Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktivis flotila Gaza kongsi kisah dilayan penuh kekerasan

Oct 5, 2025 | 5:13 PM
Global Sumud Flotilla (GSF) berlayar pada September untuk menghantar bantuan ke Gaza yang dilanda perang, tetapi Israel menyekat bot-bot tersebut dan menahan lebih 400 orang yang mula dihantar pulang ke Turkey terlebih dahulu pada 3 Oktober.
Global Sumud Flotilla (GSF) berlayar pada September untuk menghantar bantuan ke Gaza yang dilanda perang, tetapi Israel menyekat bot-bot tersebut dan menahan lebih 400 orang yang mula dihantar pulang ke Turkey terlebih dahulu pada 3 Oktober. - Foto AFP

ISTANBUL: Aktivis antarabangsa yang tiba di Istanbul selepas diusir dari Israel berikutan bot bantuan kemanusiaan atau flotila mereka dipintas oleh tentera Israel ketika menuju ke Gaza pada 4 Oktober, berkata mereka telah diperlakukan dengan kekerasan dan “dilayan seperti binatang”.

Bot-bot Flotila Global Sumud (GSF) berlayar pada September untuk membawa bantuan ke Gaza yang dilanda perang, namun Israel menyekat bot-bot tersebut dan menahan lebih 400 orang yang mula dihantar pulang pada 3 Oktober.

Daripada jumlah tersebut, 137 aktivis dari 13 negara tiba di Istanbul pada 4 Oktober, termasuk 36 warganegara Turkey.

“Kami ditahan dengan sejumlah besar kapal tentera,” kata Encik Paolo Romano, seorang ahli majlis serantau dari Lombardy, Italy.

Beliau berkata: “Beberapa bot juga diserang dengan meriam air. Semua bot diambil oleh orang yang bersenjata. Mereka suruh kami berlutut dengan muka menghadap ke bawah. Kalau kami bergerak, mereka akan pukul kami. Mereka ketawa, hina kami, dan terus pukul kami.”

“Mereka menggunakan kekerasan psikologi dan fizikal,” tambahnya.

Antara mereka yang berada dalam misi kemanusiaan, membabitkan sekitar 45 kapal, termasuk anggota politik serta aktivis seperti penggiat misi iklim Sweden, Cik Greta Thunberg.

Encik Romano berkata mereka cuba memaksa aktivis ini mengaku mereka memasuki Israel secara haram.

“Tetapi kami tidak pernah memasuki Israel secara haram. Kami berada di perairan antarabangsa dan itu adalah hak kami untuk berada di sana,” ujarnya.

Setibanya di darat, mereka dibawa ke penjara dan ditahan di sana tanpa dibenarkan keluar dan tidak diberi minuman dalam botol, katanya.

“Mereka membuka pintu pada waktu malam dan menjerit kepada kami dengan senjata untuk menakutkan kami,” tambah Encik Romano lagi.

“Kami diperlakukan seperti binatang,” jelasnya.

Cik Iylia Balqis, seorang aktivis berusia 28 tahun dari Malaysia, pula berkata pemintasan bot-bot tersebut oleh Israel adalah “pengalaman terburuk” dalam hidupnya.

“Kami digari, tidak boleh bergerak, ada yang dipaksa baring menghadap tanah dan kami tidak diberi air atau ubat,” katanya.

Para aktivis tersebut diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat Turkish Airlines yang ditempah khas.

Golongan aktivis Turkey itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan setibanya di sana dan tampil di mahkamah pada 5 Oktober untuk memberikan keterangan, kata peguam mereka.

Turkey telah mengecam pemintasan flotila oleh Israel sebagai “tindakan keganasan”, dengan mengatakan pada 2 Oktober pihaknya telah membuka siasatan.

Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, memuji aktivis yang terlibat sebagai “individu berani, yang memberi suara kepada kemanusiaan” di platform X, dan berkata semua warganya akan diberi jaminan dibawa pulang.

Wartawan Italy, Encik Lorenzo D’Agostino, yang berada di atas bot untuk membuat liputan mengenai misinya, berkata mereka “diculik di perairan antarabangsa ketika berada 88 kilometer dari Gaza”.

“Ia adalah dua hari yang sangat mengerikan di penjara. Kami dapat keluar dan mengucapkan terima kasih kepada tekanan daripada orang awam di merata dunia yang menyokong Palestin,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg