Aktiviti air di pantai Sentosa, 4 pulau disambung semula, seminggu selepas buaya dilihat
Aktiviti air di pantai Sentosa, 4 pulau disambung semula, seminggu selepas buaya dilihat
Aktiviti air di tiga pantai Sentosa boleh disambung semula mulai 8 Februari, seminggu selepas seekor buaya dilihat di perairan di luar kawasan tersebut.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) berkata: “Berikutan pengawasan harian yang berterusan dan rondaan terselaras yang dijalankan oleh SDC dan Lembaga Taman Negara (NParks) sejak 31 Januari, tiada lagi buaya dilihat di sekitar perairan Sentosa.
“Berdasarkan penilaian semasa, aktiviti air - termasuk berenang, berkayak dan acara yang dianjurkan - boleh disambung semula serta-merta.
“SDC akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan keselamatan awam dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya keadaan berubah.”
Pada 8 Februari, Penguasa Tanah Singapura (SLA) berkata dalam catatan Facebook bahawa aktiviti air di pulau St John’s, Seringat, Lazarus dan Kusu juga boleh disambung semula.
Aktiviti air telah ditangguhkan di pantai Siloso, Palawan dan Tanjong di Sentosa selepas laporan pertama tentang penemuan buaya di kawasan tersebut oleh penduduk Sentosa Cove pada 31 Januari.
Selepas SDC dan NParks mengesahkan penemuan itu boleh dipercayai, mereka memulakan operasi pencarian dan pengawasan bersama.
Pada 1 Februari, NParks telah mengaktifkan sebuah pasukan untuk menjalankan pengawasan di perairan Marina South Pier susulan laporan penemuan seekor buaya, kata SDC tanpa menyatakan sama ada ia buaya yang sama.


