Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duterte mengaku ‘bertanggungjawab’ ketika ditahan ICC

Mar 13, 2025 | 10:28 AM
Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, menyampaikan perkongsian kepada rakyat Filipina melalui satu video di akaun media sosial, Facebook.
Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, menyampaikan perkongsian kepada rakyat Filipina melalui satu video di akaun media sosial, Facebook. - Foto FACEBOOK

THE HAGUE: Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, menyatakan beliau “bertanggungjawab” ketika ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 12 Mac bagi menghadapi pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan susulan kempen perang dadah yang dilaksanakannya semasa tempoh pemerintahan beliau.

Kenyataan itu dibuat Encik Duterte dalam satu rakaman video yang disiarkan melalui akaunnya di Facebook dan penasihat rapatnya sebelum pesawat peribadi yang beliau naiki mendarat di Rotterdam, Belanda.

Encik Duterte kini berada dalam tahanan ICC di The Hague.

“Saya yang mengetuai pasukan keselamatan dan angkatan tentera.

“Saya pernah berjanji bahawa saya akan melindungi mereka, dan saya bertanggungjawab atas semua ini.

“Saya telah berulang kali menyatakan kepada polis dan tentera bahawa ini adalah tugas saya, dan saya akan memikul tanggungjawab sepenuhnya,” ujar beliau dalam rakaman tersebut.

Encik Duterte, 79 tahun, ditahan bagi menghadapi tuduhan berkaitan jenayah pembunuhan yang dikaitkan dengan kempen memerangi dadah secara besar-besaran.

Pertubuhan hak asasi berkata, kempen itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, termasuk mereka yang tidak dibicarakan secara adil.

“Menurut kenyataan rasmi daripada ICC, terdapat asas munasabah untuk mempercayai bahawa Encik Duterte terlibat secara tidak langsung sebagai pihak yang turut menyumbang kepada pelaksanaan jenayah terhadap kemanusiaan, khususnya pembunuhan, semasa beliau menjawat jawatan Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022.”

Mahkamah turut merujuk kepada kejadian pembunuhan ketika Encik Duterte memegang jawatan Datuk Bandar Davao, sebelum menjadi Presiden.

Sekurang-kurangnya 19 pembunuhan didakwa dilakukan oleh pasukan yang dikenali sebagai, ‘Skuad Maut Davao’, yang dikatakan beroperasi di bawah pengetahuan dan restu beliau.

Sekurang-kurangnya 24 pembunuhan lagi dilaporkan berlaku sepanjang kempen dadah nasional yang diketuai Encik Duterte selepas beliau menjawat jawatan Presiden.

Kesemua kejadian itu menjadi asas kepada waran tangkap antarabangsa yang dikeluarkan oleh ICC.

Jurucakap ICC mengesahkan bahawa Encik Duterte kini berada dalam tahanan dan akan ditempatkan di pusat tahanan khas berhampiran pantai Laut Utara sehingga tarikh beliau dijadual muncul di mahkamah dan ia dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa hari lagi.

Encik Duterte kini menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang ditahan dan dihadapkan ke ICC.

Jika disabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup.

Menurut laman ICC, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati, namun boleh mengarahkan pampasan kepada mangsa.

Tindakan penahanan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan politik di Filipina, terutama antara keluarga Encik Duterte dengan pentadbiran semasa yang dipimpin oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr.

Anak Encik Duterte, Cik Sara Duterte, yang kini menggalas jawatan Naib Presiden, menyifatkan penahanan bapanya sebagai “penindasan” dan “penganiayaan politik”.

Peguam kepada beberapa keluarga mangsa pembunuhan dalam perang dadah, Encik Gilbert Andres, menyambut baik tindakan ICC dan berkata:

“Penahanan Duterte memberi isyarat jelas bahawa tiada sesesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang.”

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, turut mengeluarkan kenyataan menyokong penahanan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah kebertanggungjawaban terhadap ribuan kematian dalam kempen dadah Filipina.

Ketua Pendakwa ICC, Encik Karim Khan, pula berkata:

“Pelaksanaan waran tangkap ini amat penting bagi mangsa dan keluarga mereka.

“Ia membuktikan bahawa undang-undang antarabangsa masih berfungsi, dan keadilan tetap boleh ditegakkan walaupun selepas seseorang pemimpin meninggalkan kuasa.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg