NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi pada 4 Jun mengenai ketetapan menggesa gencatan senjata dan akses kemanusiaan tanpa had di Gaza.
Bagaimanapun, langkah itu gagal selepas ditolak Amerika Syarikat.
Ia menandakan undian pertama badan 15 anggota itu mengenai ketetapan itu sejak November, apabila Amerika – sekutu utama Israel – turut menyekat usul menamatkan perang di Gaza.
Sebelum undian berlangsung, beberapa diplomat menyatakan mereka menjangkakan Amerika akan menggunakan kuasa vetonya.
Wakil daripada 10 ahli majlis yang mengemukakan draf itu, dilaporkan cuba berunding dengan pihak Amerika tetapi terbukti sia-sia.
“Ketetapan ini akan menjejas usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata yang mencerminkan realiti di lapangan dan menjadikan Hamas lebih berani,” kata utusan Washington di PBB, Cik Dorothy Shea, sebelum pengundian.
Veto itu adalah yang pertama oleh Washington sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari.
Teks ketetapan itu menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza yang dihormati oleh semua pihak dan pembebasan segera, bermaruah dan tanpa syarat semua tebusan yang masih ditahan Hamas.
Memetik “keadaan kemanusiaan yang dahsyat” di Gaza, resolusi itu menuntut penarikan balik semua sekatan ke atas kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin yang kini di ambang krisis kebuluran.
Ketetapan itu dibuat di tengah-tengah penelitian mendalam terhadap kempen ketenteraan Israel dan keberkesanan usaha menyalurkan bantuan.
Israel telah menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan selama lebih dua bulan sebelum melonggarkan sebahagian sekatan pada pertengahan Mei.
Namun, menurut pekerja bantuan, jumlahnya masih tidak mencukupi.
Pengkritik turut menimbulkan kebimbangan mengenai Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika, menuduhnya tidak bersifat berkecuali dengan menyelaraskan pengagihan bantuan dengan pihak berkuasa Israel.
Dalam pada itu, serangan Israel pada 4 Jun telah membunuh sekurang-kurangnya 16 orang di Gaza, termasuk 12 yang tinggal di kem pelarian.
Seramai 27 orang terbunuh pada 3 Jun berhampiran tempat pengagihan bantuan makanan kelolaan GHF di selatan Gaza, apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg