DHAKA: Selama 115 hari terperangkap di perairan Teluk yang bergolak akibat peperangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, seorang kapten kapal dari Bangladesh terpaksa berdepan detik paling mencabar dalam kerjayanya apabila menyaksikan serangan peluru berpandu di depan mata, mencatu bekalan makanan dan air, serta memastikan 31 anak kapalnya terus tenang ketika ancaman maut mengelilingi mereka.

Kapten Mohammad Shafiqul Islam, 51 tahun, berkata tanggungjawab memimpin anak kapal dalam keadaan genting memaksanya mengetepikan ketakutan sendiri demi memastikan semua kru selamat sehingga dapat pulang ke tanah air.

“Saya cuba kekal tenang kerana saya bertanggungjawab terhadap 31 nyawa, sebuah kapal bernilai AS$40 juta (S$51.6 juta) dan muatan bernilai AS$8.2 juta (S$10.6 juta),” katanya kepada AFP selepas kembali ke kediamannya di bandar Cumilla di timur Bangladesh.

Encik Islam ialah kapten kapal pengangkut pukal Banglar Joyjatra yang tiba di Teluk kira-kira sebulan sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu.

Konflik yang tercetus selepas itu menyebabkan Selat Hormuz, antara laluan perkapalan paling penting di dunia, lumpuh apabila Iran memperketat kawalan keselamatan di kawasan berkenaan, sekali gus mengganggu pergerakan kapal dagang dan menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.

Kapal yang disewa sebuah syarikat berpangkalan di Singapura itu akhirnya terkandas hampir empat bulan di kawasan berkenaan.

Menurut Islam, kapal itu memuatkan 39,000 tan gegelung keluli di Pelabuhan Mesaieed, Qatar sebelum belayar ke Jebel Ali di Amiriah Arab Bersatu dan tiba di luar kawasan pelabuhan pada 26 Februari.

Beliau berkata suasana ketika itu sudah cukup tegang dan semua kru dapat merasakan konflik berskala besar bakal tercetus.

“Ada sesuatu yang tidak kena. Suasananya sangat mencurigakan dan kami tahu keadaan semakin serius,” katanya.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan dua hari kemudian apabila sebuah peluru berpandu mengenai kemudahan penyimpanan minyak yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari kapal mereka.

“Pada awal pagi 28 Februari, kami melihat sendiri sebuah peluru berpandu mengenai kemudahan simpanan minyak. Dalam beberapa saat sahaja seluruh kawasan itu terbakar,” katanya.

Dari atas kapal, kru hanya mampu melihat bot tunda bertungkus-lumus memadamkan kebakaran besar yang memusnahkan tangki simpanan minyak tersebut.

Keadaan yang semakin meruncing menyebabkan Duta Bangladesh ke Amiriah Arab Bersatu menghubungi Encik Islam dan menggesanya meninggalkan kapal demi keselamatan.

Namun, beliau memilih untuk kekal bersama anak kapalnya.

“Saya percaya keadaan akan kembali reda. Sebagai kapten, saya tidak boleh meninggalkan kapal selagi kru masih berada di atasnya,” katanya.

Harapan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila serangan peluru berpandu terus berlaku selama beberapa hari berikutnya.

Dalam keadaan huru-hara itu, sistem navigasi kapal turut mengalami kerosakan.

Situasi itu memaksa Encik Islam menggunakan semula kaedah pelayaran secara manual, sesuatu yang sudah lama tidak dilakukannya sejak teknologi moden digunakan secara meluas.

“Selepas bertahun-tahun, saya terpaksa kembali mengemudi kapal secara manual dengan berpandukan rumah api bagi memastikan kami tidak tersasar dari laluan,” katanya.

Selepas keadaan sedikit reda, kapal itu berjaya memunggah muatan sebelum diarahkan meneruskan pelayaran ke arah timur melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, ketika kapal berada kira-kira 25 batu nautika dari laluan sempit itu, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menolak permohonan mereka untuk meneruskan pelayaran.

Percubaan demi percubaan yang dilakukan pada hari-hari berikutnya turut menerima jawapan sama.

Akibat terkandas terlalu lama, bekalan air bersih semakin berkurangan manakala makanan mula kehabisan.

Encik Islam kemudian mengambil keputusan melaksanakan catuan supaya bekalan yang ada dapat bertahan sehingga keadaan kembali pulih.

Beliau berkata tekanan paling besar bukanlah terhadap dirinya, sebaliknya terhadap anak kapal yang kebanyakannya masih muda dan pertama kali berdepan situasi peperangan.

“Ada yang benar-benar trauma melihat letupan dan mendengar bunyi peluru berpandu hampir setiap hari,” katanya.

Bagi memastikan semangat kru tidak luntur, beliau sentiasa memberi kata-kata semangat dan mengingatkan mereka supaya tidak panik.

“Saya cuba menenangkan mereka. Ada yang menghabiskan masa membaca al-Quran sepanjang hari, manakala yang lain mengisi masa dengan menonton TikTok. Yang penting ketika itu ialah memastikan mereka terus tenang dan tidak hilang harapan,” katanya.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada April, laluan Selat Hormuz masih belum dibuka sepenuhnya.

Encik Islam sekali lagi memohon kebenaran untuk merentasi laluan berkenaan, namun permohonannya ditolak.

Hanya pada 23 Jun, selepas hampir empat bulan menunggu, Banglar Joyjatra akhirnya diberikan kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.

Beliau berkata seluruh kru hanya benar-benar berasa selamat selepas kapal berjaya melepasi laluan strategik itu.

“Kami menarik nafas lega. Kami percaya Tuhan sentiasa membimbing dan melindungi kami sepanjang tempoh yang amat sukar ini,” katanya.

Menurut Encik Islam, cabaran terbesar sepanjang tempoh itu bukan sekadar memastikan kapal terus beroperasi, malah beliau juga perlu menenangkan keluarga yang sentiasa bimbang di Bangladesh.

“Sebagai kapten, saya perlu terus memberi keyakinan kepada anak kapal. Pada masa sama, saya juga perlu menenangkan isteri dan anak-anak yang menghabiskan banyak malam tanpa tidur kerana risau akan keselamatan saya,” katanya.

Walaupun keluarganya berulang kali memintanya meninggalkan kerjaya sebagai pelaut selepas pengalaman itu, Islam berkata beliau masih belum bersedia berbuat demikian.

“Setiap kali saya pulang, keluarga akan berkata sudah tiba masanya saya meninggalkan laut.

“Tetapi saya sudah membuat keputusan untuk terus belayar beberapa tahun lagi kerana inilah kehidupan yang saya pilih,” katanya. - Agensi berita