Topik diikuti
Pergi ke BHkuAktivis Palestin mohon perbicaraan di Mahkamah Agung AS bagi elak ditahan semula
Aktivis Palestin mohon perbicaraan di Mahkamah Agung AS bagi elak ditahan semula
WASHINGTON: Lulusan Universiti Columbia, Encik Mahmoud Khalil, pada 19 Oktober memohon Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan keputusan yang membuka ruang kepada pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk menahan semula dan mengusir aktivis Palestin berkenaan.
Peguam Encik Khalil memohon kepada para hakim agar mengambil kes itu selepas Mahkamah Rayuan Amerika bagi Litar Ketiga yang berpangkalan di Philadelphia memutuskan bahawa undang-undang imigresen persekutuan menghalang hakim mahkamah rendah daripada memerintahkan pembebasannya daripada tahanan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (Ice) Amerika.
Encik Khalil adalah antara pelajar asing paling menonjol yang ditahan pada 2025 ketika pentadbiran Encik Trump menjalankan kempen menahan dan mengusir warga asing yang terlibat dalam aktiviti menyokong Palestin di kampus universiti.
Peguamnya berkata Mahkamah Agung perlu secara jelas menyatakan bahawa undang-undang imigresen tidak menghalang warga asing daripada membawa kes ke mahkamah.
Encik Khalil berhujah bahawa aktivis ditahan bagi menghukum mereka kerana bersuara, sedangkan hak berkenaan dilindungi oleh Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika.
“Jika pentadbiran Encik Trump boleh menghukum seseorang kerana bersuara menyokong Palestin, pentadbiran ini atau pentadbiran masa akan datang juga boleh menghukum sesiapa sahaja bagi sebarang pandangan yang disuarakan,” kata Encik Khalil kepada media pada 19 Oktober.
Sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan Litar Ketiga dikekalkan, Encik Khalil berkemungkinan ditahan semula dan diusir, selepas Lembaga Rayuan Imigresen pada April menolak cabaran beliau terhadap perintah hakim imigresen yang mengarahkan pengusirannya ke Algeria atau Syria.
Perintah mahkamah rendah yang menghalang beliau daripada ditahan semula kekal berkuat kuasa setakat ini, sehingga Mahkamah Agung mengeluarkan keputusan.
Satu rayuan berasingan terhadap perintah hakim imigresen berkenaan masih belum selesai.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika, yang mengawasi Ice, dalam satu kenyataan berkata pentadbiran Encik Trump bertindak di bawah bidang kuasanya dalam kes Encik Khalil, serta menggalakkan beliau untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
Encik Khalil – yang merupakan individu terkemuka dalam protes menentang perang Israel di Gaza – ialah warga Algeria yang dilahirkan di kem pelarian Palestin di Syria.
Ejen imigresen menahannya pada Mac 2025 di lobi kediaman universitinya di Manhattan, meskipun beliau merupakan pemegang kad hijau berstatus Penduduk Tetap yang sah.
Isteri dan bayi lelaki berusia setahun mereka merupakan warga Amerika.
Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, telah menggunakan peruntukan tidak jelas dalam Akta Imigresen dan Kewarganegaraan untuk menganggap Encik Khalil boleh diusir.
Encik Rubio memetik penglibatannya dalam “protes anti-Yahudi dan aktiviti yang mengganggu” di Columbia pada 2024 yang menurut pemerintah mewujudkan persekitaran bermusuhan terhadap pelajar Yahudi.
Encik Khalil dibebaskan dari sebuah pusat tahanan Louisiana pada Jun 2025 selepas Hakim Daerah Amerika yang berpangkalan di New Jersey, Encik Michael Farbiarz – iaitu hakim yang dilantik mantan Presiden Joe Biden – memerintahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk membebaskannya.
Pada Januari, panel Mahkamah Rayuan Litar Ketiga membatalkan keputusan Encik Farbiarz menerusi keputusan 2-1, dengan menyatakan bahawa di bawah Akta Imigresen dan Kewarganegaraan, tuntutan Encik Khalil tidak boleh dikendalikan melalui mahkamah daerah, sebaliknya boleh dikemukakan dalam rayuan terhadap perintah pengusiran daripada hakim imigresen.
Selepas keseluruhan panel mahkamah rayuan enggan mempertimbangkan semula kes berkenaan, Encik Khalil bertindak membawa perkara itu ke Mahkamah Agung. – Reuters.