Buaya muncul di Sentosa, aktiviti air dihentikan di 3 pantai
Buaya muncul di Sentosa, aktiviti air dihentikan di 3 pantai
Aktiviti air seperti berenang dan berkayak telah digantung di pantai Siloso, Palawan dan Tanjong di Sentosa susulan kemunculan pertama seekor buaya di perairan sekitar pulau itu.
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) berkata reptilia itu kali pertama dilaporkan oleh seorang penduduk Sentosa Cove pada 6.25 petang, 31 Januari, di perairan berhampiran kawasan perumahan tersebut.
Maklumat mengenai kehadiran buaya itu kemudian disahkan Lembaga Taman Negara (NParks) dan SDC.
Operasi pencarian dan pemantauan bersama masih diteruskan, menurut SDC.
Walaupun pantai berkenaan kekal dibuka, aktiviti air tidak dibenarkan di ketiga-tiga pantai itu, menurut SDC.
Rondaan dan pemantauan di sepanjang pesisir pantai pulau itu telah dipertingkatkan, kata SDC.
โOrang ramai dinasihatkan mematuhi semua arahan keselamatan di kawasan itu,โ katanya. Orang awam juga dinasihatkan supaya bertenang dan berundur perlahan jika terserempak dengan buaya.
Mereka digesa melaporkan sebarang pengesanan buaya kepada Pusat Tindak Balas Haiwan NParks di talian 1800-476-1600.
Walaupun buaya lazimnya ditemui di Paya Simpanan Sungei Buloh, namun reptilia itu muncul di kawasan lain di Singapura.
Pada Januari 2025, seekor buaya dikesan berenang di sepanjang saluran air berhampiran Empangan Yishun.
Pada Mac 2023, seekor buaya besar yang dikesan di pantai Marina East Drive terpaksa ditidurkan demi keselamatan awam.
ST telah menghubungi NParks bagi mendapatkan maklumat lanjut.

