Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa kebakaran LA hanya boleh pulang selepas 16 Jan

Jan 13, 2025 | 1:35 PM
Ramai mangsa yang terdesak untuk pulang ke rumah, diberi masa beberapa saat sahaja untuk mengambil ubat-ubatan atau pakaian kerana bimbang angin kencang akan menyalakan semula bara api.
Ramai mangsa yang terdesak untuk pulang ke rumah, diberi masa beberapa saat sahaja untuk mengambil ubat-ubatan atau pakaian kerana bimbang angin kencang akan menyalakan semula bara api. - Foto AFP

LOS ANGELES: Puluhan ribu orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat kebakaran besar yang melanda Los Angeles, Amerika Syarikat, tidak akan dapat pulang sekurang-kurangnya dalam tempoh empat hari, kata pegawai pada 12 Januari.

Mangsa yang kecewa telah berkumpul di pusat-pusat pemeriksaan, berharap dapat masuk ke zon pemindahan yang diwujudkan menyusuli kebakaran besar-besaran yang memusnahkan seluruh kawasan kejiranan.

Ramai yang terdesak untuk pulang ke rumah, hanya diberi masa beberapa saat untuk mengambil ubat-ubatan atau pakaian.

Yang lain hanya ingin mengetahui sama ada rumah mereka telah terselamat.

Tetapi Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Encik Anthony Marrone, berkata pada 12 Januari bahawa angin kencang yang diramalkan berlaku minggu ini bermakna kecemasan kebakaran masih belum selesai.

“Mereka tidak boleh pulang kerana ia tidak selamat. Ia adalah keutamaan kolektif kami... untuk dapat membawa penduduk pulang ke rumah mereka secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar.

Menurutnya, tiupan angin kencang dijangka berlarutan sehingga 15 Januari.

Mangsa terpaksa beratur sehingga 11 jam untuk lawatan singkat ke rumah mereka di zon pemindahan.

Seorang wanita, yang memberikan namanya sebagai Cik Janelle, memberitahu stesen penyiar televisyen, KTLA, bahawa beliau tahu rumahnya telah tiada, tetapi beliau mahu kepastian.

“Saya melihat foto, saya melihat video dan saya hanya mahu melihatnya dengan mata kepala saya sendiri,” tambahnya.

Tetapi lawatan singkat itu dihentikan pada 12 Januari kerana pihak bomba bimbang tentang angin yang semakin kuat dan potensi menyalakan semula bara api.

Encik Marrone berkata satu sistem sedang dibangunkan untuk membolehkan penduduk yang dipindahkan melihat sama ada rumah mereka telah rosak atau musnah secara dalam talian.

Anggota Majlis Bandar Raya Los Angeles, Cik Traci Park, berkata beliau memahami penderitaan mereka yang terjejas.

“Ini adalah keputusan sukar dan saya tahu bahawa ramai pengundi saya kecewa tetapi keselamatan mesti kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.

Sekitar 100,000 orang kekal di bawah perintah pemindahan wajib di beberapa zon kebakaran, turun daripada paras tertinggi 180,000 sebelum ini.

Kawasan yang dilanda kebakaran telah musnah, dengan seluruh jalan menjadi pudar dan prasarana rosak teruk.

Syerif Daerah Los Angeles, Encik Robert Luna, berkata pegawainya akan terus menghalang orang ramai daripada memasuki zon terjejas.

“Banyak kawasan ini masih kelihatan seperti terkena bom. Terdapat wayar elektrik hidup, saluran gas dan bahaya lain.

“Saya tahu ada ramai orang cuba pulang ke rumah mereka. Kami sangat simpati dan sensitif terhadap keperluan itu, tetapi keselamatan anda diutamakan,” ujarnya.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, sebelum ini menyifatkan kebakaran di Los Angeles adalah yang terburuk dalam sejarah California. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg