Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Hamas dakwa miliki sumber, sedia lalui tempoh perang panjang di Gaza

Sep 17, 2024 | 10:33 AM
Gambar fail ketua sayap politik Hamas, Encik Yahya Sinwar. Beliau   menegaskan kumpulannya mempunyai sumber untuk meneruskan perjuangan menentang Israel dengan sokongan sekutu serantau yang disokong Iran, selepas hampir setahun perang di Gaza meletus.
Gambar fail ketua sayap politik Hamas, Encik Yahya Sinwar. Beliau menegaskan kumpulannya mempunyai sumber untuk meneruskan perjuangan menentang Israel dengan sokongan sekutu serantau yang disokong Iran, selepas hampir setahun perang di Gaza meletus. - Foto AFP

GAZA: Ketua Hamas, Encik Yahya Sinwar, dalam kenyataannya pada 16 September menegaskan bahawa kumpulan Palestin itu memiliki sumber dan kemampuan yang mencukupi untuk meneruskan penentangan mereka terhadap Israel, dengan sokongan kuat daripada sekutu serantau yang didukung Iran.

Encik Sinwar, yang menggantikan Encik Ismail Haniyeh selepas kematian Encik Haniyeh pada Ogos, menekankan bahawa Hamas telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi perang berpanjangan yang beliau gambarkan sebagai “perang penghabisan tenaga”.

Dalam surat yang dihantar kepada sekutu-sekutu mereka di Yaman, Encik Sinwar berkata:

“Kami telah mempersiapkan diri untuk berperang bagi tempoh yang panjang. Dengan bantuan sekutu serantau, kami bersedia untuk mematahkan kehendak politik musuh.”

Beliau turut menyebut tentang sokongan daripada kumpulan yang disokong oleh Iran di serata rantau itu termasuk di Lebanon dan Iraq sebagai faktor utama yang akan membantu Hamas terus menentang Israel.

Encik Sinwar menegaskan bahawa kerjasama erat dengan sekutu-sekutu itu akan “mematahkan musuh dan menundukkan mereka”.

Menurut Encik Sinwar, Hamas bukan sahaja masih memiliki sumber yang cukup, malah keupayaan untuk terus menggerakkan generasi baru dalam perjuangan mereka.

Kenyataan Encik Sinwar itu datang di tengah-tengah pertempuran yang terus memuncak di Gaza.

Laporan daripada pasukan perubatan dan penyelamat menunjukkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan udara Israel terbaru.

Pihak tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan itu.

Serangan balas yang semakin ganas itu hanya meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, memberi amaran bahawa peluang untuk menghentikan pertempuran dengan Hezbollah di Lebanon semakin mengecil, sekali gus menambah kebimbangan tentang konflik yang mungkin meluas ke seluruh rantau Timur Tengah.

Pandangan Encik Sinwar jauh berbeza dengan kenyataan Israel, khususnya daripada Encik Gallant yang sebelum ini menyatakan bahawa Hamas “tidak lagi wujud” sebagai kuasa ketenteraan di Gaza selepas serangan mereka pada 7 Oktober yang mencetuskan perang tersebut.

Encik Sinwar, bagaimanapun, tetap optimis dan yakin bahawa perjuangan Hamas akan berterusan.

Dalam suratnya kepada Houthi di Yaman, beliau menyatakan bahawa mereka akan terus berjuang sehingga mereka berjaya “mematahkan kehendak politik musuh”.

Di sebalik pertempuran yang berterusan, usaha diplomatik masih dijalankan oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik itu.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Matthew Miller, mengesahkan bahawa Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, sedang berusaha “dengan pantas” untuk merapatkan jurang yang masih ada antara Israel dengan Hamas dalam usaha mencapai gencatan senjata di Gaza.

Menurut Encik Miller, Encik Blinken dijangka membincangkan usaha itu bersama pegawai Mesir dalam lawatannya ke negara tersebut.

Isu yang menjadi penghalang utama dalam rundingan itu termasuk tuntutan Israel untuk mengekalkan kehadiran tentera di sempadan Gaza-Mesir serta perincian mengenai pembebasan tawanan perang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg