TEHERAN: Ketika usaha memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi menamatkan perang antara Amerika Syarikat dengan Iran masih menemui jalan buntu, perhatian dunia kini beralih kepada satu lagi laluan maritim yang amat penting kepada perdagangan sejagat – Selat Bab al-Mandab.

Selepas ancaman Iran untuk menutup Selat Hormuz, pakar keselamatan kini memberi amaran Teheran mungkin menjadikan Bab al-Mandab sebagai satu lagi medan tekanan strategik terhadap Washington dan sekutunya sekiranya rundingan terus gagal.

Walaupun Iran berulang kali menyatakan kesediaannya menamatkan konflik, kebuntuan dalam rundingan mengenai pembekuan aset, sekatan ekonomi dan program nuklearnya meningkatkan risiko konfrontasi baharu.

Dalam keadaan itu, Bab al-Mandab yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dilihat berpotensi menjadi medan tekanan seterusnya.

Sekiranya laluan itu turut terganggu selepas Selat Hormuz, kesannya bukan sahaja dirasai di Timur Tengah, malah boleh menggegarkan ekonomi dunia melalui lonjakan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan inflasi di peringkat sejagat.

Bab al-Mandab terletak di antara Yaman di Semenanjung Arab dengan Djibouti serta Eritrea di Tanduk Afrika.

Laluan sempit sepanjang kira-kira 29 kilometer pada bahagian paling sempit itu menghubungkan Laut Merah ke Teluk Aden sebelum memasuki Lautan Hindi.

Ia menjadi laluan paling pantas bagi kapal yang bergerak antara Asia dengan Eropah tanpa perlu mengelilingi benua Afrika melalui Tanjung Harapan (Cape of Good Hope).

Sebelum konflik di Laut Merah tercetus, kira-kira 15 peratus perdagangan dunia dan sehingga 22 peratus trafik kontena sejagat melalui laluan itu.

Demikian menurut Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad).

Selain itu, sekitar 12 peratus perdagangan minyak dunia melalui laut dan 8 peratus bekalan gas asli cecair (LNG) dunia turut menggunakan laluan tersebut.

Profesor Emeritus Sains Politik Universiti South Alabama, Profesor Nader Entessar, berkata kepentingan Bab al-Mandab jauh melangkaui kedudukannya sebagai laluan kapal.

“Kepentingan utama Bab al-Mandab ialah peranannya sebagai titik sempit strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan Lautan Hindi.

“Dalam konflik yang membabitkan Amerika, Israel dan Iran, kepentingannya kini meningkat sehingga menjadi satu daripada medan utama yang memberi kesan langsung kepada perdagangan antarabangsa dan bekalan tenaga dunia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa laluan itu bukan sahaja mengendalikan perdagangan minyak, malah menjadi saluran utama penghantaran pelbagai komoditi serta kabel gentian optik yang menghubungkan Eropah dan Asia.

Berbeza dengan Selat Hormuz, Iran tidak mempunyai sempadan maritim dengan Bab al-Mandab.

Tentera laut Iran juga tidak memiliki keupayaan untuk mengawal selat itu secara langsung sepertimana kemampuan Tentera Laut Amerika.

Namun, ia tidak bermakna Teheran tiada pilihan.

Pengaruhnya terhadap kumpulan Houthi di Yaman memberikan Iran satu bentuk tekanan tidak langsung yang mampu mengganggu laluan kapal dagang.

Menurut Profesor Entessar, Iran tidak perlu menguasai selat berkenaan untuk mencetuskan kesan besar terhadap perdagangan dunia.

“Iran tidak mempunyai sempadan maritim atau kekuatan tentera laut yang membolehkannya mengawal Bab al-Mandab secara langsung.

“Bagaimanapun, Teheran mempunyai keupayaan memanfaatkan sekutunya, Houthi di Yaman, untuk meningkatkan ketenteraan di kawasan itu dan mengancam keselamatan laluan tersebut jika ia memilih untuk berbuat demikian,” katanya.

Sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, kumpulan Houthi berulang kali melancarkan serangan peluru berpandu, dron dan bot tanpa pemandu terhadap kapal yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel atau sekutunya.

Tindakan itu memaksa banyak syarikat perkapalan antarabangsa mengubah laluan mereka.

Jika Bab al-Mandab ditutup sepenuhnya, kapal dagang yang membawa barangan antara Asia dengan Eropah perlu mengelilingi Afrika melalui Cape of Good Hope.

Menurut Bank Dunia, perubahan laluan itu meningkatkan jarak pelayaran kapal kargo sebanyak 48 peratus, manakala kapal tangki minyak bertambah sekitar 38 peratus.

Tempoh perjalanan juga boleh meningkat sehingga 45 peratus.

Penyelidik Sains Politik Universiti Kansas, Dr Farzin Zandi, menyifatkan senario itu sebagai “kejutan gabungan tenaga, perdagangan dan rantaian bekalan” yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

“Sebarang gangguan akan meningkatkan kos penghantaran laut, memanjangkan laluan pelayaran serta menaikkan premium insurans kapal.

“Pada masa sama, gangguan bekalan minyak dan LNG akan meningkatkan harga tenaga sejagat serta mewujudkan premium risiko dalam pasaran minyak, yang menjadi antara punca utama inflasi dan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan kos tenaga akhirnya akan merebak ke seluruh rantaian nilai sejagat apabila kos pengeluaran, pengangkutan dan import meningkat serentak.

Negara yang bergantung kepada perdagangan laut seperti Mesir juga dijangka menerima kesan besar apabila jumlah kapal yang melalui Terusan Suez merosot.

Bagi Yaman dan negara di Tanduk Afrika pula, gangguan itu boleh mengurangkan bekalan makanan, meningkatkan harga barangan asas dan menjejas hasil ekonomi yang bergantung kepada perdagangan transit.

Selepas ancaman terhadap Selat Hormuz meningkat, Arab Saudi memperluaskan penggunaan saluran paip serta pelabuhan di Laut Merah bagi memastikan eksport minyak dapat diteruskan.

Bagaimanapun, strategi itu bergantung sepenuhnya kepada keselamatan Bab al-Mandab.

Profesor Entessar berkata banyak negara pengeluar minyak Teluk kini melihat Bab al-Mandab sebagai laluan alternatif sekiranya Selat Hormuz terganggu.

“Ini terutama sekali bagi Arab Saudi yang semakin bergantung kepada saluran paip Laut Merah dan pelabuhan di pesisir barat negara itu,” kata Profesor Entessar.

Dr Zandi pula memberi amaran bahawa jika kedua-dua laluan itu terganggu serentak, Arab Saudi akan berdepan tekanan ekonomi yang amat besar.

“Arab Saudi, yang selepas penutupan Selat Hormuz kian bergantung kepada eksport tenaga melalui Bab al-Mandab, bakal berhadapan sekatan ekonomi yang jelas,” kata Dr Zandi.

Pakar berpendapat gangguan serentak di Selat Hormuz dan Bab al-Mandab tidak sekadar menggandakan kesan ekonomi, malah boleh mencetuskan krisis yang jauh lebih besar.

Menurut Dr Zandi, kesan buruknya bersifat “tidak linear”, iaitu bukan setakat satu tambah satu jadi dua, malah, ia boleh menjadi sampai lima atau 10.

Krisis berkembar yang berlaku serentak mampu mencetuskan kesan rantaian, sekali gus mengundang malapetaka yang jauh lebih buruk berbanding impak berasingan.

Dr Zandi berkata keadaan itu boleh menyebabkan harga minyak dan LNG melonjak mendadak, kos penghantaran serta premium insurans meningkat, rantaian bekalan sejagat terganggu dan tekanan inflasi bertambah di negara pengimport tenaga.

Bagi Amerika, perkembangan itu turut membawa implikasi besar terhadap ekonomi domestik dan kepentingan geopolitiknya.

“Kenaikan harga tenaga dan pengangkutan akan meningkatkan inflasi di Amerika.

“Dalam masa sama, risiko kemelesetan sejagat bertambah akibat gangguan perdagangan dan pengeluaran, selain meningkatkan ketidaktentuan geopolitik yang memberi kesan kepada keselamatan tenaga sekutu Washington, khususnya Eropah dan Asia Timur,” kata Dr Zandi.

Beliau menjelaskan, tekanan itu boleh mendorong Amerika memperkukuh operasi pengiring tentera laut, meningkatkan kehadiran tenteranya atau mengambil langkah pencegahan lain bagi memastikan laluan perdagangan antarabangsa terus berfungsi.

Bagaimanapun, Dr Zandi menegaskan penyelesaian jangka panjang tidak boleh bergantung kepada tindakan ketenteraan semata-mata.

“Selagi perang ini diteruskan tanpa strategi jelas, kestabilan sukar dicapai.

“Amerika perlu menamatkan konflik itu dan membebaskan dirinya, sekutunya serta negara lain daripada krisis yang sedang berlaku,” katanya.

Buat masa ini, Bab al-Mandab masih kekal terbuka.

Namun, jika rundingan Amerika-Iran terus gagal dan konflik kembali memuncak, laluan sempit itu berpotensi menjadi titik panas baharu yang bukan sahaja menentukan hala tuju perang di Timur Tengah, malah kestabilan ekonomi dunia. – Agensi berita.