan diadakan selama enam bulan. Namun Cik Lee memberitahu hadirin bahawa kumpulan itu akan menggunakan masa tersebut untuk meneruskan perjuangan mereka.
“Kami berharap dia tidak akan kembali ke Filipina, supaya kami dapat merasai sedikit ketenangan,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg