BEIRUT: Israel melancarkan operasinya terhadap Hezbollah pada 17 September dengan menyembunyikan bahan letupan dalam alat kelui, atau pager, buatan Taiwan yang diimport ke Lebanon, menurut pegawai Amerika Syarikat dan lain-lain yang diberi taklimat mengenai operasi itu.
Alat kelui itu, yang ditempah oleh Hezbollah dari syarikat Gold Apollo di Taiwan, telah diusik sebelum sampai di Lebanon, menurut beberapa pegawai. Kebanyakannya model keluaran terbaru AP924, walaupun tiga model Gold Apollo lain turut disertakan dalam penghantaran.
Israel dilaporkan menyembunyikan bahan letupan dalam kumpulan baru alat kelui itu sebelum ia diimport ke Lebanon, memetik pegawai Amerika serta lain-lain yang diberi taklimat mengenai operasi itu.
Agensi pengintip Israel, Mossad, menanam bahan letupan di dalam 5,000 alat kelui itu beberapa bulan sebelum letupan tersebut, sumber kanan keselamatan Lebanon dan sumber lain memberitahu Reuters.
Letupan serentak alat kelui di seluruh Lebanon itu mengorbankan sembilan orang setakat ini dan mencederakan sekitar 3,000, termasuk anggota Hezbollah dan kakitangan perubatan.
Hezbollah memberi amaran akan membalas dendam terhadap Israel.
Bahan letupan tu, seberat satu hingga dua auns, atau 56.7 gram, diselitkan di sebelah bateri dalam setiap alat kelui, kata dua pegawai itu. Suis yang boleh dicetuskan dari jarak jauh juga dimasukkan dalam alat kelui itu untuk meletupkan bahan letupan itu.
Dalam kejadian sekitar 3:30 petang di Lebanon, alat-alat kelui itu menerima mesej yang kelihatan seolah-olah dikirim oleh kepimpinan Hezbollah, kata dua daripada pegawai itu. Sebaliknya, mesej tersebut mengaktifkan bahan letupan itu.
Peranti itu telah diprogramkan untuk berbunyi bip selama beberapa saat sebelum meletup, menurut pegawai.
Hezbollah menuduh Israel mendalangi serangan itu tetapi memberikan butiran terhad tentang pemahamannya mengenai operasi Israel itu. Israel tidak mengulas mengenai serangan tersebut atau mengatakan ia bertanggungjawab di atas insiden itu.
Pegawai Amerika dan lain-lain bercakap dengan syarat tidak mahu nama mereka disiarkan memandangkan operasi itu sensitif.
Pakar keselamatan siber bebas yang mengkaji rakaman serangan itu berkata adalah jelas bahawa kekuatan dan kelajuan letupan itu disebabkan sejenis bahan letupan.
“Alat kelui ini mungkin diubah suai dalam beberapa cara untuk menyebabkan letupan itu. Saiz dan kekuatan letupan menunjukkan ia bukan hanya bateri,” kata Encik Mikko Hypponen, pakar penyelidikan di syarikat perisian WithSecure dan penasihat jenayah siber kepada Europol.
Cik Keren Elazari, seorang penganalisis keselamatan siber Israel dan penyelidik di Universiti Tel Aviv, berkata serangan itu menyasarkan Hezbollah.
Pada awal 2024, pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, mengehadkan penggunaan telefon bimbit secara ketat kerana peranti itu dilihatnya semakin terdedah kepada pengawasan Israel, menurut beberapa pegawai serta pakar keselamatan.
Lebih 3,000 alat kelui ditempah daripada Gold Apollo di Taiwan, kata beberapa pegawai. Hezbollah telah mengedarkan alat kelui itu kepada anggota mereka di serata Lebanon, dengan beberapa daripadanya dihantar kepada sekutunya di Iran dan Syria.
Tiga sumber keselamatan memberitahu Reuters alat kelui yang meletup itu adalah model terbaru yang dibawa masuk oleh Hezbollah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Serangan Israel itu menjejaskan alat kelui yang dihidupkan apabila menerima mesej. Masih tidak jelas bila alat-alat kelui itu dipesan dan tiba di Lebanon.
Imej alat kelui musnah yang dianalisis oleh Reuters menunjukkan format dan pelekat di bahagian belakangnya konsisten dengan alat kelui yang dibuat oleh Gold Apollo, pengeluar alat kelui yang berpangkalan di Taiwan.
Di Taipei, Gold Apollo menyatakan pada 18 September bahawa alat kelui yang meletup di Lebanon itu tidak dihasilkan syarikat itu tetapi oleh sebuah syarikat bernama BAC yang mempunyai lesen untuk menggunakan jenamanya.
“Produk itu bukan milik kami. Cuma ia mempunyai jenama kami,” kata pengasas dan presiden Gold Apollo, Encik Hsu Ching-kuang. Syarikat itu berkata model AR-924 itu dihasilkan dan dijual oleh BAC.
Beberapa pakar yang bercakap kepada Reuters berkata mereka meragui bateri sahaja sudah cukup untuk menyebabkan letupan.
Pasukan perisikan Israel sebelum ini meletakkan bahan letupan dalam telefon peribadi untuk menyasarkan musuh, menurut buku yang diterbitkan pada 2018 bertajuk Rise and Kill First.
Dalam buku itu, penggodam menunjukkan keupayaan menyuntik kod berniat jahat ke dalam peranti peribadi, menyebabkannya menjadi terlalu panas dan meletup dalam keadaan tertentu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg