Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akibat kelaparan warga jarah bantuan kemanusiaan ke Gaza: PBB

Jun 10, 2025 | 1:32 PM
Masalah kelaparan di Gaza disebabkan bantuan yang masuk kurang daripada 20 peratus jumlah bantuan yang disalurkan ke wilayah Palestin sebelum konflik.
Masalah kelaparan di Gaza disebabkan bantuan yang masuk kurang daripada 20 peratus jumlah bantuan yang disalurkan ke wilayah Palestin sebelum konflik. - Foto: AFP

JALURAN GAZA: Sekatan Israel terhadap Gaza mungkin telah ditarik balik sebahagiannya dan rancangan baru yang disokong Amerika Syarikat untuk menyampaikan bantuan telah bermula.

Tetapi terdapat beberapa petunjuk bahawa nasib rakyat Gaza semakin memburuk.

Sekatan yang dikenakan oleh tentera Israel ke atas laluan bantuan, serangan udara yang berterusan, kekurangan keselamatan dan perpindahan berterusan puluhan ribu orang memburukkan lagi keadaan yang sudah membimbangkan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan lain.

Bekalan yang masuk pula terdedah kepada risiko dirompak.

“Orang ramai di Gaza kelaparan. Ini menuntut pembukaan segera semua lintasan dan akses tanpa halangan untuk pertubuhan kemanusiaan segera menyampaikan bantuan secara berskala, melalui pelbagai laluan,” kata Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) dalam penilaian terbarunya.

Seramai 10 lagi terbunuh manakala 30 lain cedera menyusuli tembakan tentera Israel ke arah orang awam yang cuba memasuki pusat agihan makanan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) pada 9 Jun.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Bassal, berkata ‘beberapa’ tembakan dilepaskan pasukan Israel ke arah orang ramai di bulatan Al-Alam, berhampiran pusat agihan GHF di Rafah.

Katanya, enam rakyat Palestin yang dalam perjalanan ke pusat bantuan terbunuh dalam satu kes tembakan manakala empat lagi maut kira-kira lapan jam kemudian.

Encik Bassal berkata, seramai 31 orang cedera akibat tembakan tentera Israel dalam serangan berasingan di pusat GHF dekat selatan bandar Gaza.

Seorang wanita, Cik Umm Zuhair, yang cuba mendapatkan makanan untuk keluarganya pada 8 Jun di salah satu lokasi pengagihan makanan, berkata: “Kami sangat lapar sehingga kami sanggup mengambil risiko ditembak hanya untuk sekilo tepung.”

Bilangan kanak-kanak di Gaza yang mengalami kekurangan zat makanan akut semakin meningkat, lapor PBB pada 7 Jun, manakala kekurangan bahan api mengancam untuk menutup hospital yang masih beroperasi.

Agensi Israel yang mengendalikan pemeriksaan bantuan yang masuk ke Gaza, Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat), berkata pada 7 Jun bahawa 350 trak bantuan kemanusiaan telah memasuki Gaza melalui persimpangan Kerem Shalom pada minggu lepas.

Jumlah tersebut kurang daripada 20 peratus bantuan yang masuk ke Gaza sebelum konflik.

Agensi PBB melaporkan kesukaran yang berterusan berlaku bagi mendapatkan laluan pengedaran dalam Gaza yang dipersetujui dengan tentera Israel.

Ocha berkata, daripada 16 muatan lori yang siap untuk pengagihan pada 6 Jun, lima ditolak, termasuk minyak dan air, dan enam gagal sampai ke destinasi. Rompakan konvoi bantuan di Gaza juga telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Operasi telah menghadapi tahap ketidakamanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tingginya risiko rompakan yang kebanyakannya dilakukan oleh orang awam yang terdesak,” menurut Ocha lagi.

Encik Nahed Shehaibar, ketua Persatuan Pengangkutan Swasta di Gaza, berkata pada 7 Jun bahawa pengangkutan bantuan telah digantung “untuk hari ketiga berturut-turut ekoran serangan berulang ke atas trak.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg