BAITULMAKDIS/KAHIRAH: Sebuah pertubuhan kemanusiaan kontroversial yang disokong Amerika Syarikat dan Israel berkata ia telah menyambung semula pengagihan makanan di Gaza pada 8 Jun, selepas berhenti sehari kerana diancam kumpulan Hamas.
Ia telah menghentikan pengagihan makanan pada 7 Jun kerana mendakwa Hamas mengancam operasi di kawasan operasinya.
Tuduhan itu dinafikan oleh Hamas. Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters, beliau tidak tahu mengenai “ancaman yang didakwa” tersebut.
Pengumuman oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) pada 8 Jun itu adalah yang terkini ekoran rantaian kiriman di media sosial dengan maklumat yang berubah-ubah.
GHF memulakan operasi di Gaza pada 26 Mei dan berkata ia telah mengagihkan hampir sembilan juta hidangan makanan sehingga 6 Jun.
Sejak itu, ia telah membuka tiga pusat pengagihan, walaupun tidak semua pusat berfungsi secara serentak sejak beberapa hari lalu.
Satu lagi pusat di utara Gaza belum dibuka.
GHF dilaporkan Reuters tidak mengedarkan bantuan pada 4 Jun dan pada 6 Jun pula, menangguhkan sebahagian pengagihan bantuan “kerana kesesakan yang berlebihan”.
Ia telah meminta tentera Israel meneliti semula protokol keselamatan selepas pegawai hospital berkata lebih 80 orang ditembak mati dan ratusan lagi cedera berhampiran kawasan pengagihan dalam insiden bersaingan pada 1 hingga 3 Jun.
Penguasa kesihatan Gaza melaporkan puluhan penduduk Palestin telah terbunuh berhampiran tapak GHF antara 1 hingga 3 Jun.
Israel berkata ia sedang menyiasat insiden pada 2 dan 3 Jun tetapi menafikan tanggungjawab atas keganasan pada 1 Jun.
Israel dan Amerika menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menjalankan bantuan melalui GHF.
Namun PBB menolak kerana meragui sifat berkecuali yayasan itu dan menuduh model pengagihan tersebut memanipulasikan bantuan untuk tujuan ketenteraan serta memaksa pemindahan penduduk.
PBB berkata kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk di Gaza hampir kebuluran selepas kawasan itu dikenakan sekatan 11 minggu oleh Israel.
Kadar kanak-kanak kecil yang mengalami masalah kurang khasiat kini melonjak tiga kali ganda.
Menyusuli itu, Israel telah membenarkan operasi yang diketuai PBB disambung secara terhad pada 19 Mei.
PBB menggambarkan bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza sebagai “setitis di lautan”.
Tentera Israel berkata pada 7 Jun bahawa 350 lori bantuan kemanusiaan milik PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa lain telah dipindahkan minggu ini melalui sempadan Kerem Shalom ke Gaza.
PBB berkata Israel kerap menolak permohonan mereka untuk memasuki Gaza dan konvoi bantuannya turut dirampas lelaki bersenjata tidak dikenali serta penduduk yang kelaparan.
Israel dan Amerika menuduh Hamas mencuri bantuan daripada operasi yang diketuai PBB, namun Hamas menafikan tuduhan itu.
Sumber Hamas berkata sayap bersenjata kumpulan itu akan mengerahkan beberapa penembak hendap bermula 8 Jun di laluan yang digunakan operasi bantuan PBB, bagi menghalang kumpulan bersenjata merampas makanan.
Hamas juga menyeru semua rakyat Palestin supaya melindungi konvoi bantuan kemanusiaan.
Pejabat media pemerintah Gaza berkata pada 7 Jun bahawa operasi GHF “benar-benar gagal di semua peringkat” dan Hamas bersedia memastikan keselamatan operasi penghantaran bantuan kemanusiaan yang diketuai PBB.
Dalam pada itu, GHF yang beroperasi menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta Amerika, berkata ia sedang menyesuaikan operasi bagi mengatasi ancaman terbaru pada 7 Jun.
Ini meskipun GHF mendakwa tiada insiden telah berlaku di tapak pengagihan ‘selamat’ yang dikendalikannya.
Sejak beberapa minggu lalu, Israel telah memperluaskan serangannya di seluruh Jaluran Gaza selepas usaha rundingan gencatan senjata yang diketuai Amerika, Qatar dan Mesir gagal.
Petugas perubatan di Gaza melaporkan 55 orang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh wilayah itu pada 7 Jun.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada 7 Jun, hospital di Gaza hanya mempunyai bekalan minyak untuk tiga hari lagi dan Israel telah menghalang agensi bantuan antarabangsa ke kawasan simpanan minyak yang diperuntuk untuk hospital. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg