TEL AVIV: Tentera Israel memintas kapal terakhir dalam flotila bantuan atau pelayaran misi kemanusiaan, yang cuba sampai ke Gaza tetapi terkepung pada 3 Oktober, sehari selepas menghentikan kebanyakan kapal dan menahan sekitar 450 aktivis, termasuk aktivis Sweden, Cik Greta Thunberg.
Penganjur misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF), berkata kapal Marinette telah dipintas kira-kira 42.5 batu nautika (79 kilometer) dari Gaza.
Radio tentera Israel menyatakan tentera laut Israel telah mengawal kapal terakhir dalam flotila itu, menahan mereka yang berada di atas kapal, dengan kapal itu kini dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel.
Dalam satu kenyataan, GSF berkata tentera laut Israel telah secara haram memintas kesemua 42 kapalnya, setiap satu membawa bantuan kemanusiaan, sukarelawan, dan azam untuk memecah sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Namun, dalam cubaan lain untuk mencabar sekatan tentera laut Israel, flotila baru yang terdiri daripada 11 kapal cuba menuju ke Gaza pada 3 Oktober, kata penganjur, termasuk kapal yang membawa doktor dan wartawan.
Siaran langsung dari penganjur menunjukkan kapal bergerak ke tenggara di Laut Mediterranean, antara Crete dan Mesir, dengan rakaman dari kapal yang memaparkan aktivis melaungkan “Palestin Bebas.”
Sebuah kamera yang disiarkan dari Marinette menunjukkan seseorang memegang nota yang bertulis “Kami nampak sebuah kapal! Itu kapal perang,” sebelum sebuah kapal kelihatan mendekati dan tentera askar naik ke kapal.
Suara kemudian kedengaran memberitahu orang di atas kapal untuk tidak bergerak dan mengangkat tangan.
Jurucakap Kementerian Luar Israel tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk memberi komen tentang status kapal tersebut.
Flotila yang berlepas pada akhir Ogos itu menandakan cubaan terbaru oleh aktivis untuk mencabar sekatan tentera laut Israel ke atas wilayah Gaza, tempat Israel melancarkan serangan sejak Oktober 2023.
Pegawai Israel berulang kali mengutuk misi ini sebagai satu aksi gimik.
Kementerian Luar Israel pula, sebelum ini, telah memberi amaran kepada flotila berkenaan mereka mendekati zon pertempuran aktif dan melanggar “sekatan tentera laut yang sah,” serta meminta penganjur mengubah haluan.
Israel turut menawarkan untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Pada 3 Oktober, Kementerian Luar Israel berkata empat warga Italy telah dihantar pulang.
“Yang lain sedang dalam proses dihantar pulang. Israel berhasrat menyelesaikan prosedur ini secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Semua peserta flotila bantuan kemanusiaan itu “selamat dan dalam keadaan sihat,” tambahnya.
Pemerintah Italy pula telah mengenal pasti empat warga Italy sebagai Anggota Parlimen negara itu, yang akan terbang pulang ke Rome pada 3 Oktober.
Penunjuk perasaan pro-Palestin kelihatan turun ke jalanan di bandar seluruh Eropah serta di Karachi, Pakistan; Buenos Aires, Argentina; dan Mexico City pada 2 Oktober untuk memprotes pemintasan flotila tersebut.
Pada 3 Oktober, puluhan ribu rakyat Italy tunjuk perasaan, sebagai sebahagian mogok umum sepanjang hari yang diusulkan kesatuan pekerja masing-masing untuk menyokong flotila tersebut. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg