Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantahan di Eropah, bandar dunia selepas Israel tahan flotila bantuan ke Gaza

Oct 3, 2025 | 11:57 AM
Penunjuk perasaan pro-Palestin memegang suar dan sepanduk ketika membantah tindakan tentera Israel memintas beberapa kapal Flotila Global Sumud yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dan memusnahkan sekatan laut Israel, di Bologna, Italy, 2 Oktober 2025
Penunjuk perasaan pro-Palestin memegang suar dan sepanduk ketika membantah tindakan tentera Israel memintas beberapa kapal Flotila Global Sumud yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dan memusnahkan sekatan laut Israel, di Bologna, Italy, 2 Oktober 2025 - Foto REUTERS

BARCELONA/ROME: Gelombang kemarahan pro-Palestin tercetus di pelbagai negara pada 2 Oktober selepas tentera laut Israel memintas dan menahan hampir semua kapal dalam flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tindakan itu mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran yang disertai ribuan orang, selain kejadian vandalisme di beberapa bandar utama.

Penunjuk perasaan turun ke jalan raya di bandar Eropah serta di Karachi, Istanbul, Buenos Aires, Bandar Mexico dan Los Angeles bagi membantah penahanan aktivis yang berlaku dua tahun selepas serangan berterusan Israel di Gaza.

Di Italy, kesatuan sekerja menyeru mogok umum pada 3 Oktober dengan lebih 100 perhimpunan dijangka berlangsung di seluruh negara.

Israel berdepan kecaman antarabangsa selepas askar bersenjata menaiki sekitar 40 kapal yang cuba menghapuskan sekatan laut untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, dan menahan aktivis asing, termasuk aktivis iklim Sweden, Cik Greta Thunberg.

Rakaman langsung dari kapal flotila menunjukkan tentera Israel lengkap dengan topi keledar dan peralatan penglihatan malam menaiki kapal, sementara penumpang kelihatan memakai jaket keselamatan dan mengangkat tangan tanda menyerah diri.

Dalam video lain yang dikeluarkan Kementerian Luar Israel, Cik Thunberg, kelihatan duduk di atas dek dikelilingi tentera bersenjata.

Flotila Global Sumud (GSF), penganjur misi tersebut, berkata di wadah X bahawa lebih 450 sukarelawan kini ditahan.

Mereka mendakwa sebahagian aktivis dipindahkan ke kapal kargo besar sebelum dibawa ke darat.

Menurut siaran langsung yang dikendalikan penganjur, sebuah kapal, Marinette, masih meneruskan pelayaran dan berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza pada malam 2 Oktober,

Di Barcelona, ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya, menyekat lalu lintas dan menyasarkan premis komersial yang dianggap menyokong Israel.

Beberapa kedai dan restoran termasuk Starbucks, Burger King dan pasar raya Carrefour menyaksikan cerminnya pecah atau disembur cat dengan slogan anti-Israel.

“Bantahan ini satu-satunya yang boleh kami lakukan untuk tunjukkan perpaduan,” kata peserta demonstrasi, Encik Akram Azahomaras.

Namun beliau menolak tindakan merosakkan harta benda.

“Tapi dengan merosakkan harta benda, saya rasa tidak betul. Kita perlu lakukannya secara aman, gunakan kata-kata, bukan keganasan,” tambahnya.

Di Italy, pelajar universiti menguasai kampus termasuk Universiti Statale di Milan dan La Sapienza di Rome, serta menyekat akses ke Universiti Bologna menggunakan tayar kereta.

Di Turin, ratusan orang menutup lebuh raya utama, lapor agensi berita tempatan.

Di Rome, doktor, jururawat dan ahli farmasi merancang perhimpunan kilat dengan menyalakan lampu suluh dan telefon bimbit sambil menyebut nama 1,677 petugas kesihatan yang terbunuh di Gaza.

Menteri Pertahanan Italy, Encik Guido Crosetto, mengkritik gangguan yang ditimbulkan penunjuk perasaan.

“Adakah sesiapa benar-benar percaya bahawa menutup stesen, lapangan terbang, lebuh raya atau merosakkan kedai di Italy akan membawa kelegaan kepada rakyat Palestin?” soalnya di wadah X.

Bantahan serupa turut berlaku di Dublin, Paris, Berlin, Geneva, Buenos Aires, Bandar Mexico dan Karachi.

Di Istanbul, ribuan berhimpun di luar kedutaan Israel sambil mengangkat sepanduk bertulis, ‘Israel membunuh kemanusiaan, bukan hanya Gaza’ dan ‘Jangan diam, bangkitlah’.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mengecam tindakan Israel.

“Saya mengutuk keganasan terhadap Global Sumud Flotila yang cuba menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang ditindas dan kebuluran,” katanya dalam ucapan di Ankara.

Pendakwa raya Istanbul turut membuka siasatan berhubung penahanan 24 rakyat Turkey yang berada dalam kapal tersebut, lapor agensi Anadolu.

Di Afrika Selatan, Presiden Cyril Ramaphosa, menuntut pembebasan segera rakyatnya, termasuk cucu mantan Presiden Nelson Mandela, Encik Nkosi Zwelivelile Mandela, yang turut menyertai misi bantuan itu.

Menteri Luar Italy, Encik Antonio Tajani, berkata anggota flotila dijangka dihantar pulang 6 Oktober dan 7 Oktober depan menggunakan penerbangan sewa khas ke ibu kota Eropah.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Israel memaklumkan semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat di pelabuhan Ashdod.

“Sebuah kapal terakhir masih berada agak jauh. Jika ia cuba memasuki zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan, ia juga akan dihalang,” kata kenyataan itu.

Israel menegaskan flotila tersebut melanggar undang-undang dan memberi amaran bahawa bantuan boleh disalurkan melalui saluran yang dibenarkan.

Pegawai Israel turut menuduh misi itu sebagai “provokasi politik”.

GSF belayar sejak akhir Ogos membawa ubat-ubatan dan makanan, serta disertai Ahli Parlimen, peguam dan aktivis dari pelbagai negara sebagai simbol penentangan terhadap sekatan laut Israel yang dianggap melanggar Konvensyen Genosid.

Israel sedang berdepan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung dakwaan genosid, namun mempertahankan tindakannya sebagai “mempertahanan diri” selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang membunuh sekitar 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, berdasarkan data Israel.

Serangan balas Israel sejak itu telah meragut lebih 66,000 nyawa di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Hamas yang mentadbir Gaza dan menyokong para aktivis menyifatkan pemintasan flotila sebagai “jenayah”.

Mereka menyeru masyarakat antarabangsa agar mengutuk Israel dan meningkatkan tekanan diplomatik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg