THE HAGUE: Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, hadir buat kali pertama di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda, pada 14 Mac bagi mendengar pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikenakan terhadapnya susulan perang dadah berdarah yang dilancarkan ketika beliau berkuasa.
Dalam kenyataan rasmi, ICC memaklumkan sesi pendengaran awal bermula jam 2 petang waktu tempatan dan akan menyentuh aspek pengesahan identiti tertuduh, pemahaman terhadap prosiding, serta hak-hak beliau di bawah Statut Rom.
Menurut prosedur ICC, selepas pendengaran pertama ini, fasa seterusnya ialah sesi pengesahan pertuduhan, di mana pihak pembela boleh mencabar bukti yang dikemukakan pendakwa raya.
Proses ini boleh memakan masa berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun, sebelum satu perbicaraan penuh diadakan.
“Mahkamah akan memastikan tertuduh memahami pertuduhan serta hak-haknya sebagai defendan,” menurut kenyataan itu.
Encik Duterte, 79 tahun, ditahan pada 11 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, sebelum diterbangkan ke Belanda menerusi penerbangan khas.
Beliau dituduh bertanggungjawab terhadap pembunuhan sistematik terhadap pengguna dan pengedar dadah antara 2011 hingga 2019, bermula ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao dan berlanjutan sehingga menjadi Presiden (2016–2022).
“Saya sudah nyatakan kepada pihak polis dan tentera, ia adalah tugas saya dan saya bertanggungjawab,” kata Encik Duterte dalam satu kenyataan video sejurus tiba di The Hague.
Menurut data rasmi pemerintah Filipina, sekitar 6,000 orang terbunuh dalam perang dadah itu, namun kumpulan hak asasi manusia menganggarkan lebih 30,000 nyawa melayang, kebanyakannya tanpa proses perbicaraan sah.
Encik Gilbert Andres, peguam yang mewakili keluarga mangsa berkata: “Penahanan Duterte adalah langkah besar untuk keadilan antarabangsa. Ia membuktikan bahawa tiada sesiapa boleh kebal daripada undang-undang.”
Penahanan Encik Duterte berlaku ketika ketegangan politik antara keluarganya dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr. semakin memuncak.
Anak perempuan Duterte, Cik Sara Duterte, yang juga Naib Presiden kini berdepan proses pemecatan atas dakwaan rasuah dan komplot membunuh Marcos Jr., menyifatkan tindakan terhadap bapanya sebagai “penganiayaan politik”.
Cik Sara turut hadir di The Hague bagi menunjukkan sokongan kepada bapanya.
Dalam pada itu, keluarga Encik Duterte telah memohon injunksi kecemasan daripada Mahkamah Agung Filipina untuk menghalang penghantarannya ke ICC, namun ia gagal dilaksanakan tepat pada waktunya.
Ketua Pendakwa ICC, Encik Karim Khan, menyifatkan kes ini sebagai detik penting.
“Ramai menganggap undang-undang antarabangsa lemah, tetapi kes ini membuktikan ia masih berfungsi,” katanya.
Encik Khan menegaskan bahawa walaupun prosiding telah dimulakan, Encik Duterte masih dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebaliknya.
Sementara itu, komuniti antarabangsa terus memantau rapat perkembangan kes ini, yang dijangka menjadi ujian besar kepada keupayaan ICC menegakkan keadilan ke atas bekas pemimpin negara yang dituduh melakukan kekejaman atas nama keselamatan negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg